Tuesday, September 18, 2012

Hargailah Waktu dan Kenikmatan Sihat Sebelum Sakit


Hargailah Waktu dan Kenikmatan Sihat Sebelum Sakit

Hari ini 16 September 2012 adalah hari terakhir Hari Raya Aidil Fitri 2012. Setiap hari  minggu, Sabtu, Ahad  dan di hari cuti umum  seperti  Hari Merdeka, Hari Malaysia dan hari cuti umum negeri,  tidak putus-putus ada rumah terbuka. Bukan sahaja rumah terbuka yang dibuat oleh sahabat handai dan saudara mara, tetapi juga rumah terbuka yang dibuat  oleh syarikat-syarikat besar. Pejabat, jabatan , kementerian dan agensi  kerajaan pula mengadakan hari  terbuka pada hari kerja.   Di samping hari terbuka menyambut hari raya, undangan kenduri kahwin juga sangat banyak dan telah menjadi kebiasaan diadakan pada bulan Syawal.

Pada tahun ini Tun Sheikh menyambut bulan Ramadan dan Syawal dengan keadaan yang sangat sederhana.  Undangan majlis berbuka puasa dan hari terbuka hari raya banyak tidak dapat dipenuhi atau dihadiri kerana tahun ini boleh dikatakan Tun  Sheikh berpuasa dan beraya dengan pantauan doktor kerana kesihatan Tun Sheikh agak merosot. Sepanjang Ramadan dan Syawal , Tun Sheikh kena merujuk doktor  dua  kali seminggu. Doktor menasihati  Tun Sheikh  agar tinggal di hospital tetapi berkeberatan dan menolaknya  kerana Tun Sheikh tidak selesa di hospital. Rasa terkongkong dikawal dan tidak bebas hendak buat apa yang disukai. Doktor memberi kelonggaran dengan syarat Tun Sheikh mesti makan ubat yang dibekalkan mengikut jadual  dan datang mendapatkan rawatan dua kali seminggu.

 Penyakit Tun Sheikh bukanlah serius sangat tetapi doktor sering mengingatkan bahawa darah tinggi, kencing manis dan kolesterol tinggi yang dihidapi Tun Sheikh adalah penyakit penyebab kematian tertinggi di negara ini. Kematian mengejut tidak mustahil boleh berlaku kepada diri Tun Sheikh jika tidak mengawal dan berpantang terhadap pengambilan makanan yang boleh menyebabkan organ dalaman terganggu dan tidak berfungsi. Pemeriksaan menyeluruh minggu lepas telah mengkategorikan Tun Sheikh dalam kumpulan bahaya kerana darah boleh membeku dan saluran darah akan tersumbat pada bila-bila masa  akibat dari kolesterol yang sangat tinggi. Tun Sheikh dibekalkan ubat atau pil mencairkan darah dan diarah supaya membawanya ke mana saja. Doktor memberi amaran agar jangan mengambil makanan berminyak dan berlemak dan makanan yang beramonia serta makanan berasid urik.

Tun Sheikh berasa seperti  tidak begitu parah dan yakin boleh mengatasi  atau mengawal penyakit yang dihidapi. Walau bagaimana pun,  apabila memikirkan seramai lima sahabat dekat telah meninggal dunia kerana penyakit yang sama , terasa gementar juga. Ini adalah kerana ada di antara mereka mengidap penyakit yang boleh dikatakan  lebih ringan dari Tun Sheikh sendiri. Tun Sheikh pula pernah mengalami pitam beberapa detik sebanyak lima kali dalam bulan puasa. Hypo atau menggigil dan terasa seram sejuk tidak bermaya dan pening yang kadang-kadang seperti hayal atau pening kepala yang sangat sakit sering terjadi jika perut kosong.

