Nostalgia Hari Mengundi PR13 Pada 5 Mei 2013
5 Mei 2013 hari mengundi PR 13
berlalu sudah. Tun Sheikh dengan kelam
kabut pergi membantu menghantar keluarga mengundi di Johor Bahru, Muar dan
Selayang Selangor. Memang terbukti jika ada berlaku penipuan terancang, memang
tidak mustahil seseorang itu boleh mengundi beberapa kali dalam sehari. Jam 9
pagi di Kempas Johor Bahru, anak sulung pergi mengundi. Kemudian bergegas ke
Muar mengambil masa 2.30 jam perjalanan dan sempat menghantar isteri dan
adik-beradik beliau mengundi di kampong jam 12.30 tengahari. Jam 4 petang Tun
Sheikh telah berada di Selayang mengundi untuk diri sendiri.
Inilah akibat sayangkan tempat
mendaftar mengundi. Anak sulung mengundi buat kali pertama kerana mendaftar di
Johor Bahru ketika Tun Sheikh bertugas di sana selama 7 tahun. Muar tempat
isteri dan keluarganya dan juga keluarga Tun Sheikh. Penat sungguh berkempen
tapi yang telah terdaftar dalam saluran 1 memang liat untuk berubah. Anak-anak
yang telah berjaya dan sudah keluar universiti bertungkus-lumus memujuk
ibu-bapa mereka supaya megundi bukan Dacing. Mulanya mengangguk-angguk tapi bila sudah keluar dari tempat mengundi
dan tanya, “abah, mak pangkah apa?” Mereka jawab…”entah, mak nampak dacing
aje..mak pangkahlah dacing..” Bila kita
tanya..” la.. kan kita nak buat perubahan dan ke arah kebaikan untuk mengajar
AMNOBN yang rasuah?” Mereka jawab,.. “
memang nak dan suka baik, tapi bila nampak ketua kampong terjenguk di
situ..tiba-tiba tak sampai hati pulak jika tak
pangkah dacing…” Kadang-kadang jika direnung-renungkan, agak lucu juga
karenah orang tua atau orang lama ni. Itulah orang tua kampong dan mereka tidak
boleh ditegah kerana itu adalah hak mereka.
Ketika di Muar, Tun Sheikh
terserempak ramai saudara mara pangkat sepupu, bapa dan mak saudara, atuk
saudara dan sebagainya. Mungkin secara rambang banyak anak-anak mereka yang
sudah berjaya dan berpendidikan tinggi
maka boleh dikatakan kebanyakan mereka menolak AMNOBN. Jika Tun Sheikh congak perimbangannya
ialah 3:1 (3 PR : 1 BN). Itu di Muar dan di Muar memang sejarah politiknya unik
kerana banyak pemikiran, pembaruan, penentangan, kritis dan sebagainya sejak dari sebelum Zaman Perang
Jepun lagi. Sebabnya adalah kerana penduduk Muar kebanyakannya terdedah dengan
dunia luar. Jika kita baca sejarah lama, nama Pekan Muar, Teluk Dalam atau Kole
(Kuala) ini merupakan pekan atau bandar pelabuhan tua yang telah biasa dengan
orang asing atau pedagang asing. Jadi, Muar Bandar dan sekitarnya terdiri daripada orang Melayu yang tidak
berfikiran jumud. Penduduk Muar juga banyak yang pernah dan tinggal sama ada belajar atau bekerja di luar negeri.
Tapi lain halnya pula apabila bertanya
kakak Tun Sheikh yang baru berpindah di kampong berpersekitaran penduduk suku
Jawa yang masih menggunakan bahasa Jawa sebagai bahasa seharian dan perhubungan
antara sesama mereka. Kakak Tun Sheikh suaminya orang Jawa dan beliau dari awal
telah diperingatkan oleh mereka, jangan
undi lain kecuali dacing. Fanatik betul orang Jawa ni. Mereka pesan , “dulu
kita susah AMNOBN tolong. Sekarang orang Jawa pun sudah banyak jadi pemimpin
AMNOBN, jadi jangan suka-suka pilih lain.”
Selepas selesai mengundi, kami
pulang ke rumah dan isteri Tun Sheikh sibuk menyediakan makanan untuk keluarga
besar kami. Dia juga mencuci pakaian kotor yang telah 2 hari kami tinggalkan. Dakwat
di jarinya sudah luntuh dan apabila ditanya, dia cakap tidak perasan sudah
hilang semua sebab kena serbuk pencuci. Bagi orang biasa seperti kami, itu semua tidak penting dan tidak menjadi
masalah kerana kami faham, penggunaan dakwat adalah untuk mengelak penipuan.
Tetapi pada keesokannya kami amat terperanjat apabila heboh berita mengatakan
pengadu yang membuat lapuran polis mengatakan dakwat mudah hilang dikenakan
tindakan oleh majikannya. Pihak SPR pula bertegas dengan begitu prejudis
sekali.
Tun Sheikh terfikir dan semacam
terasa memang boleh berlaku penyelewengan. Lebih-lebih lagi banyak khabar angin
dan desas-desus di sana sini tetapi amatlah tidak bijak jika kita hendak
menyibuk sebab kita tidak mempunyai kuasa apa-apa dan pengaruh kecuali boleh
menulis di blog sendiri. Itu pun tujuannya adalah sebagai perakam saja untuk
masa hadapan. Di Johor misalnya Tun Sheikh dapat berita dari seorang sahabat
perempuan dekat tempat Tun Sheikh kerja dahulu mengatakan teman lelakinya
seorang pegawai polis berasa bingung kerana mengetahui seramai 38,000 orang
Sabah dan Sarawak sedang bersiap-siap menunggu untuk dihantar mengundi ke
sebelah utara. Sebelum itu seramai 36,000 telah dihantar ke Perak, Selangor,
Pahang dan Negeri Sembilan. Mereka baru dua minggu sampai diantara 18 April hingga
1 Mei. Oleh kerana sahabat Tun Sheikh itu berperangai tidak elok kerana
mempunyai kekasih gelap seorang pegawai polis walau pun sudah bersuami maka
apa-apa ceritanya hanya jadi lipur lara. Tetapi apabila banyak maklumat Tun Sheikh dapati terutama dari ABIM Selangor
yang mendapat aduan dari seorang bekas ahlinya yang bekerja sebagai juruterbang
melaporkan bahawa beliau telah membawa 5 trip perjalanan dari Sabah ke Kuala
Lumpur, hati Tun Sheikh bertambah resah kerana ini adalah suatu penyelewengan.
Setiap kali pengundi luar ini
dilapor dan diuar-uarkan, setiap kali itu pegawai SPR membuat makluman di
televisyen dan akhbar perdana bahwa proses pendaftaran pengundi adalah teratur
dan bersih. Malah menyatakan bahawa tiada apa-apa kesalahan atau larangan jika
seseorang yang berasal dari tempat lain mendaftar mengundi di tempat lain
seperti di tempat bertugas dan sebagainya. Yang penting mereka mesti warganegara
yang layak dan mempunyai kad pengenalan yang sah.
PR13 pada tahun ini betul-betul
membuat Tun Sheikh nostalgia, teringat ketika masa muda-muda dulu pernah menjadi
kerani pilihanraya dan pernah juga menjadi penolong pengurus bilik mengundi dan
ada satu kali menjadi agen calun (pemerhati) dalam bilik mengundi. Pengalaman
ketika muda dulu boleh Tun Sheikh simpulkan kerja macam kerbau dicucuk hidung
saja dan memang disuruh bias kepada AMNOBN. Tetapi ketika menjadi agen calun,
Tun Sheikh sudah matang dan tahu muslihat SPR dan AMNOBN. Bolehlah Tun Sheikh
simpulkan melalui pengalaman silam sehingga ke hari ini bahawa system
pilihanraya di Negara ini dari dulu sampai sekarang hanya kelihatan bersih di
atas kertas rasmi sahaja. Jika benar-benar bersih mungkin sudah lama kerajaan
AMNOBN telah bertukar sejak dulu lagi.
Pada malam keputusan pengiraan
undi, Tun Sheikh tidak tidur kerana menunggu perisytiharan dari SPR di TV.
Banyak sms masuk mengatakan PR mendahului dan menang banyak tempat tetapi tidak
diisytiharkan oleh SPR. Di skrin tv ada ruang berita pendik yang benar-benar
bercanggah dengan sms yang Tun Sheikh terima. Namun kerana sama-sama tidak
dianggap sah maka terpaksa menunggu begitu lama. Banyak sms memaklumkan
penipuan pengiraan di pusat pengiraan peti undi berlaku tetapi Tun Sheikh tidak
begitu emosional terhadap itu kerana mengandaikan 50/50. Ini adalah kerana agak
mustahil PR akan menang kerana proses mendaftar undi begitu licik dan
dilindungi oleh undang-undang pula. Tambah pula semua pemimpin AMNOBN
seolah-olah telah tahu keputusan kemenangan dengan strategi yang telah
dilakukan iaitu menang di Kedah, Perak, Selangor atau dengan kata lain menang
di semua negeri kecuali P. Pinang dan Kelantan yang digugat dengan kemenangan
beberapa kerusi sebagai rekod peningkatan AMNOBN konon. Mereka juga memperlekeh
usaha PR di Johor dan dengan sombong serta angkuh meminta PR jangan bermimpi.
Apabila pakar-pakar analisis politik bebas membuat kajian kemenangan
AMNOBN, memang terbukti dan sesuai
sebagai mana mereka rancang kecuali terkejut kerana tidak menang di Selangor
dan terdapat beberapa kerusi di Negeri Sembilan, Johor dan Pahang serta
Terengganu yang hilang. Dan adalah sungguh malang kerana tidak menang besar 2/3 malah merosot. D isamping itu rekod rasmi SPR mencatat 52% rakyat mengundi PR dan 48% BN. Kerana sistem yang dipakai ialah sistem kawasan dan bukan berdasar jumlah kepala maka BN menang (P133) berbanding PR (P89).
Rakyat hendaklah dengan terpaksa
menerima keputusan pilihanraya demi keamanan dan kebaikan jangka pendik tetapi
jangan memberi kerjasama dengan kerajaan AMNOBN yang meneruskan budaya
penipuan, rasuah dan pecah amanah ini. Mereka telah menang dan jangan harap
mereka akan berubah mengamalkan budaya tadbir yang baik dan telus kerana tiada factor
keinsafan atau batas halangan. Sebelum PR13 mereka yang berkuasa dan tentu
sekali tiada perubahan dasar dan pemimpin tertinggi terutama PM dan TPM.
Lainlah jika mereka menang setelah dikalahkan atau ditolak oleh rakyat sebelum
ini. Fikir-fikirkanlah…….
Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
Kompleks Muhibah Ampang 12.5.2013