Wednesday, March 7, 2012

Benarkah Dato'Hassan Ali Bukan Orang Baik? Ini Ialah Suatu Nostalgia

Benarkah Dato'Hassan Ali Bukan Orang Baik? Ini Ialah Suatu Nostalgia

Panas juga telinga Tun Sheikh mendengar desas-desus dan bisik-bisik orang ramai yang telah mendengar ceramah Dato’ Hassan Ali mengata Dato’ Hassan bukan orang baik. Road Shownya dikatakan mendapat sambutan hangat dan para pendengar atau pengunjungnya ialah penyokong-penyokong PAS. Tun Sheikh tidak berpuas hati kerana tokoh ini sangat Tun Sheikh hormati dan beliau memang orang yang mempunyai banyak idea dan pakar motivasi malah boleh dianggap orang yang telah berjasa. Gelaran dato’nya sahaja boleh menjadi hujah dan bukti bahawa beliau adalah rakyat yang pernah menabur jasa dan jasanya dihargai kerajaan dan sultan. Tetapi oleh kerana Tun Sheikh juga terdidik dengan prinsip dan falsafah bahawa sesuatu yang diperkatakan atau disampaikan itu hendaklah diteliti terlebih dahulu terutamanya berita-berita yang datang daripada orang fasik maka Tun Sheikh bertambah sibuk mendapatkan sumber yang betul.

Tun Sheikh agak termanggu kerana berita mengenai Dato’ Hassan Ali walau pun macam berita angin yang tiada siapa boleh dan mahu mempertanggongjawabkannya adalah datang dari orang yang Tun Sheikh kenal akal budi mereka dan mereka bukanlah orang yang berperangai atau mempunyai ciri-ciri kefasikan. Lebih terasa gundah apabila berita yang tidak sedap didengar adalah dari sahabat handai yang menyukai Dato’ Hassan. Amat payah Tun Sheikh hendak mempercayai dan mahu menerimanya tetapi dengan tegas diingatkan agar Tun Sheikh dapat menyiasat sendiri . Mereka memesan Tun Sheikh supaya menimbangkannya dengan teliti, berhati-hati dan jangan menjadikannya hujah kerana Dato’ Hassan adalah saudara seislam kita dan tidak dinafikan beliau pernah berkhidmat dan berjasa juga kepada parti Islam ketika berusaha melaksanakan idea Islamnya.

Apabila Tun Sheikh berusaha mengumpul maklumat, antara yang timbul ialah PAS telah memecatnya kerana beliau dikategorikan sebagai seorang yang tidak taat kepada kepimpinan pada hal soal itu telah menjadi dasar dan kefahaman. Dasar itu telah pun diberikan penjelasannya kepada semua ahli dari semua peringkat. Mereka juga diberitahu bahawa segala keputusan Majlis Syura adalah keputusan dan persetujuan bersama Ahli Majlis Ulamak setelah dikaji dengan dalil-dali dari Al Quran dan Hadis serta mengikut ijmak ulamak atau dengan perkataan lain segala keputusan adalah mengikut dasar dan ketetapan syariat. Dato’ Hassan Ali telah melanggar prinsip dan batas ini dan terbukti beliau terus angkuh dalam tindakannya. Bagi Tun Sheikh, dasar itu memang benar tetapi tidakkah ada hujah-hujah sampingan yang lain?

Tun Sheikh dinasihatkan dan dimaklumkan bahawa sebenarnya penyokong PAS yang matang telah terdidik dengan sifat kasih sayang yang tidak membabi buta atau taksub kepada seseorang pemimpin. Jika pemimpin membuat silap yang ternyata melanggar syariat dan telah diputuskan oleh Majlis Syura maka pemimpin sebesar mana pun mestilah akur. Ahli PAS yang matang juga telah terdidik dengan saranan supaya berusaha mencari sendiri bukti apabila mendengar sesuatu berita yang tidak sedap di telinga seperti khabar angin, gossip dan sebagainya agar tidak terus diterima dan menjadi fitnah pula . Malah mereka dinasihati agar jangan disibar luaskan dengan sesuka hati tanpa berasa tanggungjawab kecuali sebagai peringatan dan pelajaran untuk diri sendiri tanpa mengurangkan rasa kasih sayang sesama saudara seislam sehinggalah berita atau isu atau khabar angin itu terbukti keshahihanya. Itupun jika tiada kena mengena dengan kita hendaklah didoakan moga-moga saudara seislam kita itu diberi pentunjuk dan bertaubat.

Sehubungan itu tidaklah mustahil apabila berduyun penyokong PAS datang mendengar ceramah Dato’ Hassan Ali. Mereka masih sayang dan suka kepadanya tetapi kehadiran mereka bukanlah sebagai orang yang mendokong atau menyokong tetapi hanya untuk mencari hujah dan fakta agar dapat menyimpulkan dan menyaksikan apa-apa yang diperkatakan. Ternyata mereka sedih dengan Dato’ Hassan Ali yang berapi-api memburukkan PAS. Dalam ceramah terbaru Dato’ Hassan menyeru agar para hadirin ikut bukan saja menyokong beliau tetapi bersama-sama berusaha memastikan Pakatan Rakyat yang diterajui oleh PAS, PKR dan DAP gagal atau tidak berjaya mengambil-alih pemerintahan dan mentadbir di Putrajaya. Beliau sudah berani mengatakan bahawa janji-janji PAS adalah palsu kerana PAS hanya ditunggangi oleh PKR dan DAP dan ahli-ahli PKR dan DAP yang bukan Islam dianggap sebagai kafir harbi yang perlu ditentang habis-habisan. Betulkah begitu?

Kepimpinan tertinggi PAS segera memaklumkan bahawa perjuangan Islam adalah dasar parti sampai bila-bila dan tidak berubah. Manakala strateji dan kesepakatan bersama iaitu untuk menumbangkan BN yang rasuah dan tidak amanah serta zalim kepada rakyat sendiri. Agenda utama adalah bersatu kepada matlamat yang sama iaitu menyingkirkan ahli kejahatan dan penyeleweng. Mereka ialah BN. Usaha ini boleh berjaya lebih-lebih lagi dasar parti masing-masing boleh diterima secara bersefahaman. Dasar mereka semuanya sama iaitu cintakan keadilan, kebaikan, kebajikan, keharmonian dan keamanan. PAS tidak ada masalah kerana yakin perjuangan PAS bersandarkan syariat Islam . Syariat Islam adalah petunjuk Allah untuk segala manusia. Lambat laun PKR dan DAP akan faham jua dan Islam tidak menganiaya sesesiapa walaupun mereka tidak menganut Islam.

Berbalik kepada ketokohan Dato’ Hassan Ali, beliau seolah-olah terus hanyut dan terperangkap dengan jerat musuh yang menusukkan duri secara halus tanpa disadari oleh Dato’ Hassan sendiri kerana gagal mematikan keegoannya. Fakta-fakta beliau bukanlah seorang tokoh yang baik kini berlegar dengan bisik-bisik mengatakan beliau mengambil isteri orang menjadi isteri keduanya, beliau melobi jawatan Persuruhjaya PAS Selangor dari Dato’ Fadzil Nor dan menggunakan nama Dato’ Fadzil Nor pula yang telah meninggal dunia ketika melobi kepada Dato’ Hadi Awang dan beliau terus menggunakan kepakaran beliau melobi menjadi naib presiden. Beliau terlupa dan tidak menyangka semua tingkah laku beliau ini direkodkan oleh para ulama bukan di atas kertas tetapi di dalam hati kerana mereka mengenali orang yang curang dan pembohong melalui hati . Para ulamak memang kuat bersabar kerana masyarakat yang mengkehendakinya maka kepada merekalah dipertanggongjawabkan.

Orang-orang veteran PAS bukanlah tidak tahu bahawa Dato’ Hassan Ali tiada pengikut tegar yang kewalakan mereka sudah tidak perlu diuji lagi atau yakin mereka setia tetapi sengaja mereka memberi peluang untuk Dato’ Hassan menzahirkan bayang-bayang dan cita-citanya sendiri yang akhirnya menyempurnakan gambar siapa Dato Hassan Ali sebenar. Meskipun begitu mereka masih mendoakan Dato’ Hassan Ali akan insaf dan tulus serta ikhlas dalam perjuangan Islam yang difahaminya. Jika Dato’ Hassan Ali ada rancangan terbaik, mereka para kepimpinan PAS amat yakin bahawa Allah juga ada pelan rancanganNya dan perancangan Allah adalah terbaik.

Gundah gulana Tun Sheikh terubat apabila memikirkan memang ada benarnya bahawa jika seseorang itu baik maka mereka tidak akan mengambil isteri orang lain yang sedang bahagia bersama suaminya. Pemimpin yang baik tidak melobi atau menuntut dirinya dilantik ke jawatan yang dikehendaki atau yang diidam-idamkannya. Orang yang baik juga tidak akan memburuk-burukan orang atau agensi yang pernah mengharumkan namanya……. dan hal ini ada pelajarannya dari petunjuk al quran dan hadis supaya kita tidak terus sesat dengan sebarang kefalsuan.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

Taman Melewar 6.3.2012

No comments:

Post a Comment

 
Copyright 2009 Nostalgia
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere