Monday, December 3, 2012

NOSTALGIA PADA ZAMAN MAHASISWA, SAHABAT CEMERLANG & MALAIKAT MAUT


NOSTALGIA PADA ZAMAN MAHASISWA, SAHABAT CEMERLANG & MALAIKAT MAUT
Dari Dulu Hingga Sekarang, Pelajar Sastera Dianggap Kelas Kedua & Tun Sheikh Diekori Malaikat Maut.

Pada awal Oktober lepas selama seminggu Tun Sheikh dengan seorang kawan bercuti ke Jakarta untuk berehat atas nasihat doKtor dan bertemu kawan-kawan lama. Kami dibawa dari utara,  ke selatan dan dari timur ke barat Jakarta. Pokoknya sebut sahaja ke mana kami mahu pergi, sahabat-sahabat kami dengan sukarela menghantar secara percuma. Makan dan minum juga ditraktir (dibelanja). Itulah ertinya persahabatan. Kebanyakan mereka telah berjaya dan berjawatan tinggi. Mereka berfikiran terbuka kerana semuanya berpengalaman tinggal di luar negeri  khususnya di Belanda, Perancis dan Amerika Syarikat. Yang menjadi dosen ( pensyarah) semuanya  telah memilik ijazah doktor falsafah (Phd).  

Kami sangat gembira dapat berjumpa anak perubatan (alumni Universitas Indonesia) yang sering menginap di asrama kami ketika zaman menjadi  mahasiswa dulu. Namanya Dr. Abdul Rahman yang dengan bangga menceritakan kejayaannya memecahkan rekod memiliki Phd tercepat di Indonesia. Beliau kini adalah seorang pakar rujuk bagi Indonesia. Beliau telah memecahkan rekodnya sendiri ketika mengambil Phd ke dua. Beliau siap dalam masa 22 bulan dalam penyelidikan Phd pertama (satu rekod baru Indonesia) dan hanya mengambil masa 18 bulan menyiapkan Phd nya yang kedua. Namanya bukan sahaja tercatat di dalam Buku  Rekod Guiness Indonesia tetapi juga dalam jurnal perubatan antarabangsa yang berpusat di Amerika Syarikat. Beliau masih ada perhubungan dengan dunia perubatan di Amerika Syarikat kerana beliau lulusan terbaik ketika membuat sarjana di sana.

Kami masih rapat dengan beliau dan jika beliau datang ke Malaysia, tidak pernah kami ketinggalan untuk berjumpa walaupun bidang kami berlainan. Bagi kami beliaulah yang telah mengangkat maruah kami dalam kumpulan mahasiswa-mahasiswa Malaysia di Indonesia kerana ketika itu hanya kami yang belajar dan dihantar oleh JPA ke jurusan sastera.  Mahasiswa lain semuanya sama ada sains, perubatan atau kejuruteraan. Kami sering diperlekeh dan alaun yang kami terima dari JPA juga tidak sebanyak seperti mereka  kerana kami pelajar sastera. Kami mula dipandang setaraf oleh mereka apabila Tun Sheikh berjaya seri dalam pertandingan catur dengan Dr Rahman manakala sahabat Tun Sheikh yang bergelar Din Tidung meskipun kalah berlawan catur dengan Dr. Rahman tetapi memakan masa yang panjang iaitu selama 4 hari (16 jam).

 Dr. Rahman memang seorang yang bijak atau genius dan ulat buku. Pelajar-pelajar Malaysia lain kalah dalam pertandingan catur dengan beliau dalam beberapa minit sahaja. Sesiapa yang sering cakap besar dan cakap banyak biasanya terdiam apabila dicabar oleh Dr. Rahman dalam permainan catur kerana tidak pernah menang dalam permainan persahabatan mahupun dalam pertandingan kelab antara mahasiswa. Kami berdua dari jurusan sastera Universitas Indonesia sering dicabar bertanding permainan catur tetapi kami sentiasa menolak. Din Tidung cepat naik angin bila diperlekeh dan kerap bertengkar tetapi cepat berbaik semula kerana kami adalah seperti sebuah keluarga. Pada hakikatnya memang jarang menang apabila bermain catur dengan budak-budak sains tetapi  ada juga menang sehingga boleh dikatakan perimbangannya ialah 1:3.