 Pada bulan puasa lepas,  hal ini kerap berlaku tetapi Tun Sheikh terus berusaha meneruskan puasa kerana sayang dan tidak pernah mengambil ringan terhadap ibadah itu sejak kecil. Pada tahun ini Tun Sheikh dapat menyempurnakannya seperti tahun-tahun lepas atau dengan perkataan lain Alhamdulillah dapat berpuasa penuh sebulan tetapi terpaksa mengambil beberapa jenis pil yang dibekalkan bagi mengelak hypo dan sakit kepala yang keterlaluan.

Apabila tamat bulan Ramadan, kita menyambut bulan perayaan dengan gembira dan meriah. Begitu juga kepada Tun Sheikh pada kebiasaannya tetapi pada tahun ini mungkin akibat dari ubat-ubatan yang diambil pada bulan puasa telah mengakibatkan perut begitu sensitif. Perut akan sakit dan memulas seperti  orang keracunan makanan dan sehingga ke hari ini terpaksalah Tun Sheikh berhati-hati ketika mengambil sebarang makanan. Terasa amat teruja dan kadang-kadang sayu apabila mengenang ketika kita sihat sebelum ini di mana kita dapat menikmati pelbagai kenikmatan dan keseronokan atau kesedapan terhadap makanan dan sebagainya .

Dalam keadaan sekarang ini maka terkenanglah sahabat lama Tun Sheikh ketika sama-sama belajar dahulu. Bidang yang diambilnya pernah juga diperlekeh kawan-kawan lain kerana berkenaan pemakanan atau nutrasi dan gizi bahan makanan yang tidak glamor dan tidak mempunyai prospek yang baik. Rupa-rupanya anggapan itu tidak tepat dan tidak benar kerana ketika ini beliau telah menjadi pakar rujuk negara dengan gelaran Profesor Dr. Datuk di sebuah universiti swasta tempatan setelah mencipta nama dan berkhidmat di universiti terkenal awam.

Negara ini juga masih ketinggalan dalam bidang tersebut dan sehingga ke hari ini budaya pengambilan makanan oleh rakyat  terutamanya orang Melayu masih tidak mengikut aturan atau saranan ilmuan dalam bidang itu. Akibatnya pelbagai penyakit dihidapi oleh rakyat negara ini dan seorang daripadanya ialah Tun Sheikh sendiri.

 Apabila mengenang dan membelek-belek saranan agama dalam hal ini maka banyak terdapat tunjuk ajar bagaimana cara-cara mengambil makanan termasuk jenis, kuantiti dan waktu yang disarankan oleh Nabi kita SAW. Teruja sungguh Tun Sheikh kerana ketika ini telah banyak rahsia pengajaran dan hikmah hadis telah dapat dibongkar mengikut sains. Contohnya pengambilan makanan laut dan darat secara serentak tidak digalakkan oleh Nabi SAW kerana mengakibatkan penyakit yang akan merosakkan sistem organ dalaman tubuh kita. Begitu juga terhadap nasihat baginda supaya umatnya makan hanya ketika telah berasa lapar dan berhenti sebelum berasa kenyang . Baginda juga memberitahu keadaan dan cara pengambilan makanan terbaik ialah memastikan hak perut  iaitu sepertiga untuk makanan, sepertiga untuk air dan sepertiga untuk udara. Jika keadaan perimbangan ini tidak dijaga maka pelbagai penyakit yang berpunca dari makanan dan bermula dari dalam perut akan memudaratkan anggota tubuh yang lain.

Benar sungguh bahawa Islam itu adalah agama yang sempurna dan sebagai petunjuk hidup hamba dari Allah SWT tuhan kita  dan Tuhan seluruh alam. Amatlah rugi jika kita leka dan mengabaikan petunjuk dan bimbingan agama dan amatlah rugi jika kita tidak manfaatkan diri untuk melakukan kebaikan dan kebajikan ketika kita sihat sebelum sakit  mengikut takdir dan fitrah ketetapan Allah SWT.  Subhanallah…………..

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
Pontian 16.9.2012
 
Copyright 2009 Nostalgia
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere