Monday, March 21, 2011

Nostalgia Asal-Usul Melayu

Nostalgia Asal-Usul Melayu

Menemubual Tok Andong dan Isteri Bekas Tok Batin Suku Temuan Bukit Beruntong dikediamannya di perkampungan Orang asli Temuan Bukit Beruntong 15.3.1998 Jam 8.00 – 10.30 malam


Ketika PM Dato' Seri Najib menekankan bahawa Melayu akan lenyap jika tidak menyokong UMNO, tiba-tiba Tun Sheikh teringat tentang temubual dengan Tok Batin Suku Temuan pada suatu ketika dahulu sebelum berlaku reformasi. Kumpulan dakwah Tun Sheikh pernah bercadang untuk menikahi orang asli yang belum Islam dan mengajak mereka menganut Islam. Niat ini terpaksa dibatal kerana berlaku reformasi 1998. Cuti sekolah minggu lepas, Tun Sheikh telah bergegas balik kampong mencari catatan lama yang disimpan. Kemudian Tun Sheikh menziarahi beberapa orang tua di Jementah dan Kluang bergelar pawang untuk mengetahui hubungan mereka dengan orang-orang lama dan sejarah sesuatu kampung. Sungguh menarik apabila mereka juga ada hubungan rapat dengan para Tok Batin Orang Asli. Tun Sheikh juga bercadang menukilkan mengenai pengalaman menarik mereka di blog ini nanti.

Berikut ialah sinopsis perbualan antara Tun Sheikh dengan Tok Batin Tok Andong. Saripati dan kemasan yang sesuai akan Tun Sheikh tulis semula bila berkesempatan.

Beliau kesal anaknya Mat Solo tidak dapat mewarisinya menjadi Tok Batin kerana Jabatan Hal Ehwal Orang Asli memberi alasan, anak lelaki sulongnya yang berusia 32 tahun itu belum berkahwin dan pengetahuan Islamnya cetek. Tok Andong mengadu jawatannya hilang kerana campur tangan kerajaan melalui Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA). Beliau dianggap sudah tua dan buta huruf. Beliau bercerita sebenarnya keturunan Orang Asli Temuan bukanlah berasal dari hutan seperti orang hutan atau beruk (sindiran beliau terhadap JHEOA). Beliau mengaku berasal dari istana Melayu Lama. Beliau sendiri kerap ke Istana Sultan Selangor jika ada apa-apa masalah ketika beliau menjadi Tok Batin. Tetapi hal itu tidak dibenarkan lagi sekarang. Semua Tok Batin yang dilantik kena melaporkan kepada Pengarah Jabatan Hal Ehwal Orang Asli.

Orang Melayu sekarang sebenarnya sama dengan asal-usul orang Temuan. Beliau masih mewarisi gong dan lembing diraja lambang pembesar istana raja Melayu pada zaman dahulu. Datuk nenek moyangnya dititah membawa seberapa ramai orang Melayu yang ingin melarikan diri ke hutan ketika diserang oleh orang asing dari laut dan darat. Datuk nenek moyangnya berasal dari kerajaan Melayu Kuala (Muar). Lembing dan gongnya sudah beberapa kali diganti apabila sudah dimakan usia dengan mengadap raja/sultan Melayu. Gong dan lembing yang diwarisi beliau, terakhir diganti dengan baru ialah ketika sultan Selangor pada zaman awal orang putih (1870-an) daripada sultan Abd Samad. Sebelum itu pernah diganti oleh sultan Perak dan ada cerita dari sejak zaman sultan Melaka dan Srivijaya.

Keturunan beliau pada asalnya ialah pembesar di laut atau pelaut. Beliau mencabar semua Tok Batin, adakah mereka mempunyai regalia/alat kebesaran seperti beliau. Beliau mengaku datuk nenek moyangnya dulu memerintah orang asli suku Temuan seluruh semenanjung. Kuasa terakhir ketika beliau menjadi Tok Batin, beliau berkuasa di Semenyih, Hulu Yam, Legong, Bukit Beruntung dan Bukit Cerakah. Beliau hilang jawatan apabila Bukit Cerakah dibangun oleh kerajaan atas desakan orang Cina. Pengganti beliau kini hanya berkuasa di Bukit Beruntung, Bukit Cerakah, Legong, Hulu Yam, Semenyih. Sekarang semuanya sudah Tok Batin berlainan yang dilantik oleh kerajaan. Mereka bukan terdiri daripada anak-anaknya atau darah dagingnya. Mereka dilantik kerana pernah bersekolah dan tahu menulis dan membaca. Ada yang masih muda dan pernah sekolah sampai tingkatan 5. Sudah berpecah-pecah sekarang. Kawasan bertambah kecik dan terhempit. Sudah susah cari rezeki dalam hutan. Semua sudah kena ceroboh.

Di zaman datuk nenek moyangnya, mereka berkuasa atau memerintah menjadi Tok Batin dari hutan Temenggor Perak, Pergunungan Cameron, Genting, Anjung Batu Caves, Hulu Yam ke Semenyih sampai ke pedalaman Hulu Muar Negeri Sembilan, Gunung Ledang dan Gunung Sri Medan Batu Pahat di selatan. Bahasa Melayu kami memang telah banyak berubah kerana pengaruh hutan hingga hampir tidak difahami, tapi kami masih mewarisi pantun dan adat budaya Melayu berpantun. Ini bukan milik Melayu moden tetapi adalah milik datuk nenek moyang kami. Kita serupa. Awak kahwin campur dengan macam-macam orang bandar, kami pula selalu kahwin campur dengan suku asli lain dalam hutan. Tetapi kamilah lebih maju dan moden.

Pada zaman dahulu, kami dititah sultan atau raja kami supaya masuk dan berkampung hidup dalam hutan. Inilah tanda kerabat kami, gong dan lembing ini diturunkan pada waris yang mengganti kami. Jika sudah rosak, pecah atau karat, kami pergi ke istana, ambil yang baru. Semua suku asli yang ada gong dan lembing berasal usul dari raja kami yang sama pada zaman dahulu . Cuma kadang kala raja baru yang tidak tahu dan tak faham tentang wasiat dan pusaka serta asal usul kami tidak berkenan menukar gong dan lembing. Bila tak mahu kami cari raja lain dan kami anggap mereka raja tidak tahu adat dan berbudaya.

Saya sendiri sangat sayang dan kasih kepada sultan Selangor yang dulu. Saya bawa gong dan lembing datang mengadap tanda mengganti orang tua jadi Tok Batin. Baginda fikir saya mahu tukar gong dan lembing itu tapi pembesar istana kata masih elok. Bila saya jelaskan saya bukan mahu minta gong dan lembing baru, sultan terus hadiahkan saya senapang patah dan beberapa kotak peluru. Sekarang (1998) saya sudah berusia 89 tahun tapi senapang yang saya terima ketika berusia 23 tahun masih baik dan boleh digunakan lagi. Cuma pelurunya susah nak dapat mahupun jika nak beli. Saya dapat peluru hanya dari teman-teman renjer dan kawan-kawan Cina atau Melayu yang datang berburu di tempat saya.

Kami kenal Islam baru aje. Kalau saya ialah masa hendak kena pecat dulu. Sampai sekarang, saya agama Islam tapi memang saya tak tahu macam mana. Mengucap saja itu pun entah betul entah tidak. Lain, macam sembahyang saya tak buat lagi. Tak tahu dan tak ada orang datang ajar. Masa mereka datang selalunya kami sedang berhuma atau berburu di hutan. Tapi memang pernah dengar orang-orang dan anak buah kami di zaman datuk nenek moyang dulu ada yang masuk Melayu. Masuk Islam dan kemudian jadi macam kami semula sebab hidup dalam hutan. Kita hidup cara dalam hutanlah. Tapi kalau kata kami ini macam kera atau beruk, itu memang melampau.

Isteri Tok Andong pula berpantun. Antara pantunnya yang sempat Tun Sheikh tulis ada beberapa rangkap. Ada sesetengah Tun Sheikh menulis isinya saja dan sesetengahnya yang biasa didengar seperti rangkap pantun pisang emas dibawa belayar, gunung daik bercabang tiga dan lain-lain, Tun Sheikh tidak mencatatnya. Antara isi yang menarik di sini ialah mengenai Kerajaan Melayu Purba bernama Kole atau Kuala dan cerita pemuda orang asli yang derhaka disumpah menjadi batu atau cerita si Tenggang dan cerita orang asli pergi sembahyang memuja batu tereh di Bukit Tereh Muar dan cerita sami Hindu bersembahyang di kuil emas yang besar di Bukit Tereh sebelum pergi ke Gunung Ledang yang dianggap suci. Kuil emas ini telah tengelam dalam tanah dan dipercayai masih ada. Cerita rakyat dan pantun ini dipaksa hafal oleh orang tua-tua mereka. Tetapi jika orang biasa mereka tidak paksa.

Isteri Tok Batin Andong juga mengaku berasal dari keluarga Tok Batin di Negeri Sembilan atau Hulu Muar. Tok Batin Andong juga bercerita tentang Hikayat Malim Deman dan Malim Dewa secara ringkas dan tidak tersusun. Dia kata cerita ini walaupun seperti cerita kayangan atau dewa-dewa yang sering dianggap hayalan, sebenarnya memang berlaku dalam kerajaan Melayu di Muar zaman dahulu. Lepas kerajaan Kole, kerajaan Muar jadi Teluk Dalam. Tapi cerita ini semua dari mulut ke mulut datuk nenek moyang mereka ketika bersembang-sembang sebagai hiburan. Yang pelik katanya apabila sampai kepada sesuatu penceritaan atau bab tertentu nenek atau datuk mereka tiba-tiba serius dan bengkeng. Orang sekarang kata macam mereka telah dimasuki roh nenek moyang.

Intipati tulisan serba ringkas ini menonjolkan asal-usul orang Asli suku Temuan, keadaan agama Islam di kalangan mereka, cerita rakyat, keserakahan orang Cina dan pemimpin Melayu , peranan JHEOA dan mengenai perasaannya seperti didiskriminasi. Bahasa dan perkataan telah banyak Tun Sheikh olah mengikut gaya yang mudah dan boleh difahami. Perkara yang dinukilkan ini adalah menarik untuk difikir dan direnungkan kerana mereka juga telah memainkan peranan dalam persekitaran kebudayaan kita. Mungkin tidak akan hilang Melayu di dunia selagi ada mereka. Dan kehebatan Melayu ketika ini adalah daulah dari mereka jua.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

No comments:

Post a Comment

 
Copyright 2009 Nostalgia
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere