Friday, April 22, 2016

Nostalgia Sembang-Sembang Brain Storming PAS



Nostalgia Sembang-Sembang Brain Storming PAS

Tun Sheikh bearasa sedih apabila segerombolan Ahli Jawatankuasa Pusat PAS dari kalangan professional terpinggir dari terpilih menerajui AJK PAS Pusat pada tahun lepas. Sebelum itu memang telah tarasa bahang tiupan angin panas yang sengaja disebar oleh kumpulan tertentu bagi memburuk-buruk dan menghilangkan pengaruh mereka dengan tuduhan dan pelbagai panggilan.

Serta merta Tun Sheikh teringatkan perjuangan Ustad Nasaruddin Mat Isa yang telah dipinggirkan terlebih dulu sebelum itu. Terasa sangat letih dan sia-sia ketika membantu beliau dalam ‘brain storming’ bagaimana hendak mengangkat dan memperbaiki kelemahan teknikal dan pengurusan pentadbiran parti apabila lanskap dan dasar platform yang kami ujudkan kini musnah seperti dibakar. Terkilan juga semasa Ustad Zulkipli Yusuf mengambil jalan sendiri dan berkecuali kerana menjaga strateji dan juga keselamatan diri apabila terikat dengan pengurusan Universiti Malaya. Beliau pernah bersama membincangkan strateji serampang 3 mata bagaimana memodenkan pentadbiran dan segala urusan teknikal parti. Beliau telah mengumpul para pelajar Diploma Tasaur Islam anjuran Ilham yang pada ketika itu terbuka kepada sesiapa yang berminat .

 Kebanyakan para pelajar di peringkat awal pada tahun 1994-1998 adalah  terdiri dari pegawai tadbir, professional, penghulu, kontraktor dan peniaga dll. Kami adalah pelajar dewasa yang mempunyai karier professional sendiri yang berminat dengan dakwah agama. Majoriti di antara kami pada ketika itu adalah bukan ahli PAS. Tidak dinafikan ada juga pegawai polis berpaku menyertai pengajian yang dijalankan oleh Ilham di Ibu Pejabat PAS Taman Melawati Gombak ketika itu.

 Amat terasa segala penerangan dan penghuraian masalah serta buah fikiran cara-cara mengatasinya adalah secara jujur dan tulus. Penggalak memikirkan kemajuan pengurusan parti dari dalam ketika itu ialah Ustad Hassan Shukri.  Presiden PAS ketika itu Ustad Fadzil Noor juga memberi galakan. Perbahasan kami sebelum dan setelah kuliah ketika permulaan Ilham dan Intis  mungkin sudah tiada ertinya kerana dibuat tanpa rekod, tanpa minit mesyuarat kecuali seperti sembang-sembang. Namun keadaan ketika perbincangan adalah amat serius.

Dr Johari Che’ Mat, Dr Rashid Dail, Ustad Ahmad Saleh dan Dr. Fawzi Deraman pun terlibat sama. Pelajar Diploma Tasawur Islam sering diajak berfikir secara kreatif dan kritis. Mereka membuka dan menerima kritikan membina. Dalam perbincangan ‘brain storming’ itu kami diberi kebebasan untuk mengkritik dan mengesan kelemahan parti terutamanya dari segi pengurusan pentadbiran, teknikal dan siaraya. Terus terang kami mendapati ramai juga ahli PAS yang berpendidikan tinggi, professional dan hebat dalam aktiviti mereka di luar Pas tetapi pasif dan tidak menyumbang apa-apa kepakaran dan kemahiran kerana tiada platform dan khuatir difitnah sama ada dari PAS sendiri atau musuh-musuh politik PAS. Bayangan fitnah dari kerajaan adalah paling mengancam dan sangat menekan terutama kepada para profesional yang sedang berkhidmat dengan kerajaan. Buah dari sessi-sessi ‘brain storming’ itu maka lahirlah sebuah kumpulan urusetia yang diketuai oleh Ustad Nasaruddin Mat Isa yang di naungi oleh Ustad Hassan Shukri. Urusetia ini telah metransfom segala format borang, minit-minit dan hal-hal pentadbiran mengikut prosedur amalan para professional. Kejayaan dan keaktifan Ustad Nasaruddin Mat Isa dengan dibantu oleh sukarelawan dan grup beliau telah membuka mata kepimpinan tertinggi sehingga beliau tanpa persaingan dan tandingan diangkat menjadi setiausaha parti.

 Kami meskipun memerhati dari jauh tetapi kami amat gembira segala sumbangan dan idea yang baik tidak diketepikan oleh Ustad Nasaruddin. Beliau benar-benar membuka dan menyediakan platform kepada para professional untuk menjadi ahli parti dan melibatkan mereka secara langsung. Yang berkepakaran dalam kepimpinan ketenteraan menyumbang pengwujudan Badan Amal dengan prosedur dan sop yang tersusun. Pegawai-pegawai perubatan diangkat layak pada tempat mereka dan memberi sumbangan kerja-kerja sukarelewan yang memikat orang awam sehingga ramailah menyertai PAS. Para peguam juga tidak malu lagi untuk menyertai PAS apabila khidmat mereka dihargai sehingga mereka bersedia membantu segala masalah parti berkaitan perundangan dan telah memberi keyakinan kepada ahli jika ditahan ketika memperjuangkan dan melaksanakan aktiviti  politik PAS.

Peristiwa pemecatan Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anuar Ibrahim pada tahun 1998 sehingga mewujudkan iklim politik menuntut reformasi dan keadilan melalui demonstrasi di jalan-jalan raya telah memberi banyak hikmah dan faedah kepada PAS. Berbondong ahli UMNO yang tidak mengemari Perdana Menteri Dato’ Seri Dr Mahathir Mohamed dan orang-orang Melayu tidak berparti telah menyertai PAS  pada ketika itu kerana berasa yakin PAS yang kelihatan berkemajuan, moden dan  professional akan berjaya memperjuangkan  keadilan dan mampu mentadbir mengganti UMNO.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
Melaka 1.1.2016
 
Copyright 2009 Nostalgia
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere