Nostalgia BN dan Barang Naik
Tun Sheikh masih ingat masa zaman
kanak-kanak dulu nilai 5 sen dapat membeli barangan yang agak lumayan
terutamanya bagi golongan kanak-kanak. Sebiji kuih berharga 5 sen dan cukup
lumayan kerana kuih besar dan mengenyangkan. Sebiji karipap, dulu orang Muar
panggil temusa sebesar dua tapak tangan budak atau dalam nisbah sekarang lebih
kurang 3 biji. Karipap sekarang sudah dikecilkan saiznya dan dijual 3
seringgit. Tidak lama lagi malah Tun Sheikh sudah terjumpa di PJ State, Bangsar,
Ampang, Damansara dan banyak lagi di tempat-tempat atau kawasan perumahan orang
berduit di Kuala Lumpur, kuih karipap sebesar bola pimpong itu telah dijual
dengan harga RM2 untuk 5 biji. Banyak juga kuih-kuih lain yang sama besarnya
seperti karipap mini itu diselaraskan harganya RM2 untuk 5 biji.
Masa zaman kanak-kanak dulu dapat
beli 5 biji dengan harga cuma 20 sen. Kalau beli gula-gula 5 sen seperti Hacks
dapat 5 biji. Gula-gula yang tidak berjenama dapat 7-8 biji 5 sen. Aiskrim
kampong yang dibuat dari bubur kacang hijau, milo, sirap, asamboi dan lain-lain
yang panjangnya 1 kaki (12 inci) atau ukuran sekarang ialah 30 cm berharga 5
sen sebatang dan sering dijual 5 batang berhaga hanya 20 sen jika kita beli
banyak. Lumayan dan mewah sekali jika
makan aiskrim. Ke hulu ke hilir batang aiskrim bergayut kat mulut atau dalam
genggaman tangan kerana panjang, sedap dan lambat habis. Kepada yang mempunyai
adik beradik yang ramai, aiskrim boleh dipotong dua dan kepada yang berkawan
ramai aiskrim dipas-pas sekali gigit dan kita tidak berasa aneh kerana sekali
gigit dapat masuk ke mulut dengan saiz yang agak besar, sejuk, manis dan sedap.
Ketika seketul berada dalam mulut, kita dapat menikmati keenakannya kerana
tidak boleh ditelan terus. Jika anda makan sebatang seorang terasa lamanya
hendak habis sehingga kecut tangan kesejukan.
Berbanding dengan aiskrim pada
hari ini yang panjangnya tinggal separuh dan harganya 30 sen atau 50 sen
sebatang bergantung tempat, rasanya pula agak tawar kerana dikurangkan gulanya.
Maka bolehlah dikata dalam hal ini zaman dulu, kanak-kanak lebih menikmati
keberkatan makanan. Walau pun tidak banyak perasa dan pelbagai pilihan,
kebanyakan makanan, kuih-muih dan lauk-pauk adalah bebas dari bahan kimia dan
keracunan yang berpunca dari bahan perasa dan pewarna tiruan. Zaman kanak-kanak
yang Tun Sheikh maksudkan itu adalah sekitar tahun-tahun 1960-an. Cerita zaman
kanak-kanak orang tua Tun Sheikh pula mengatakan duit syiling 1 sen masih
digunakan dan laku dengan nilai yang lumayan juga pada tahun 30-an dan 40-an .
Manakala cerita daripada datuk dan nenek Tun Sheikh dari lisan orang tua Tun
Sheikh mengatakan pada tahun-tahun belasan dan 1920-an ada wang syiling ¼,
½,3/4 sen yang masih digunakan untuk berbelanja harian.
Dalam keluarga Tun Sheikh
terdapat banyak ahli keluarga yang menyara hidup dengan pelbagai pekerjaan. Ada
tukang kebun, penarik beca, penoreh getah, kerja mengambil upah kerja kampong,
ada makan gaji dalam pelbagai pangkat dengan kerajaan dari yang
serendah-rendahnya sampai pegawai daerah, guru, dokter dan ada yang menjadi
tokoh masyarakat yang glamor seperti ketua kampong, penghulu, ahli politik dan
orang besar sultan. Ada juga yang menjadi peniaga runcit dan pemborong atau
makan gaji dengan pihak swasta atau dalam perusahaan dan perniagaan milik
taukeh-taukeh Cina.
Dalam pemerhatian Tun Sheikh kesemuanya menjalani hidup
seharian dengan hal masing-masing tanpa terputus sirahturahim atau tidak angkuh
dengan kesombongan. Hal ini memang telah lama menjadi budaya dan amalan orang atau
penduduk Muar. Orang kaya sombong atau yang zalim, yang ganas dan yang
berkelakuan sangat jahat boleh dikatakan tergolong dalam kes terpencil dalam
masyarakat atau budaya hidup orang Muar. Sampai ke hari ini ada pendapat dan
pandangan dari orang luar Muar terutama luar negeri Johor yang mengatakan
bahawa orang Muar agak sombong atau seperti orang sombong.
Tun Sheikh beranggap persepsi
sebegini adalah biasa kerana kebanyakan orang yang berkata dan berpandangan
sedemikian adalah orang luar Muar atau luar Johor yang melihat dari jauh. Bagi
Tun Sheikh kebudayaan orang Muar adalah perihatin dan liberal. Maksudnya mereka
mengambil tahu dan peka dengan masyarakat atau orang dan keadaan sekeliling
tetapi tidak sampai ke tahap terlalu ‘ menjaga tepi kain orang’. Budaya ini
adalah hasil pengalaman dan budaya mementingkan pelajaran tinggi sejak zaman
dulu lagi dan bertambah pro-aktif apabila keturunan bangsawan Melayu-Bugis
Campa memerintah Padang atau Muar kerana mereka membawa budaya ilmu, dagang,
perintah atau pentadbiran dan kebebasan dalam berusaha atau menjalankan
perusahaan yang disenangi diri sendiri.
Berbalik mengenai nostalgia harga
barang naik, Tun Sheikh tidak mempunyai pengalaman yang perit dari sejak
kanak-kanak sehinggalah tua setelah menjadi datuk yang bercucu. Namun Tun
Sheikh dapat perhatikan sebanyak sedikit telah menyulitkan dan menyusahkan
hidup dari kalangan keluarga dalam bidang-bidang pekerja tertentu termasuk yang
makan gaji dan bergaji tetap. Pada keluarga yang menjalankan perniagaan sama
ada yang kecil mahupun besar, sungutan mereka terhadap kenaikan harga barang
tidak beberapa kedengaran. Ini bererti kenaikan harga barang atau sering
dikenali dengan istilah inflasi tidak banyak mempengaruhi atau memberi kesan
negative kepada mereka yang berniaga.
Ada juga keluarga yang bekerja
sendiri menghadapi kesulitan barang naik atau inflasi tetapi oleh kerana
kebanyakan mereka mempunyai kebun atau tanah pusaka, mereka dapat mengutip
hasil tanaman sendiri seperti sayur-sayuran untuk keperluan keluarga. Kepada
yang tidak punyai kebun dan makan gaji yang kecil memang amat memeritkan.
Mereka bekerja keras membuat kerja tambahan bagi menambah pendapatan tetapi
pada kebiasaannya didikan dan displin atau focus pendidikan anak-anak sering
terkorban.
Sehubungan dengan itu, bagi Tun
Sheikh phenomena harga barang naik sepanjang masa adalah lumrah tetapi apa yang
Tun Sheikh lihat yang agak jangkal ialah pada zaman Kerajaan Perikatan, orang
politik dan pemimpin Melayu bertungkus lumus berusaha mengikat atau mengawal
harga supaya tidak terus naik. Mereka mengadakan kempen Anti-Sorok Barang dan
keluar memeriksa para peniaga supaya tidak menaikkan harga barang sesuka hati.
Mereka mencari sebab-sebab berlaku inflasi dan berusaha mengatasinya.
Apabila
Kerajaan Perikatan menjadi Barisan Nasional, amat jelas usaha mengawal kenaikan
harga barang banyak berpindah kepada badan berkanun dan akhirnya pada hari ini
telah dimiliki orang persendirian melalui Dasar Penswastaan. Tanpa rakyat
sedari sebenarnya harga barangan pada hari ini boleh dikatakan ditentukan oleh
pemonopoli. Kerajaan BN pula kelihatan tidak lagi menjaga kepentingan rakyat
tetapi sebaliknya menyebelahi pemonopoli yang didakwa mempunyai saham dan
kepentingan kerajaan juga. Dalam pengalaman dan pergaulan serta pengamatan
dengan keluarga yang datang dari pelbagai bidang terutama yang berniaga sikap
tamak haloba dan cita-cita untuk menjadi cepat kaya dengan usaha yang sedikit
adalah satu hal yang tidak bertanggongjawab dan amat merbahaya.
Zaman peka kepada rakyat oleh kerajaan, bagi
Tun Sheikh kelihatan berlaku sejajar
dengan tokoh-tokoh Zaman Poltik Perikatan yang sering dan sentiasa peka mengikat
harga barang supaya tidak terus naik demi kepentingan rakyat. Ini amat berbeda
di Zaman Politik Barisan Nasional setelah berlaku Peristiwa 13 Mei 1969 yang
bercita-cita menguasai segala bidang sehingga terpaksa berkorban macam-macam
hak dan keistimewaan Melayu. Mereka tidak peka kepada serangan inflasi atau
harga barang yang naik begitu laju.
Keadaan bertambah buruk setelah Dasar Penswastaan
diperkenalkan yang hanya mementingkan keuntungan besar. Keadaan seperti tidak
terkawal yang akhirnya membebankan rakyat sendiri. Pada hari ini keadaan dan
kuasa orang politik telah meresap dalam politik wang yang cepat mengkayakan
tokoh-tokoh politik yang berpengaruh dan berkuasa sehingga memang sesuai
Barisan Nasional disinonimkan dengan Barang Naik hasil dari tangan-tangan tokoh
politik Melayu yang rakus dan mementingkan diri. Kita sangat-sangat
mengharapkan tokoh-tokoh BN yang mengamalkan nilai amanah agar bangkit menolak
tokoh-tokoh yang tidak jujur dan rasuah supaya dasar mementingkan rakyat
diamalkan semula.
Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
Padang Pahlawan Melaka
1.12.2014
No comments:
Post a Comment