 Budaya bermain catur di Indonesia  pula bukan sahaja digemari oleh anak muda tetapi juga orang dewasa malah ada yang telah berumur. Semenjak Tun Sheikh seri bermain catur dengan Dr. Rahman, kami berdua tidak lagi digiat atau diperlekeh dengan perkataan ‘beloan’  (bodoh/bangang) oleh sahabat-sahabat lain. Mereka malu sendiri malah Dr. Rahman juga telah mengambil keputusan tidak mahu lagi bertanding atau bermain catur dengan Tun Sheikh dan Din Tidung. Beliau tidak sangka seri dengan Tun Sheikh dan susah menang dengan Din Tidung. Sehingga sudah berumur ketika berjumpa, beliau sering bertanya macam mana kami susah dikalahkan seolah-olah beliau tidak dapat menerima kenyataan. Itulah yang membuatkan dirinya merasa mesra dan hormat kepada kami sehingga sekarang.  Semasa dalam permainan persahabatan, Tun Sheikh sering seri dengan beliau. Sebenarnya Tun Sheikh memang berasa yakin tidak dapat mengalahkan beliau dan terpaksa memaksa permainan berkeputusan seri dengan membunuh diri permaisuri (queen)  sendiri bila berpeluang membunuh permaisuri beliau. Kekuatan dan kebijaksanaan beliau ialah pada permaisuri dan kasel. Apabila berjaya membunuh salah satu kasel maka Tun Sheikh cepat-cepat memerangkap permaisuri sendiri dengan permaisuri beliau.

Ketika di Jakarta tempuh hari, Dr. Rahman berulang kali meminta maaf kerana tidak dapat melayan kami sehari suntuk kecuali dari magrib sehinggap jam 12.00 malam. Ini adalah kerana beliau sibuk dari pagi menyiapkan kertas kerjanya yang akan dibentang dalam symposium perubatan pada keesokannya. Kami cuba-cuba bertanya bagaimana beliau berasa begitu yakin dan dapat menyediakan kertas kerja dalam beberapa jam sahaja. Beliau menjelaskan bahawa semua teori dan ujikaji ada dalam mindanya dan adalah lebih mudah kerana beliau menguasai penuh bidangnya sendiri yang akan ditanyakan oleh para peserta.

Tun Sheikh telah mengambil kesempatan menunjukkan rekod makmal perubatan yang baru Tun Sheikh buat secara terperinci di hospital kerajaan dan juga di poliklinik swasta kepada Dr. Rahman. Data terperinci daripada ujikaji makmal terhadap darah dan air kencing serta lain-lain seperti jantung, mata dan anggota dalaman lain telah mengeluarkan data yang lebih kurang sama. Setelah diteliti, beliau meminta maaf kerana perlu berterus terang atas dasar persahabatan tetapi beliau maklumkan secara tidak serius kerana tidak mahu Tun Sheikh bersusah hati, murung atau menerimanya secara negatif. Bagi beliau yang merupakan seorang pakar, kesedihan sebenarnya akan menyebabkan penyakit yang boleh sembuh atau dikawal bertambah parah.

Sehingga ke hari ini kata-katanya masih tergiur-giur di telinga Tun Sheikh dan menjadi modal perbualan Din Tidung dengan kawan-kawannya yang mengenali Tun Sheikh. Setelah meneliti sijil atau rekod data ujian pemeriksaan Tun Sheikh, beliau berkata: “Kalau ikut kepakaran dan pengalaman aku, dengan data sebegini…kau bukan diintai-intai oleh malaikat maut tapi kau sedang diekori terus. Jika kau tersilap maka tidak mustahil kau ke kubur pada bila-bila masa.” Tun Sheikh berkata; benarkah? Kau biar betul?” Jawab Dr. Rahman; “ Aku serius dalam canda tapi kau jangan gila pula sebab masih banyak harapan dengan syarat kau mesti ubah budaya makan dan menjaga kesihatan mengikut nasihat doktor. Mesti berpeluh setiap hari dan jangan makan seperti orang kebiasaan. Mesti ikut diet yang doktor beri, insyaallah umur kau akan panjang”.

Tun Sheikh nukilkan di sini untuk tuan-tuan sama merenungkannya.  Ini adalah khusus kepada yang berpenyakit serangkai iaitu darah tinggi, kencing manis, sakit jantung, kolesterol tinggi, gaut. Mereka adalah orang yang sihat tetapi jika terperangkap dengan salah satu punca kritikal maka mereka akan tenat dan maut pada bila-bila masa. Penyakit tersebut terkenal sebagai pembunuh senyap sertamerta atau silent and sudden killer. Bayangkan Tun Sheikh tidak atau belum mengidap sakit jantung manakala gaut telah mendapat amaran jangan makan makanan laut walau pun belum menjadi ahli pesakit gaut telah pun diberi amaran diekori malaikat maut jika lalai pantang larang……….

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
Sg Petani  Kedah 17.11.2012

 
Copyright 2009 Nostalgia
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere