Wednesday, May 9, 2012

Perjuangan dan Pergerakan Pelajar Sebelum Reformasi Indonesia 1998


Perjuangan dan Pergerakan Pelajar Sebelum Reformasi Indonesia 1998

Pengalaman Tun Sheikh melanjutkan pelajaran di Universitas Indonesia dan tinggal selama 4 tahun di sana telah memberi kesempatan bergaul dan melihat perjuangan mahasiswa di sana. Mereka bergerak dengan aktif dan mengadakan pelbagai aktiviti pelajar. Dalam program-program kampus yang dilaksanakan itu,  boleh dikatakan tiada unsur-unsur menanam kebencian kepada pemerintahan ala tentera oleh Presiden Suharto. Jika mereka disyaki dan tertangkap maka pada kebiasaannya kebolehan dan bakat mereka akan hilang begitu sahaja kerana disingkir dari kampus dan dipantau sehingga mereka lumpuh atau tidak berdaya dan tidak dapat bangun mencari pengaruh akibat dari hukuman yang halus itu.

 Ketika Tun Sheikh baru sampai, pihak kedutaan menasihat, mengingat dan memberi amaran supaya jangan terlibat dalam aktiviti mahasiswa jika berbau anti dasar-dasar pemerintah. Sebagai mahasiswa, Tun Sheikh terpaksa melaporkan segala aktiviti pelajar atau kampus yang Tun Sheikh wajib ikuti tetapi tidaklah dilaporkan kegiatan yang mempengaruhi minda mahasiswa menolak dasar-dasar pemerintah. Tun Sheikh ikut dan dengar tetapi tidak aktif kerana Tun Sheikh berstatus mahasiswa asing. Dalam kampus,  Tun Sheikh bergaul dan mesra dengan semua tetapi tidak  begitu rapat. Maksudnya  mesra tetapi tidak sampai terlalu rapat yang betah iaitu bertukar-tukar cerita peribadi. 

Mereka mengetahui semua mahasiswa atau pelajar pengajian tinggi Indonesia adalah terdiri dari golongan yang memiliki akal kecerdekan kerana pemilihan mereka yang berpeluang menjejakkan kaki ke kampus setelah lulus peperiksaan Sekolah Menengah Atas (SMA) begitu ketat dan persaingannya begitu ramai tidak seperti di Malaysia. Yang terbaik sahaja yang berjaya dan yang berjaya itu hanya lebih kurang 10-15 % sahaja dari keseluruhan yang memohon. Dengan lain perkataan Indonesia ketika itu hanya melepaskan 1% sahaja rakyatnya ke pengajian tinggi setelah tamat SMA (SPM di Malaysia). Dengan itu terlalu banyak golongan cerdek yang tidak berpeluang menapak ke kolej atau menara gading berasa kecewa. Bayangkan daripada sejumlah 300 juta hanya 3 juta berpendidikan tinggi dan daripada 3 juta ini jika diperinci lagi maka akan terserlah rakyat Indonesia yang memiliki ijazah Phd, sarjana dan sarjana muda atau diploma adalah beberapa kerat sahaja daripada sejumlah 300 juta rakyat.

 Mereka yang gagal akan menjadi rakyat biasa walaupun tidak marhein tetapi bergaul rapat dengan golongan itu. Di luar kota rakyat menikmati kehidupan yang sangat sederhana sehingga untuk menghantar anak ke sekolah kerajaan setelah tamat sekolah dasar (sekolah rendah), kebanyakan tidak berkemampuan. Untungnya ramai para pelajar dan  tokoh bijak pandai Indonesia tidak lupa daratan untuk membantu bangsa mereka sendiri apabila mereka berpeluang melihat perkembangan dan kemajuan pendidikan Negara luar. Mereka sedar dasar pemerintah yang sengaja mengawal kuota golongan cerdek pandai kerana berpandangan jika terlalalu ramai yang bijak, Negara tidak akan seimbang, banyak akan tidak berminat menganggotai angkatan bersenjata yang boleh diperintah-perintah dan jika banyak golongan terpelajar, mereka akan hilang kuasa. Kebangkitan rakyat melalui bijak pandai ini atau secara demokrasi tulen tanpa perkongsian dengan kuasa angkatan bersenjata tidak diyakini oleh pemerintah ala tentera akan dapat mewujud dan mengawal keamanan.

Di kampus terutama yang dimiliki pemerintah, memang banyak hantu-hantu mahasiswa  yang terdiri daripada pelajar yang diupah, yang terpaksa, yang dihantar dan penyamar yang bertugas memantau aktiviti kampus dan melapor  kepada pemerintah. Jika di Malaysia mereka ialah SB tetapi di sana selain SB banyak lagi hantu dan puaka yang ditindik. Pemimpin pelajar atau mahasiswa yang berbakat dan membawa perwatakan yang tidak suka kerajaan diekori terus dan dalam keadaan tanpa diketahui kita akan mendapati tokoh kepimpinan mahasiswa yang lantang itu dilapor telah berpindah universitas tetapi sebenarnya ditahan atau dibunuh bakat dan masa depannya jika dikhuatiri akan menjadi pemimpin menentang kerajaan. 

Oleh kerana itu kepimpinan mahasiswa sangat berhati-hati dan tekanan yang dihadapi sebenarnya telah meransang mereka bertambah bijak membuat program dan merancang aktiviti kampus sehingga tidak kelihatan atau boleh didakwa sebagai menghasut atau anti kerajaaan. Mereka bijak menyampaikan mesej yang tersirat tanpa boleh didakwa mengikut undang-undang tetapi sampai dengan jelas dan dapat mempengaruhi pelajar. Mereka bijak menyampaikan objektif yang tersirat secara kias dan sindiran mahupun secara gurauan atau jenaka. Pelbagai permainan dan bahasa kampus tercipta sesama mereka. 

Jika kerajaan BN menyedari bahawa tuntutan Bersih bukanlah daripada orang awam tidak berpelajaran, maka mereka sepatutnya segera memberi respon sesuai dengan taraf keintelektualan  pemimpin Bersih. Ternyata Bersih diwakili oleh para peguam dan lebih kurang 80 NGO lain yang tiada berkepentingan politik kecuali menuntut ketelusan dan intergriti yang amanah dan jujur. Tetapi mereka diperlekeh dan dituduh termakan hasutan dari parti politik pembangkang. BN terus angkuh dan terus member tekanan tanpa menyadari bahawa mewujudkan tekanan kepada golongan bijak pandai akan membelit dan menyusahkan diri sendiri. Bersambung….. ke Pengerak Reformasi Indonesia.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

No comments:

Post a Comment

 
Copyright 2009 Nostalgia
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere