Saturday, December 28, 2013

Nostalgia BN dan Barang Naik



Nostalgia BN dan Barang Naik

Tun Sheikh masih ingat masa zaman kanak-kanak dulu nilai 5 sen dapat membeli barangan yang agak lumayan terutamanya bagi golongan kanak-kanak. Sebiji kuih berharga 5 sen dan cukup lumayan kerana kuih besar dan mengenyangkan. Sebiji karipap, dulu orang Muar panggil temusa sebesar dua tapak tangan budak atau dalam nisbah sekarang lebih kurang 3 biji. Karipap sekarang sudah dikecilkan saiznya dan dijual 3 seringgit. Tidak lama lagi malah Tun Sheikh sudah terjumpa di PJ State, Bangsar, Ampang, Damansara dan banyak lagi di tempat-tempat atau kawasan perumahan orang berduit di Kuala Lumpur, kuih karipap sebesar bola pimpong itu telah dijual dengan harga RM2 untuk 5 biji. Banyak juga kuih-kuih lain yang sama besarnya seperti karipap mini itu diselaraskan harganya RM2 untuk 5 biji. 

Masa zaman kanak-kanak dulu dapat beli 5 biji dengan harga cuma 20 sen. Kalau beli gula-gula 5 sen seperti Hacks dapat 5 biji. Gula-gula yang tidak berjenama dapat 7-8 biji 5 sen. Aiskrim kampong yang dibuat dari bubur kacang hijau, milo, sirap, asamboi dan lain-lain yang panjangnya 1 kaki (12 inci) atau ukuran sekarang ialah 30 cm berharga 5 sen sebatang dan sering dijual 5 batang berhaga hanya 20 sen jika kita beli banyak.  Lumayan dan mewah sekali jika makan aiskrim. Ke hulu ke hilir batang aiskrim bergayut kat mulut atau dalam genggaman tangan kerana panjang, sedap dan lambat habis. Kepada yang mempunyai adik beradik yang ramai, aiskrim boleh dipotong dua dan kepada yang berkawan ramai aiskrim dipas-pas sekali gigit dan kita tidak berasa aneh kerana sekali gigit dapat masuk ke mulut dengan saiz yang agak besar, sejuk, manis dan sedap. Ketika seketul berada dalam mulut, kita dapat menikmati keenakannya kerana tidak boleh ditelan terus. Jika anda makan sebatang seorang terasa lamanya hendak habis sehingga kecut tangan kesejukan. 

Berbanding dengan aiskrim pada hari ini yang panjangnya tinggal separuh dan harganya 30 sen atau 50 sen sebatang bergantung tempat, rasanya pula agak tawar kerana dikurangkan gulanya. Maka bolehlah dikata dalam hal ini zaman dulu, kanak-kanak lebih menikmati keberkatan makanan. Walau pun tidak banyak perasa dan pelbagai pilihan, kebanyakan makanan, kuih-muih dan lauk-pauk adalah bebas dari bahan kimia dan keracunan yang berpunca dari bahan perasa dan pewarna tiruan. Zaman kanak-kanak yang Tun Sheikh maksudkan itu adalah sekitar tahun-tahun 1960-an. Cerita zaman kanak-kanak orang tua Tun Sheikh pula mengatakan duit syiling 1 sen masih digunakan dan laku dengan nilai yang lumayan juga pada tahun 30-an dan 40-an . 
Manakala cerita daripada datuk dan nenek Tun Sheikh dari lisan orang tua Tun Sheikh mengatakan pada tahun-tahun belasan dan 1920-an ada wang syiling ¼, ½,3/4 sen yang masih digunakan untuk berbelanja harian.

Dalam keluarga Tun Sheikh terdapat banyak ahli keluarga yang menyara hidup dengan pelbagai pekerjaan. Ada tukang kebun, penarik beca, penoreh getah, kerja mengambil upah kerja kampong, ada makan gaji dalam pelbagai pangkat dengan kerajaan dari yang serendah-rendahnya sampai pegawai daerah, guru, dokter dan ada yang menjadi tokoh masyarakat yang glamor seperti ketua kampong, penghulu, ahli politik dan orang besar sultan. Ada juga yang menjadi peniaga runcit dan pemborong atau makan gaji dengan pihak swasta atau dalam perusahaan dan perniagaan milik taukeh-taukeh Cina. 

Dalam pemerhatian Tun Sheikh kesemuanya menjalani hidup seharian dengan hal masing-masing tanpa terputus sirahturahim atau tidak angkuh dengan kesombongan. Hal ini memang telah lama menjadi budaya dan amalan orang atau penduduk Muar. Orang kaya sombong atau yang zalim, yang ganas dan yang berkelakuan sangat jahat boleh dikatakan tergolong dalam kes terpencil dalam masyarakat atau budaya hidup orang Muar. Sampai ke hari ini ada pendapat dan pandangan dari orang luar Muar terutama luar negeri Johor yang mengatakan bahawa orang Muar agak sombong atau seperti orang sombong.

Tun Sheikh beranggap persepsi sebegini adalah biasa kerana kebanyakan orang yang berkata dan berpandangan sedemikian adalah orang luar Muar atau luar Johor yang melihat dari jauh. Bagi Tun Sheikh kebudayaan orang Muar adalah perihatin dan liberal. Maksudnya mereka mengambil tahu dan peka dengan masyarakat atau orang dan keadaan sekeliling tetapi tidak sampai ke tahap terlalu ‘ menjaga tepi kain orang’. Budaya ini adalah hasil pengalaman dan budaya mementingkan pelajaran tinggi sejak zaman dulu lagi dan bertambah pro-aktif apabila keturunan bangsawan Melayu-Bugis Campa memerintah Padang atau Muar kerana mereka membawa budaya ilmu, dagang, perintah atau pentadbiran dan kebebasan dalam berusaha atau menjalankan perusahaan yang disenangi diri sendiri.

Berbalik mengenai nostalgia harga barang naik, Tun Sheikh tidak mempunyai pengalaman yang perit dari sejak kanak-kanak sehinggalah tua setelah menjadi datuk yang bercucu. Namun Tun Sheikh dapat perhatikan sebanyak sedikit telah menyulitkan dan menyusahkan hidup dari kalangan keluarga dalam bidang-bidang pekerja tertentu termasuk yang makan gaji dan bergaji tetap. Pada keluarga yang menjalankan perniagaan sama ada yang kecil mahupun besar, sungutan mereka terhadap kenaikan harga barang tidak beberapa kedengaran. Ini bererti kenaikan harga barang atau sering dikenali dengan istilah inflasi tidak banyak mempengaruhi atau memberi kesan negative kepada mereka yang berniaga.

Ada juga keluarga yang bekerja sendiri menghadapi kesulitan barang naik atau inflasi tetapi oleh kerana kebanyakan mereka mempunyai kebun atau tanah pusaka, mereka dapat mengutip hasil tanaman sendiri seperti sayur-sayuran untuk keperluan keluarga. Kepada yang tidak punyai kebun dan makan gaji yang kecil memang amat memeritkan. Mereka bekerja keras membuat kerja tambahan bagi menambah pendapatan tetapi pada kebiasaannya didikan dan displin atau focus pendidikan anak-anak sering terkorban.

Sehubungan dengan itu, bagi Tun Sheikh phenomena harga barang naik sepanjang masa adalah lumrah tetapi apa yang Tun Sheikh lihat yang agak jangkal ialah pada zaman Kerajaan Perikatan, orang politik dan pemimpin Melayu bertungkus lumus berusaha mengikat atau mengawal harga supaya tidak terus naik. Mereka mengadakan kempen Anti-Sorok Barang dan keluar memeriksa para peniaga supaya tidak menaikkan harga barang sesuka hati. Mereka mencari sebab-sebab berlaku inflasi dan berusaha mengatasinya.

 Apabila Kerajaan Perikatan menjadi Barisan Nasional, amat jelas usaha mengawal kenaikan harga barang banyak berpindah kepada badan berkanun dan akhirnya pada hari ini telah dimiliki orang persendirian melalui Dasar Penswastaan. Tanpa rakyat sedari sebenarnya harga barangan pada hari ini boleh dikatakan ditentukan oleh pemonopoli. Kerajaan BN pula kelihatan tidak lagi menjaga kepentingan rakyat tetapi sebaliknya menyebelahi pemonopoli yang didakwa mempunyai saham dan kepentingan kerajaan juga. Dalam pengalaman dan pergaulan serta pengamatan dengan keluarga yang datang dari pelbagai bidang terutama yang berniaga sikap tamak haloba dan cita-cita untuk menjadi cepat kaya dengan usaha yang sedikit adalah satu hal yang tidak bertanggongjawab dan amat merbahaya.

Zaman peka kepada rakyat oleh kerajaan, bagi  Tun Sheikh kelihatan berlaku sejajar dengan tokoh-tokoh Zaman Poltik Perikatan yang sering dan sentiasa peka mengikat harga barang supaya tidak terus naik demi kepentingan rakyat. Ini amat berbeda di Zaman Politik Barisan Nasional setelah berlaku Peristiwa 13 Mei 1969 yang bercita-cita menguasai segala bidang sehingga terpaksa berkorban macam-macam hak dan keistimewaan Melayu. Mereka tidak peka kepada serangan inflasi atau harga barang yang naik begitu laju.

 Keadaan bertambah buruk setelah Dasar Penswastaan diperkenalkan yang hanya mementingkan keuntungan besar. Keadaan seperti tidak terkawal yang akhirnya membebankan rakyat sendiri. Pada hari ini keadaan dan kuasa orang politik telah meresap dalam politik wang yang cepat mengkayakan tokoh-tokoh politik yang berpengaruh dan berkuasa sehingga memang sesuai Barisan Nasional disinonimkan dengan Barang Naik hasil dari tangan-tangan tokoh politik Melayu yang rakus dan mementingkan diri. Kita sangat-sangat mengharapkan tokoh-tokoh BN yang mengamalkan nilai amanah agar bangkit menolak tokoh-tokoh yang tidak jujur dan rasuah supaya dasar mementingkan rakyat diamalkan semula.
Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
Padang Pahlawan Melaka
1.12.2014

Wednesday, May 15, 2013

Nostalgia Hari Mengundi PR13 Pada 5 Mei 2013



Nostalgia Hari Mengundi PR13 Pada 5 Mei 2013

5 Mei 2013 hari mengundi PR 13 berlalu sudah. Tun Sheikh  dengan kelam kabut pergi membantu menghantar keluarga mengundi di Johor Bahru, Muar dan Selayang Selangor.  Memang terbukti  jika ada berlaku penipuan terancang, memang tidak mustahil seseorang itu boleh mengundi beberapa kali dalam sehari. Jam 9 pagi di Kempas Johor Bahru, anak sulung pergi mengundi. Kemudian bergegas ke Muar mengambil masa 2.30 jam perjalanan dan sempat menghantar isteri dan adik-beradik beliau mengundi di kampong jam 12.30 tengahari. Jam 4 petang Tun Sheikh telah berada di Selayang mengundi untuk diri sendiri. 

Inilah akibat sayangkan tempat mendaftar mengundi. Anak sulung mengundi buat kali pertama kerana mendaftar di Johor Bahru ketika Tun Sheikh bertugas di sana selama 7 tahun. Muar tempat isteri dan keluarganya dan juga keluarga Tun Sheikh. Penat sungguh berkempen tapi yang telah terdaftar dalam saluran 1 memang liat untuk berubah. Anak-anak yang telah berjaya dan sudah keluar universiti bertungkus-lumus memujuk ibu-bapa mereka supaya megundi bukan Dacing. Mulanya mengangguk-angguk  tapi bila sudah keluar dari tempat mengundi dan tanya, “abah, mak pangkah apa?” Mereka jawab…”entah, mak nampak dacing aje..mak pangkahlah dacing..”  Bila kita tanya..” la.. kan kita nak buat perubahan dan ke arah kebaikan untuk mengajar AMNOBN yang rasuah?”  Mereka jawab,.. “ memang nak dan suka baik, tapi bila nampak ketua kampong terjenguk di situ..tiba-tiba tak sampai hati pulak jika tak  pangkah dacing…” Kadang-kadang jika direnung-renungkan, agak lucu juga karenah orang tua atau orang lama ni. Itulah orang tua kampong dan mereka tidak boleh ditegah kerana itu adalah hak mereka.

Ketika di Muar, Tun Sheikh terserempak ramai saudara mara pangkat sepupu, bapa dan mak saudara, atuk saudara dan sebagainya. Mungkin secara rambang banyak anak-anak mereka yang sudah berjaya  dan berpendidikan tinggi maka boleh dikatakan kebanyakan mereka menolak AMNOBN. Jika Tun Sheikh congak perimbangannya ialah 3:1 (3 PR : 1 BN). Itu di Muar dan di Muar memang sejarah politiknya unik kerana banyak pemikiran, pembaruan, penentangan, kritis  dan sebagainya sejak dari sebelum Zaman Perang Jepun lagi. Sebabnya adalah kerana penduduk Muar kebanyakannya terdedah dengan dunia luar. Jika kita baca sejarah lama, nama Pekan Muar, Teluk Dalam atau Kole (Kuala) ini merupakan pekan atau bandar pelabuhan tua yang telah biasa dengan orang asing atau pedagang asing. Jadi, Muar Bandar dan sekitarnya  terdiri daripada orang Melayu yang tidak berfikiran jumud. Penduduk Muar juga banyak yang pernah dan tinggal sama ada belajar atau bekerja di luar negeri.

Tapi lain halnya pula apabila bertanya kakak Tun Sheikh yang baru berpindah di kampong berpersekitaran penduduk suku Jawa yang masih menggunakan bahasa Jawa sebagai bahasa seharian dan perhubungan antara sesama mereka. Kakak Tun Sheikh suaminya orang Jawa dan beliau dari awal telah diperingatkan oleh mereka,  jangan undi lain kecuali dacing. Fanatik betul orang Jawa ni. Mereka pesan , “dulu kita susah AMNOBN tolong. Sekarang orang Jawa pun sudah banyak jadi pemimpin AMNOBN, jadi jangan suka-suka pilih lain.”

Selepas selesai mengundi, kami pulang ke rumah dan isteri Tun Sheikh sibuk menyediakan makanan untuk keluarga besar kami. Dia juga mencuci pakaian kotor yang telah 2 hari kami tinggalkan. Dakwat di jarinya sudah luntuh dan apabila ditanya, dia cakap tidak perasan sudah hilang semua sebab kena serbuk pencuci. Bagi orang biasa seperti kami,  itu semua tidak penting dan tidak menjadi masalah kerana kami faham, penggunaan dakwat adalah untuk mengelak penipuan. Tetapi pada keesokannya kami amat terperanjat apabila heboh berita mengatakan pengadu yang membuat lapuran polis mengatakan dakwat mudah hilang dikenakan tindakan oleh majikannya. Pihak SPR pula bertegas dengan begitu prejudis sekali.

Tun Sheikh terfikir dan semacam terasa memang boleh berlaku penyelewengan. Lebih-lebih lagi banyak khabar angin dan desas-desus di sana sini tetapi amatlah tidak bijak jika kita hendak menyibuk sebab kita tidak mempunyai kuasa apa-apa dan pengaruh kecuali boleh menulis di blog sendiri. Itu pun tujuannya adalah sebagai perakam saja untuk masa hadapan. Di Johor misalnya Tun Sheikh dapat berita dari seorang sahabat perempuan dekat tempat Tun Sheikh kerja dahulu mengatakan teman lelakinya seorang pegawai polis berasa bingung kerana mengetahui seramai 38,000 orang Sabah dan Sarawak sedang bersiap-siap menunggu untuk dihantar mengundi ke sebelah utara. Sebelum itu seramai 36,000 telah dihantar ke Perak, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan. Mereka baru dua minggu sampai diantara 18 April hingga 1 Mei. Oleh kerana sahabat Tun Sheikh itu berperangai tidak elok kerana mempunyai kekasih gelap seorang pegawai polis walau pun sudah bersuami maka apa-apa ceritanya hanya jadi lipur lara. Tetapi apabila banyak maklumat  Tun Sheikh dapati terutama dari ABIM Selangor yang mendapat aduan dari seorang bekas ahlinya yang bekerja sebagai juruterbang melaporkan bahawa beliau telah membawa 5 trip perjalanan dari Sabah ke Kuala Lumpur, hati Tun Sheikh bertambah resah kerana ini adalah suatu penyelewengan. 

Setiap kali pengundi luar ini dilapor dan diuar-uarkan, setiap kali itu pegawai SPR membuat makluman di televisyen dan akhbar perdana bahwa proses pendaftaran pengundi adalah teratur dan bersih. Malah menyatakan bahawa tiada apa-apa kesalahan atau larangan jika seseorang yang berasal dari tempat lain mendaftar mengundi di tempat lain seperti di tempat bertugas dan sebagainya. Yang penting mereka mesti warganegara yang layak dan mempunyai kad pengenalan yang sah.

PR13 pada tahun ini betul-betul membuat Tun Sheikh nostalgia,  teringat ketika masa muda-muda dulu pernah menjadi kerani pilihanraya dan pernah juga menjadi penolong pengurus bilik mengundi dan ada satu kali menjadi agen calun (pemerhati) dalam bilik mengundi. Pengalaman ketika muda dulu boleh Tun Sheikh simpulkan kerja macam kerbau dicucuk hidung saja dan memang disuruh bias kepada AMNOBN. Tetapi ketika menjadi agen calun, Tun Sheikh sudah matang dan tahu muslihat SPR dan AMNOBN. Bolehlah Tun Sheikh simpulkan melalui pengalaman silam sehingga ke hari ini bahawa system pilihanraya di Negara ini dari dulu sampai sekarang hanya kelihatan bersih di atas kertas rasmi sahaja. Jika benar-benar bersih mungkin sudah lama kerajaan AMNOBN telah bertukar sejak dulu lagi.

Pada malam keputusan pengiraan undi, Tun Sheikh tidak tidur kerana menunggu perisytiharan dari SPR di TV. Banyak sms masuk mengatakan PR mendahului dan menang banyak tempat tetapi tidak diisytiharkan oleh SPR. Di skrin tv ada ruang berita pendik yang benar-benar bercanggah dengan sms yang Tun Sheikh terima. Namun kerana sama-sama tidak dianggap sah maka terpaksa menunggu begitu lama. Banyak sms memaklumkan penipuan pengiraan di pusat pengiraan peti undi berlaku tetapi Tun Sheikh tidak begitu emosional terhadap itu kerana mengandaikan 50/50. Ini adalah kerana agak mustahil PR akan menang kerana proses mendaftar undi begitu licik dan dilindungi oleh undang-undang pula. Tambah pula semua pemimpin AMNOBN seolah-olah telah tahu keputusan kemenangan dengan strategi yang telah dilakukan iaitu menang di Kedah, Perak, Selangor atau dengan kata lain menang di semua negeri kecuali P. Pinang dan Kelantan yang digugat dengan kemenangan beberapa kerusi sebagai rekod peningkatan AMNOBN konon. Mereka juga memperlekeh usaha PR di Johor dan dengan sombong serta angkuh meminta PR jangan bermimpi.

 Apabila pakar-pakar analisis politik bebas membuat kajian kemenangan AMNOBN,  memang terbukti dan sesuai sebagai mana mereka rancang kecuali terkejut kerana tidak menang di Selangor dan terdapat beberapa kerusi di Negeri Sembilan, Johor dan Pahang serta Terengganu yang hilang. Dan adalah sungguh malang kerana tidak menang besar 2/3 malah merosot. D isamping itu rekod rasmi SPR mencatat 52% rakyat mengundi PR dan 48% BN. Kerana sistem yang dipakai ialah sistem kawasan dan bukan berdasar jumlah kepala maka BN menang (P133) berbanding PR (P89).

Rakyat hendaklah dengan terpaksa menerima keputusan pilihanraya demi keamanan dan kebaikan jangka pendik tetapi jangan memberi kerjasama dengan kerajaan AMNOBN yang meneruskan budaya penipuan, rasuah dan pecah amanah ini. Mereka telah menang dan jangan harap mereka akan berubah mengamalkan budaya tadbir yang baik dan telus kerana tiada factor keinsafan atau batas halangan. Sebelum PR13 mereka yang berkuasa dan tentu sekali tiada perubahan dasar dan pemimpin tertinggi terutama PM dan TPM. Lainlah jika mereka menang setelah dikalahkan atau ditolak oleh rakyat sebelum ini. Fikir-fikirkanlah…….

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
Kompleks Muhibah Ampang 12.5.2013

Wednesday, February 20, 2013

NOSTALGIA BERKUNJUNG KE PEKAN PAHANG


NOSTALGIA BERKUNJUNG KE PEKAN PAHANG

Berita orang Pekan berperangai buruk terhadap kumpulan mahasiswa telah mendorong Tun Sheikh teringat beberapa peristiwa ketika berkunjung ke Pekan,  Pahang.  Sepanjang usia Tun Sheikh yang kini melebihi setengah abad, ada beberapa kali ke Pekan Pahang.  Tidak kurang dua puluh kali sejak kecil tetapi tidak semuanya Tun Sheikh ingat. Di antara yang Tun Sheikh tidak lupa ialah ketika membuat kerja penyelidikan  mencari tapak pejabat cawangan di Pekan yang akhirnya bos atau pihak atasan  telah memilih Kuantan,  ketika bersantai tiga malam di Teluk Cempedak dan menginap satu malam di Pekan bersama keluarga dalam perjalanan pulang ke Johor Bahru mengikut jalan pantai, ketika singgah dan menginap satu malam di Pekan  mengikut rombongan pemantau pilihanraya kecil,  ketika menginap satu malam di Pekan dalam kumpulan rombongan menziarahi tempat-tempat bersejarah Pahang, ketika menziarahi sanak saudara keturunan Kerabat Diraja Pahang dari jalur Engku Muda Mansor ibni Bendahara Tun Ali, ketika memberi  ceramah selaku penceramah jemputan dan menginap di Bandar Pekan, ketika menginap dua malam di mana satu malam di hotel dan satu malam lagi di rumah ayahanda seniwati Datuk Sarimah masa mengikut   rombongan wakil Pangiran Penggiran Hidup dari Brunai meminang beliau dan ketika menziarahi Dato’ Panglima Bendahara Tengku Ibrahim Pahang bekas Orang Besar Empat Pahang gering.

Dua peristiswa yang masih dan paling segar dalam ingatan di antara yang banyak itu ialah peristiwa meminang Seniwati Sarimah pada awal 1990-an dan ketika menziarahi Dato’ Panglima Bendahara Tengku Ibrahim Pahang masa menjejaki  saudara-mara dan sanak saudara Tun Sheikh dari  jalur Engku Muda Mansor Ibni Bendahara Tun Ali pada 2007. Apa yang buat Tun Sheikh bernostalgia dan terimbas kembali ialah berita pentaksub UMNO di Pekan telah membelasah mahasiswa ketika beliau sedang mengedarkan risalah mengenai keingingan calon mahasiswa menyertai PR13 di Pekan baru-baru ini.

 Perbuatan ini sangat tidak bertamadun pada zaman millennium lebih-lebih lagi berlaku di kawasan parlimen Perdana Menteri. Perbuatan ini hanya sanggup dilakukan oleh orang dan pemimpin mereka yang IQ rendah. Peristiwa ini  ada sedikit sinonim secara berkebetulan sahaja dan Tun Sheikh teringat semasa mendapat banyak berita dan cerita oleh Tengku Ibrahim (kini allahyarham) dan ayahanda Datuk Sarimah, Tuan Hj Ahmad (kini allahyarham) yang mengkisahkan pelbagai peristiwa pada zaman muda hingga ketika bercerita terhadap suasana Pekan yang dikuasai oleh samseng dari kerabat istana. Anehnya kebiadaban samseng dulu yang diketuai oleh keluarga sultan tidak seteruk apa yang dilakukan oleh pengampu UMNOBN ini.

Mereka memaklumkan bahawa  Pekan ialah Bandar Diraja Pahang. Bandar ini kelihatan  lambat membangun tetapi kelihatan begitu tenang. Bandar Pekan seperti  juga Bandar Muar, penduduknya menolak pembangunan pesat kerana ingin mengekalkan ketenangan keadaan suasana dan kenyamanan udaranya. Pekan sinonim dengan kebudayaan Melayu kalangan istana dan kerabat kerana di sinilah pusat pemerintahan Bendahara dan sultan Pahang dahulu sebelum  Kuala Lipis dan Kuantan dijadikan ibu negeri Pahang. Di sinilah tamaddun dan budaya Melayu beradat yang diwarisi dari Kesultanan Melayu Melaka terus membudaya dan menjadi legasi. Sultan dan kerabat Diraja bersemayam di Pekan. 

Di Pekan sering berlaku pergaduhan yang dilakukan oleh kumpulan samseng istana. Puncanya jika pendatang asing datang ke Pekan dan menunjuk lagak atau tidak hormat kepada adat dan budaya Melayu (istana), mereka akan diusir. Pendatang dinasihati menghormati penguasa dan adat resam disamping juga mesti mengenali kepala samseng anak-anak muda yang biasanya diketuai oleh keluarga sultan.
 
Ketika zaman pemerintahan Inggeris, Kuala Lipis dijadikan pusat pentadbiran Pahang dari 1898 hingga 1955. Ayahanda Datuk Sarimah bercerita bahawa majority penduduk Pekan terutamanya yang berdekatan istana dan dalam Bandar adalah terdiri daripada kerabat Diraja, para pembesar dan menteri serta para panglima dan keturunan penghulu yang berkhidmat kepada sultan termasuklah diri dan keturunan beliau. Ramai pendekar di Pekan dan banyak orang Pekan yang memiliki pelbagai ilmu terutamanya pertahanan diri dan  ilmu kebatinan. Di zaman moden hingga sekarang ramai rakyat Pahang yang berpendidikan tinggi berasal dari Pekan. Suasana sosialnya boleh dikatakan sehingga ke hari ini dipengaruhi oleh istana atau kerabat Diraja. Pemikiran rakyat cenderung kepada kebiasaan menghormati daulat dan berfikiran feudal.

Sehingga tahun 2000 boleh dikatakan keadaan masyarakat dan aktiviti social yang agak supreme adalah diketuai atau dikepalai oleh anak-anak keturunan Diraja. Setelah berlaku reformasi 1998 dan Pilihanraya 1999, pengaruh social mengikut pola dan kuasa istana mula berubah. Pengaruh anak raja sama ada samseng atau beradab terpuji masih berterusan kecuali arah tuju dan objektifnya saja yang berubah kerana tidak lagi untuk kepentingan istana kecuali rakyat. Ini adalah kerana penduduk Pekan tidak menyenangi kuasa dan pengaruh yang dimonopoli UMNO terhadap sultan dan keluarga baginda di Kuantan. 

Apabila pulang ke Pekan kerabat sultan berasa lebih bebas tetapi arahtuju untuk kepentingan pribadi terhambat kerana di Pekan rakyat kebanyakannya juga berdarah kerabat. Majoriti mereka telah menjadi dan hidup seperti rakyat biasa. Kerabat Diraja di Pekan sudah berkembang luas dan telah bercampur darah melalui perkahwinan dengan rakyat biasa. Mereka sering memihak kepada perjuangan rakyat tetapi  tidak berpihak kepada UMNO dan sultan dan keluarga dekat yang sedang bertahta. Hal ini berlaku kerana UMNO terlalu mengongkong  sultan dan keluarga baginda di Kuantan. Sultan diberi begitu banyak keistimewaan tetapi kerabat di Pekan diabai atau dianak tirikan.

Undi UMNO di Pekan merosot pada 1999 dan menang majority hanya 200 pada Pilihanraya 2004.  Pada tahun 2008, Pekan memberi  kejutan yang mencurigakan penduduk tempatan apabila UMNO menang majority besar kerana hasil cula undi menjangkakan calon UMNO iaitu Dato’ Najib berkemungkinan kecundang. UMNO telah mengkaji hal ini sejak 1999 dan telah merombak serta menggunakan strateji dan dasar pertambahan pengaruh dengan membawa masuk beribu pendatang asing yang dikategorikan sebagai orang asli. Mereka diberi penempatan dan kemudahan asas, tempat tinggal dan tanah ladang perkebunan. Mereka didaftar sebagai orang asli yang mengikuti projek pembangunan,  padahal majority  mereka adalah pendatang asing. Hasilnya UMNOBN menang besar di Pekan pada 2008. 

Sepanjang kunjungan Tun Sheikh ke Pekan pada  tahun 1993 hingga 2010, Tun Sheikh berpengalaman berada di tengah kelompok  kumpulan ini. Mereka  tidak fasih berbahasa Melayu malah seperti tidak beradat. Mereka tidak membawa budaya orang asli tetapi kelihatan terlalu asing. Apabila kita bertanya dengan bahasa Melayu mudah dan mereka tidak faham, mereka hanya menggeleng-geleng kepala. Apabila ditanya kepada agensi kerajaan yang ada kaitan menguruskan mereka malah oleh pihak hospital,  menjelaskan bahawa mereka ialah masyarakat orang asli yang mengikut projek pembangunan khas oleh Dato’ Najib. Bukan Tun Sheikh saja yang curiga tetapi oleh semua yang mengenali dan mengaku diri sebagai Melayu. Ini adalah kerana tampang dan budaya mereka tidak seperti orang asli kita. Dari bisik-bisik rakyat yang telah meluat dengan istana dan UMNO, mereka menjelaskan bahawa itu adalah strateji dan permainan politik kotor UMNO Pekan. 


Penduduk asal Pekan yang majoritinya ada pertalian darah dengan istana berjanji akan menolak UMNO pada PR13. Apabila Tun Sheikh menelefon saudara mara di Pekan berkenaan salah tingkah orang Pekan terhadap kelompok mahasiswa, mereka berkata ini adalah perbuatan jahat dan tidak bertamadun UMNOBN. Bukan perbuatan mereka. Mereka kata, dulu Pekan dikawal dan dikuasai samseng istana atau tokoh yang masih berdarah kerabat tetapi tidak seteruk dan biadab sebegini.Mereka amat malu kerana Pekan dianggap legasi dan warisan kebudayaan Adat Melayu Beraja dari zaman Kesultanan Melayu Melaka hingga ke hari ini.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
Jln Pahang Kuala Lumpur 20.2.2013

Friday, January 4, 2013

NOSTALGIA AMANAT HAJI HADI AWANG



NOSTALGIA AMANAT HAJI HADI AWANG

Ketika Amanat Haji Hadi Awang tersebar pada tahun 1981, Tun Sheikh berusia awal 20-an dan baru meninggalkan alam persekolahan. Tun Sheikh telah bekerja sambil menunggu untuk melanjutkan pelajaran di luar Negara. Ketika itu Tun Sheikh telah meninggalkan UMNO kerana UMNO Tun Sheikh hanya di kampung, Muar Johor. Masa di kampung, Tun Sheikh aktif dalam politik pemuda UMNO dan dapat pelbagai peruntukan terutamanya dalam bidang sukan. Dapat jersi, dapat bola , dapat but, setokin  malah boleh dikatakan lengkap semua. Apa saja Pemuda UMNO minta asal dalam bidang sukan dan hiburan, boleh dikatakan semuanya dapat dengan syarat jangan banyak membantah atau jangan sibuk urusan orang tua.  Semua anak muda kampung gembira dan tanpa sedar ikut sahaja saranan jawatankuasa atasan UMNO.

 Pemuda atau belia kampung seusia 15 tahun ke atas berjaya dipengaruhi menjadi belaci UMNO meskipun sebenarnya nama mereka tidak rasmi berdaftar kerana belum cukup umur dan menyalahi undang-undang. Mereka disuruh ikut saja perancangan dan kehendak pimpinan atas. Masa itu pemimpin tertinggi baru pusat yang sungguh popular dan glamour ialah Dr Mahathir. Tun Sheikh yang sejak dari kecil bersikap kritis, tidak takut orang dan tidak suka dikongkongi berasa semacam ada sesuatu yang tidak kena. Sikap Tun Sheikh sebegitu adalah hasil minat Tun Sheikh yang tersangat suka membaca buku-buku agama terutamanya terbitan Indonesia dan ketika itu Tun Sheikh juga telah mengulangi membaca beberapa kali Kitab Terjemahan  Al Quran terbitan Departmen Agama Indonesia. Begitu juga telah habis baca Sahih Bukhari dan Muslim. Tun Sheikh adalah pemuda yang suka ikut dan aktif dalam jawatankuasa atau biro agama tetapi pada kebiasaannya biro agama dalam UMNO diserahkan kepada ahli jawatankuasa surau atau masjid kampung.

 Bapa Tun Sheikh  memberi galakan supaya mencari ilmu agama. Tun Sheikh masih ingat semasa mendaftar sekolah rendah, bapa masukkan ke sekolah Melayu dan di sebelah petang bersekolah agama. Tetapi hanya sebulan sahaja kerana abang Tun Sheikh telah memindahkan Tun Sheikh ke sekolah Inggeris. Dalam keluarga Tun Sheikh, minat politik adalah pelbagai. Bapa lebih kepada tasauuf dan berzuhud. Emak sibuk mengurus rumah tangga, abang-abang dan kakak aktif dalam UMNO. Bapa saudara dan saudara-saudara pupu yang dekat banyak yang masuk DAP, Parti Buruh, Sosialis, PAS dll. Datuk saudara adalah orang penting dalam Parti Sosialis/Buruh (berlambang Tanduk Lembu). Pokoknya sejak kecil Tun Sheikh telah terdedah dengan pelbagai fahaman politik. Yang paling berpengaruh ialah UMNO sehingga boleh dikatakan majority orang Johor sejak kecil membesar di bawah pengaruh UMNO. Begitu juga Tun Sheikh tetapi kerana Tun Sheikh rapat dengan bapa maka kecenderungan beragama agak lebih sedikit dari segi minat dan pembacaan.

 Apabila Tun Sheikh keluar Johor, dan mengetahui latar belakang PM Dr Mahathir, Tun Sheikh terasa UMNO akan dipergunakan semahunya. Tun Sheikh terus berjinak dengan ABIM kerana berasakan PAS begitu ketinggalan dari segi sains dan teknologi. Mereka leka dan asyik popular dengan fatwa dan hukum hakam saja. Mereka tidak professional. Mereka juga sering diperlekeh oleh UMNO sehingga kelihatan begitu kerdil dan ketinggalan zaman. Masa itu ABIM pula begitu aktif dan komitet kepada perkembangan dunia Islam terutama dari kalangan belia. Ketika itu dunia dianggap sedang kebangkitan  para belia Islam. PAS terus ditekan oleh UMNO dan kerajaan BN. PAS digambarkan terpesong dan tidak tulen.  PAS sering dipersenda oleh pemimpin UMNO. Ketika dalam keadaan tertekan dan penghinaan berlebihan terhadap dasar Islam yang diperjuangkan PAS inilah Ustad Hadi Awang telah mengupas ciri-ciri kesesatan Islam, munafik dan orang-orang kufur. Pengikut yang taksub dan fanatic terus menjauhkan diri dan mengasingkan diri dengan orang-orang UMNO terutama  yang terdekat dalam keluarga mereka sendiri. Mereka berbalah dan berhujah sehingga kafir mengkafir sesama sendiri.

UMNO telah menerima pelbagai aduan daripada ahli-ahlinya dan mengambil kesempatan menuduh PAS mengkafirkan orang Melayu sesama Islam yang tidak  berfahaman politik PAS. Itulah strategi Dr Mahathir bagi mengatasi malah bercita-cita membunuh politik berdasarkan agama Islam yang diperjuangkan PAS. Di masa yang sama UMNO melihat ABIM sangat berpengaruh di kalangan belia dan para cendekiawan Islam dan skular yang meminati agama. PM dan pengikut-pengikutnya sering menghina PAS dan memuji ABIM dan akhirnya berjaya memujuk Sdr Anuar Ibrahim ketua ABIM menyertai UMNO.

Anuar Ibrahim telah menyertai kabinet Dr Mahathir setelah menjadi Senator dan dilantik menjawat Timbalan Menteri. Banyak kejutan berlaku dalam ABIM. Sebahagiannya meninggalkan ABIM dan menyertai PAS dengan alasan faktor umur. Sebahagiannya menyertai Arqam yang semakin berpengaruh dan maju dalam ekonomi tersendiri yang mereka perkenalkan. Tun Sheikh ketika itu terus mengikut kumpulan usrah Sdr Ramli Mohktar di Petaling Jaya, orang kanan Sdr Anuar Ibrahim dalam ABIM. Tun Sheikh tidak lagi aktif apabila melanjutkan pelajaran ke Indonesia pada 1983. Di Sana Tun Sheikh telah mengikut Jemaah Al ArQam yang sering datang berziarah dan aktif menubuhkan Cawangan Luar Negeri sehingga rangkaian cawangannya terdapat di seluruh dunia.
Ketika Tun Sheikh sedang melanjutkan pelajaran sehingga balik pada tahun 1986, UMNO kelihatan begitu berpengaruh dan kuat dan dasarnya seolah-olah lengkap sama ada skular dan agama. Sdr Anuar berjaya membawa masuk budaya Islam dalam UMNO yang sebelum ini lebih dilihat kemelayuannya sahaja. Tun Sheikh sangat gembira dan sungguh teruja ketika pulang bercuti pada tahun 1984 & 1985 mendapati murid-murid Islam di sekolah semua bertudung dan budaya masyarakat Melayu Islam menutup aurat dan bertudung begitu meluas di tempat-tempat umum dan awam.

Setiap kali pilihanraya Dr Mahathir telah menggunakan isu ini sebagai senjata ampuh UMNOBN. Setiap kali menjelang piliharaya, UMNOBN telah menggunakan isu agama yang simpal, mengaku sebagai pejuang agama tetapi amat mengelirukan kepada orang awam seolah-olah PAS melampaui batas dan sesat dalam agama. Setiap kali kemenangan UMNOBN,  trek rekod yang menolak dan melonjakkan kejayaan dan kemenangan mereka ialah  isu agama. Mereka berpura-pura seolah-olah mereka adalah ISLAM YANG BERJAYA DAN SEMPURNA DAN PAS ADALAH SI PENIPU DALAM AGAMA DAN POLITIK. Hari ini UMNOBN berterusan menggunakan strategi lapuk mereka menuduh dan membesarkan fitnah kepada Ustad Abd Hadi melalui Amanat Abd Hadi 1981 bahawa PAS mengkafirkan semua Islam Malaysia yang tidak menyokong PAS. Mereka yakin isu agama Islam akan berjaya menutup kejahatan dan kesesatan mereka sendiri. Biarlah mereka merancang dan membuat fitnah.

 Sesungguhnya Tuhan juga Maha Merancang dan perancangan Tuhan adalah sebaik-baiknya. Selaku hamba dan umat Muhammad SAW, marilah sama-sama kita berpegang kuat kepada tali Allah iaitu Al-Quran dan Hadis sebagai pegangan kukuh dan panduan  mengharungi hidup dalam takdir dan kuasa kepunyaan Allah ini. Amin ya Allah.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
Kg Baru KL 4.1.2013
 
Copyright 2009 Nostalgia
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere