Saturday, December 28, 2013

Nostalgia BN dan Barang Naik



Nostalgia BN dan Barang Naik

Tun Sheikh masih ingat masa zaman kanak-kanak dulu nilai 5 sen dapat membeli barangan yang agak lumayan terutamanya bagi golongan kanak-kanak. Sebiji kuih berharga 5 sen dan cukup lumayan kerana kuih besar dan mengenyangkan. Sebiji karipap, dulu orang Muar panggil temusa sebesar dua tapak tangan budak atau dalam nisbah sekarang lebih kurang 3 biji. Karipap sekarang sudah dikecilkan saiznya dan dijual 3 seringgit. Tidak lama lagi malah Tun Sheikh sudah terjumpa di PJ State, Bangsar, Ampang, Damansara dan banyak lagi di tempat-tempat atau kawasan perumahan orang berduit di Kuala Lumpur, kuih karipap sebesar bola pimpong itu telah dijual dengan harga RM2 untuk 5 biji. Banyak juga kuih-kuih lain yang sama besarnya seperti karipap mini itu diselaraskan harganya RM2 untuk 5 biji. 

Masa zaman kanak-kanak dulu dapat beli 5 biji dengan harga cuma 20 sen. Kalau beli gula-gula 5 sen seperti Hacks dapat 5 biji. Gula-gula yang tidak berjenama dapat 7-8 biji 5 sen. Aiskrim kampong yang dibuat dari bubur kacang hijau, milo, sirap, asamboi dan lain-lain yang panjangnya 1 kaki (12 inci) atau ukuran sekarang ialah 30 cm berharga 5 sen sebatang dan sering dijual 5 batang berhaga hanya 20 sen jika kita beli banyak.  Lumayan dan mewah sekali jika makan aiskrim. Ke hulu ke hilir batang aiskrim bergayut kat mulut atau dalam genggaman tangan kerana panjang, sedap dan lambat habis. Kepada yang mempunyai adik beradik yang ramai, aiskrim boleh dipotong dua dan kepada yang berkawan ramai aiskrim dipas-pas sekali gigit dan kita tidak berasa aneh kerana sekali gigit dapat masuk ke mulut dengan saiz yang agak besar, sejuk, manis dan sedap. Ketika seketul berada dalam mulut, kita dapat menikmati keenakannya kerana tidak boleh ditelan terus. Jika anda makan sebatang seorang terasa lamanya hendak habis sehingga kecut tangan kesejukan. 

Berbanding dengan aiskrim pada hari ini yang panjangnya tinggal separuh dan harganya 30 sen atau 50 sen sebatang bergantung tempat, rasanya pula agak tawar kerana dikurangkan gulanya. Maka bolehlah dikata dalam hal ini zaman dulu, kanak-kanak lebih menikmati keberkatan makanan. Walau pun tidak banyak perasa dan pelbagai pilihan, kebanyakan makanan, kuih-muih dan lauk-pauk adalah bebas dari bahan kimia dan keracunan yang berpunca dari bahan perasa dan pewarna tiruan. Zaman kanak-kanak yang Tun Sheikh maksudkan itu adalah sekitar tahun-tahun 1960-an. Cerita zaman kanak-kanak orang tua Tun Sheikh pula mengatakan duit syiling 1 sen masih digunakan dan laku dengan nilai yang lumayan juga pada tahun 30-an dan 40-an . 
Manakala cerita daripada datuk dan nenek Tun Sheikh dari lisan orang tua Tun Sheikh mengatakan pada tahun-tahun belasan dan 1920-an ada wang syiling ¼, ½,3/4 sen yang masih digunakan untuk berbelanja harian.

Dalam keluarga Tun Sheikh terdapat banyak ahli keluarga yang menyara hidup dengan pelbagai pekerjaan. Ada tukang kebun, penarik beca, penoreh getah, kerja mengambil upah kerja kampong, ada makan gaji dalam pelbagai pangkat dengan kerajaan dari yang serendah-rendahnya sampai pegawai daerah, guru, dokter dan ada yang menjadi tokoh masyarakat yang glamor seperti ketua kampong, penghulu, ahli politik dan orang besar sultan. Ada juga yang menjadi peniaga runcit dan pemborong atau makan gaji dengan pihak swasta atau dalam perusahaan dan perniagaan milik taukeh-taukeh Cina. 

Dalam pemerhatian Tun Sheikh kesemuanya menjalani hidup seharian dengan hal masing-masing tanpa terputus sirahturahim atau tidak angkuh dengan kesombongan. Hal ini memang telah lama menjadi budaya dan amalan orang atau penduduk Muar. Orang kaya sombong atau yang zalim, yang ganas dan yang berkelakuan sangat jahat boleh dikatakan tergolong dalam kes terpencil dalam masyarakat atau budaya hidup orang Muar. Sampai ke hari ini ada pendapat dan pandangan dari orang luar Muar terutama luar negeri Johor yang mengatakan bahawa orang Muar agak sombong atau seperti orang sombong.

Tun Sheikh beranggap persepsi sebegini adalah biasa kerana kebanyakan orang yang berkata dan berpandangan sedemikian adalah orang luar Muar atau luar Johor yang melihat dari jauh. Bagi Tun Sheikh kebudayaan orang Muar adalah perihatin dan liberal. Maksudnya mereka mengambil tahu dan peka dengan masyarakat atau orang dan keadaan sekeliling tetapi tidak sampai ke tahap terlalu ‘ menjaga tepi kain orang’. Budaya ini adalah hasil pengalaman dan budaya mementingkan pelajaran tinggi sejak zaman dulu lagi dan bertambah pro-aktif apabila keturunan bangsawan Melayu-Bugis Campa memerintah Padang atau Muar kerana mereka membawa budaya ilmu, dagang, perintah atau pentadbiran dan kebebasan dalam berusaha atau menjalankan perusahaan yang disenangi diri sendiri.

Berbalik mengenai nostalgia harga barang naik, Tun Sheikh tidak mempunyai pengalaman yang perit dari sejak kanak-kanak sehinggalah tua setelah menjadi datuk yang bercucu. Namun Tun Sheikh dapat perhatikan sebanyak sedikit telah menyulitkan dan menyusahkan hidup dari kalangan keluarga dalam bidang-bidang pekerja tertentu termasuk yang makan gaji dan bergaji tetap. Pada keluarga yang menjalankan perniagaan sama ada yang kecil mahupun besar, sungutan mereka terhadap kenaikan harga barang tidak beberapa kedengaran. Ini bererti kenaikan harga barang atau sering dikenali dengan istilah inflasi tidak banyak mempengaruhi atau memberi kesan negative kepada mereka yang berniaga.

Ada juga keluarga yang bekerja sendiri menghadapi kesulitan barang naik atau inflasi tetapi oleh kerana kebanyakan mereka mempunyai kebun atau tanah pusaka, mereka dapat mengutip hasil tanaman sendiri seperti sayur-sayuran untuk keperluan keluarga. Kepada yang tidak punyai kebun dan makan gaji yang kecil memang amat memeritkan. Mereka bekerja keras membuat kerja tambahan bagi menambah pendapatan tetapi pada kebiasaannya didikan dan displin atau focus pendidikan anak-anak sering terkorban.

Sehubungan dengan itu, bagi Tun Sheikh phenomena harga barang naik sepanjang masa adalah lumrah tetapi apa yang Tun Sheikh lihat yang agak jangkal ialah pada zaman Kerajaan Perikatan, orang politik dan pemimpin Melayu bertungkus lumus berusaha mengikat atau mengawal harga supaya tidak terus naik. Mereka mengadakan kempen Anti-Sorok Barang dan keluar memeriksa para peniaga supaya tidak menaikkan harga barang sesuka hati. Mereka mencari sebab-sebab berlaku inflasi dan berusaha mengatasinya.

 Apabila Kerajaan Perikatan menjadi Barisan Nasional, amat jelas usaha mengawal kenaikan harga barang banyak berpindah kepada badan berkanun dan akhirnya pada hari ini telah dimiliki orang persendirian melalui Dasar Penswastaan. Tanpa rakyat sedari sebenarnya harga barangan pada hari ini boleh dikatakan ditentukan oleh pemonopoli. Kerajaan BN pula kelihatan tidak lagi menjaga kepentingan rakyat tetapi sebaliknya menyebelahi pemonopoli yang didakwa mempunyai saham dan kepentingan kerajaan juga. Dalam pengalaman dan pergaulan serta pengamatan dengan keluarga yang datang dari pelbagai bidang terutama yang berniaga sikap tamak haloba dan cita-cita untuk menjadi cepat kaya dengan usaha yang sedikit adalah satu hal yang tidak bertanggongjawab dan amat merbahaya.

Zaman peka kepada rakyat oleh kerajaan, bagi  Tun Sheikh kelihatan berlaku sejajar dengan tokoh-tokoh Zaman Poltik Perikatan yang sering dan sentiasa peka mengikat harga barang supaya tidak terus naik demi kepentingan rakyat. Ini amat berbeda di Zaman Politik Barisan Nasional setelah berlaku Peristiwa 13 Mei 1969 yang bercita-cita menguasai segala bidang sehingga terpaksa berkorban macam-macam hak dan keistimewaan Melayu. Mereka tidak peka kepada serangan inflasi atau harga barang yang naik begitu laju.

 Keadaan bertambah buruk setelah Dasar Penswastaan diperkenalkan yang hanya mementingkan keuntungan besar. Keadaan seperti tidak terkawal yang akhirnya membebankan rakyat sendiri. Pada hari ini keadaan dan kuasa orang politik telah meresap dalam politik wang yang cepat mengkayakan tokoh-tokoh politik yang berpengaruh dan berkuasa sehingga memang sesuai Barisan Nasional disinonimkan dengan Barang Naik hasil dari tangan-tangan tokoh politik Melayu yang rakus dan mementingkan diri. Kita sangat-sangat mengharapkan tokoh-tokoh BN yang mengamalkan nilai amanah agar bangkit menolak tokoh-tokoh yang tidak jujur dan rasuah supaya dasar mementingkan rakyat diamalkan semula.
Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
Padang Pahlawan Melaka
1.12.2014
 
Copyright 2009 Nostalgia
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere