Monday, March 7, 2011

BN Macam Jin, Tak Dapat...... Telinga Dipulas

BN Macam Jin, Tak Dapat....Telinga Dipulas

Nostalgia Bersama Keluarga Tan Sri Diserang Saka


Tahniah kepada BN yang telah menang berturut-turut dalam pilihanraya kecil di Tenang Segamat Johor, Merlimau Melaka dan Kerdau Pahang sekalipun padang permainannya dimaklumi tidak sama rata. Tiada keadilan dan tidak sama rata padang tempat bertanding itu memang tidak menjadi hal kepada yang ada kuasa penindas. Apa yang penting ialah kemenangan kerana ia adalah realiti. Ia dijadikan dan dicatat sebagai rekod dan kenyataan yang berupaya membawa ke halatuju matlamat dan objektif parti seterusnya.

Setiap kali pilihanraya, pihak lawan tidak berpuashati dengan amalan pelbagai rasuah oleh BN yang telah menggunakan segala kesempatan bagi memastikan calonnya menang. Orang Melayu dan India pula sudah terkenal dengan budaya pakturutnya lebih-lebih lagi darah dan daging telah biasa hidup menerima rasuah.Ada benda, hadiah, sumbangan dan sebagainya maka nilai memangkah memilih dan menyokong calun yang disuap tidak jadi masalah kerana tidak ada harganya lagi berbanding habuan rasuah yang diterima walau hanya dengan sehelai kain batik atau kain pelekat.

Tindak tanduk kempen pilihanraya BN menjelang penamaan calun dan di hari mengundi tidak ubah seperti perangai jin yang pernah Tun Sheikh hadapi ketika mengikut kumpulan seperti gost buster melawan kumpulan jin saka yang menyerang seorang Tan Sri ternama di Damansara pada tahun 1990an. Ketika memerhati perlakuan dan tindakan suku sakat BN berkempen, maka ternostalgia di sudut hati ini terlihat persamaannya.

Kita tinggalkan dulu bagaimana BN berkempen untuk menang samada menggunakan cara penipuan atau ugutan. Dengan melihat bagaimana Jin jahat dari saka Tan Sri ini, maka akan tergambar perilaku mereka. Pengajarannya adalah tarikan kepada kesesatan secara halus dan tidak kelihatan oleh mereka yang lalai dan mereka yang tidak sabar dari musibah serta kepada mereka yang telah menjadikan dunia dan harta benda sebagai surga kepada nafsunya.

Pada suatu malam selepas isya, kumpulan Tun Sheikh telah dijemput dengan sebuah kereta mewah. Dari taman Maluri Gombak ke rumah Tan Sri di Damansara terasa begitu sekejap dan dekat kepada kami kecuali Tokku Raja selaku ketua.Ketika itu Tun Sheikh termuda dan yang lainnya berusia sekitar 40an. Tokku saja sudah 60 tahun. Dia tidak banyak bercakap kecuali berzikir dalam hati dan berkumatkamit lidah dan bibirnya bergerak tanpa kami dengar suaranya.

Kami yang masih muda di belakang sibuk menggayakan tubuh mencuba mencari keselesaan dalam kereta mewah yang menjalar itu dan sempat pula bercanda tidak akan merasa lagi selepas itu dalam seumur hidup kami kerana ia hanya sebuah di Malaysia. Pemandu Tan Sri hanya senyum dan sekali sekala berkata dia benar-benar teruja menjadi pemandunya. Bukan apa katanya, cuma tenaganya terasa sangat terikat dan terkonkong sampai seperti hamba kepada kereta mewah itu. Apa nak buat,beliau tidak berpelajaran tinggi, jadi itu sahaja pekerjaan yang mampu dibuatnya dan mendapat gaji RM1300 sebulan yang pada ketika itu agak lumayan juga.

Kami difahamkan bahwa Tan Sri ialah pengerusi syarikat judi dan tahulah kami segala kemewahannya bersumber dari situ. Hanya baru-baru ini ketika sudah berusia persaraan, Tan Sri mula berjinak dengan surau berdekatan rumahnya. Beliau sering menderma dan bersedekah dengan makluman wang sumbangan beliau itu adalah wang pencen ketika menjadi pegawai kerajaan dahulu. Beliau berulang-alik ke surau untuk mencari ketenangan jiwa kerana terasa diri bersalah mendidik anak-anak hidup secara barat.

Tanpa diduga oleh keluarganya, hanya baru kira-kira 6 bulan beliau berjinak-jinak di masjid dan surau, beliau diserang penyakit misteri. Apabila sampai di rumah dan beliau cuba mentarbiah anak isteri apa yang didapati dan dipelajarinya di masjid, belum sempat berbicara angin sejuk menyerang dan beliau jatuh pengsan. Keluarganya sungguh berasa bingung kerana doktor pakarnya tidak dapat mengesan apakah penyakitnya itu.

Setelah beberapa kumpulan bomoh dan pawang dijemput maka kami pula diundang seperti mengikut giliran pula. Semasa kedatangan kami, masih terdapat pula pawang jemputan sedang merawatnya. Kami hanya manunggu dan ketika pawang berkenaan telah selesai dan meminta izin pulang, kami dijeling dengan lirikan mata yang begitu mencurigakan. Ada juga perasaan takut tapi cepat-cepat ditegur Tokku Raja dan mengarahkan kami memagar diri sendiri dengan kalimah-kalimah dan ayat-ayat suci serta zikirullah.

Kami amat teruja apabila kami duduk dengan Tan Sri yang sedang pengsan diperbaringan tiba-tiba beliau terangkat bangun berdiri seperti kayu berdiri dari perbaringan. Matanya masih terpejam. Beliau mencabar kumpulan kami. Beliau memperkenalkan diri dengan begitu angkuh sebagai jin saka keluarga Tan Sri berasal-usul dari kampung datuk nenek moyangnya dan menggempak kami jangan tunjuk hebat. Kami hanya terus berzikir dan Tokku Raja sorang memainkan peranannya. Tun Sheikh sempat melihat bagaimana Tan Sri disembelih Tokku Raja dan memancung kakinya sehingga Tan Sri tersungkur dan pulih seperti sedia kala.

Setelah pulih dan meninggalkan sedikit pesanan kepada keluarganya supaya beramal dan sering membaca Yasiin, kami pun meminta dihantar pulang. Isteri Tan Sri mengupah RM500 untuk kami berlima tetapi kami menolaknya kerana pertolongan atau bantuan kami adalah ikhlas. Apa yang berlaku bukanlah atas kehebatan kami kecuali Allah jua. Kami didesak oleh keluarga untuk menerimanya dan dipersetujui oleh Tokku Raja dengan meminta mereka menghulurkannya ke surau tempat Tan Sri beramal. Kami sampai di masjid Gombak tempat kami berkumpul jam 3.00 pagi dan keesokkannya kami ke pejabat bekerja seperti biasa. Peliknya, memang jarang berasa letih dan mengantuk walaupun semalaman tidak tidur malah tidak dapat tidur atau secara otomatis mata terjaga tidak boleh tidur.

Minggu hadapannya sehingga kesemua sebanyak 3 kali berturut-turut kami telah dijemput pada waktu dan hari yang sama kerana penyakitnya berulang. Lebih teruk lagi penyakit ini bernyangkit kepada anak lelaki dan kakak Tan Sri. Setiap kali pertemuan, jin saka itu cabar mencabar kami dan bersumpah tidak akan meninggalkan Tan Sri kerana ada perjanjian datuk nenek moyang dan dia tidak suka Tan Sri ke surau atau ke masjid beramal. Kami hanya menjelaskan bahawa jin saka itu sebenarnya dari kaum kerabat jin itu yang lainnya setelah yang pertama dan seterus mati dipancung Tokku Raja. Keluarga sekaliannya perlulah berubah dan membersihkan seisi rumah dari gambar-gambar dan patung hiasan serta minuman keras mahupun melakukan kefasikan.Kami memesan supaya berbanyak berzikir dan memohon perlindungan serta berserah diri kepada Allah.

Akhirnya kami hanya dapat membuat kesimpulan bahawa kami tidak diyakini lagi kerana keluarga Tan Sri telah berjaya memulihkan Tan Sri dengan bantuan seorang bomoh Siam yang dibawa khas dari Thailand dengan upah RM10 ribu. Beliau hanya datang sekali dan telah mengubati Tan Sri secara Siam-Bhudha. Jin saka tidak mengganggu lagi asalkan Tan Sri terus memakai azimat patung Budha berbentuk syiling tembaga dan seluruh keluarga memakai gelang benang hitam juga dengan lambang tembaga bunga teratai. Dan ini dipatuhi oleh keluarga Tan Sri kerana tidak tahan menanggung aib berikutan penyakit misteri Tan Sri yang dihormati itu. Maka berjayalah syaitan dengan usahanya yang halus menyesatkan keluarga itu dengan keyakinan yang begitu mantap kerana dengan sekali rawat, Tan Sri dianggap pulih.Dan yang lebih pilu tentunya mereka tidak merasa bahawa musibah itu adalah dugaan dari Allah dan ada kemungkinan akan terus memperlekeh orang-orang seperti kami yang beriktikad kepada Quran dan Hadis kerana mereka terpedaya dengan keduniaan.

Subhanallah.....astagfirullahal azim.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

No comments:

Post a Comment

 
Copyright 2009 Nostalgia
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere