Perjuangan dan
Pergerakan Pelajar Sebelum Reformasi Indonesia 1998
Pengalaman Tun Sheikh melanjutkan pelajaran di Universitas
Indonesia dan tinggal selama 4 tahun di sana telah memberi kesempatan bergaul
dan melihat perjuangan mahasiswa di sana. Mereka bergerak dengan aktif dan
mengadakan pelbagai aktiviti pelajar. Dalam program-program kampus yang
dilaksanakan itu, boleh dikatakan tiada
unsur-unsur menanam kebencian kepada pemerintahan ala tentera oleh Presiden Suharto.
Jika mereka disyaki dan tertangkap maka pada kebiasaannya kebolehan dan bakat
mereka akan hilang begitu sahaja kerana disingkir dari kampus dan dipantau
sehingga mereka lumpuh atau tidak berdaya dan tidak dapat bangun mencari
pengaruh akibat dari hukuman yang halus itu.
Ketika Tun Sheikh baru
sampai, pihak kedutaan menasihat, mengingat dan memberi amaran supaya jangan
terlibat dalam aktiviti mahasiswa jika berbau anti dasar-dasar pemerintah.
Sebagai mahasiswa, Tun Sheikh terpaksa melaporkan segala aktiviti pelajar atau
kampus yang Tun Sheikh wajib ikuti tetapi tidaklah dilaporkan kegiatan yang
mempengaruhi minda mahasiswa menolak dasar-dasar pemerintah. Tun Sheikh ikut
dan dengar tetapi tidak aktif kerana Tun Sheikh berstatus mahasiswa asing.
Dalam kampus, Tun Sheikh bergaul dan
mesra dengan semua tetapi tidak begitu
rapat. Maksudnya mesra tetapi tidak
sampai terlalu rapat yang betah iaitu bertukar-tukar cerita peribadi.
Mereka mengetahui semua mahasiswa atau pelajar pengajian
tinggi Indonesia adalah terdiri dari golongan yang memiliki akal kecerdekan
kerana pemilihan mereka yang berpeluang menjejakkan kaki ke kampus setelah
lulus peperiksaan Sekolah Menengah Atas (SMA) begitu ketat dan persaingannya
begitu ramai tidak seperti di Malaysia. Yang terbaik sahaja yang berjaya dan
yang berjaya itu hanya lebih kurang 10-15 % sahaja dari keseluruhan yang
memohon. Dengan lain perkataan Indonesia ketika itu hanya melepaskan 1% sahaja
rakyatnya ke pengajian tinggi setelah tamat SMA (SPM di Malaysia). Dengan itu
terlalu banyak golongan cerdek yang tidak berpeluang menapak ke kolej atau
menara gading berasa kecewa. Bayangkan daripada sejumlah 300 juta hanya 3 juta
berpendidikan tinggi dan daripada 3 juta ini jika diperinci lagi maka akan
terserlah rakyat Indonesia yang memiliki ijazah Phd, sarjana dan sarjana muda
atau diploma adalah beberapa kerat sahaja daripada sejumlah 300 juta rakyat.
Mereka yang gagal akan
menjadi rakyat biasa walaupun tidak marhein tetapi bergaul rapat dengan
golongan itu. Di luar kota rakyat menikmati kehidupan yang sangat sederhana
sehingga untuk menghantar anak ke sekolah kerajaan setelah tamat sekolah dasar
(sekolah rendah), kebanyakan tidak berkemampuan. Untungnya ramai para pelajar
dan tokoh bijak pandai Indonesia tidak
lupa daratan untuk membantu bangsa mereka sendiri apabila mereka berpeluang
melihat perkembangan dan kemajuan pendidikan Negara luar. Mereka sedar dasar
pemerintah yang sengaja mengawal kuota golongan cerdek pandai kerana
berpandangan jika terlalalu ramai yang bijak, Negara tidak akan seimbang,
banyak akan tidak berminat menganggotai angkatan bersenjata yang boleh
diperintah-perintah dan jika banyak golongan terpelajar, mereka akan hilang
kuasa. Kebangkitan rakyat melalui bijak pandai ini atau secara demokrasi tulen
tanpa perkongsian dengan kuasa angkatan bersenjata tidak diyakini oleh
pemerintah ala tentera akan dapat mewujud dan mengawal keamanan.
Di kampus terutama yang dimiliki pemerintah, memang banyak
hantu-hantu mahasiswa yang terdiri
daripada pelajar yang diupah, yang terpaksa, yang dihantar dan penyamar yang
bertugas memantau aktiviti kampus dan melapor
kepada pemerintah. Jika di Malaysia mereka ialah SB tetapi di sana
selain SB banyak lagi hantu dan puaka yang ditindik. Pemimpin pelajar atau
mahasiswa yang berbakat dan membawa perwatakan yang tidak suka kerajaan diekori
terus dan dalam keadaan tanpa diketahui kita akan mendapati tokoh kepimpinan
mahasiswa yang lantang itu dilapor telah berpindah universitas tetapi
sebenarnya ditahan atau dibunuh bakat dan masa depannya jika dikhuatiri akan
menjadi pemimpin menentang kerajaan.
Oleh kerana itu kepimpinan mahasiswa sangat berhati-hati dan
tekanan yang dihadapi sebenarnya telah meransang mereka bertambah bijak membuat
program dan merancang aktiviti kampus sehingga tidak kelihatan atau boleh
didakwa sebagai menghasut atau anti kerajaaan. Mereka bijak menyampaikan mesej
yang tersirat tanpa boleh didakwa mengikut undang-undang tetapi sampai dengan
jelas dan dapat mempengaruhi pelajar. Mereka bijak menyampaikan objektif yang
tersirat secara kias dan sindiran mahupun secara gurauan atau jenaka. Pelbagai
permainan dan bahasa kampus tercipta sesama mereka.
Jika kerajaan BN menyedari bahawa tuntutan Bersih bukanlah
daripada orang awam tidak berpelajaran, maka mereka sepatutnya segera memberi
respon sesuai dengan taraf keintelektualan
pemimpin Bersih. Ternyata Bersih diwakili oleh para peguam dan lebih
kurang 80 NGO lain yang tiada berkepentingan politik kecuali menuntut ketelusan
dan intergriti yang amanah dan jujur. Tetapi mereka diperlekeh dan dituduh
termakan hasutan dari parti politik pembangkang. BN terus angkuh dan terus
member tekanan tanpa menyadari bahawa mewujudkan tekanan kepada golongan bijak
pandai akan membelit dan menyusahkan diri sendiri. Bersambung….. ke Pengerak Reformasi Indonesia.
Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara