Friday, January 4, 2013

NOSTALGIA AMANAT HAJI HADI AWANG



NOSTALGIA AMANAT HAJI HADI AWANG

Ketika Amanat Haji Hadi Awang tersebar pada tahun 1981, Tun Sheikh berusia awal 20-an dan baru meninggalkan alam persekolahan. Tun Sheikh telah bekerja sambil menunggu untuk melanjutkan pelajaran di luar Negara. Ketika itu Tun Sheikh telah meninggalkan UMNO kerana UMNO Tun Sheikh hanya di kampung, Muar Johor. Masa di kampung, Tun Sheikh aktif dalam politik pemuda UMNO dan dapat pelbagai peruntukan terutamanya dalam bidang sukan. Dapat jersi, dapat bola , dapat but, setokin  malah boleh dikatakan lengkap semua. Apa saja Pemuda UMNO minta asal dalam bidang sukan dan hiburan, boleh dikatakan semuanya dapat dengan syarat jangan banyak membantah atau jangan sibuk urusan orang tua.  Semua anak muda kampung gembira dan tanpa sedar ikut sahaja saranan jawatankuasa atasan UMNO.

 Pemuda atau belia kampung seusia 15 tahun ke atas berjaya dipengaruhi menjadi belaci UMNO meskipun sebenarnya nama mereka tidak rasmi berdaftar kerana belum cukup umur dan menyalahi undang-undang. Mereka disuruh ikut saja perancangan dan kehendak pimpinan atas. Masa itu pemimpin tertinggi baru pusat yang sungguh popular dan glamour ialah Dr Mahathir. Tun Sheikh yang sejak dari kecil bersikap kritis, tidak takut orang dan tidak suka dikongkongi berasa semacam ada sesuatu yang tidak kena. Sikap Tun Sheikh sebegitu adalah hasil minat Tun Sheikh yang tersangat suka membaca buku-buku agama terutamanya terbitan Indonesia dan ketika itu Tun Sheikh juga telah mengulangi membaca beberapa kali Kitab Terjemahan  Al Quran terbitan Departmen Agama Indonesia. Begitu juga telah habis baca Sahih Bukhari dan Muslim. Tun Sheikh adalah pemuda yang suka ikut dan aktif dalam jawatankuasa atau biro agama tetapi pada kebiasaannya biro agama dalam UMNO diserahkan kepada ahli jawatankuasa surau atau masjid kampung.

 Bapa Tun Sheikh  memberi galakan supaya mencari ilmu agama. Tun Sheikh masih ingat semasa mendaftar sekolah rendah, bapa masukkan ke sekolah Melayu dan di sebelah petang bersekolah agama. Tetapi hanya sebulan sahaja kerana abang Tun Sheikh telah memindahkan Tun Sheikh ke sekolah Inggeris. Dalam keluarga Tun Sheikh, minat politik adalah pelbagai. Bapa lebih kepada tasauuf dan berzuhud. Emak sibuk mengurus rumah tangga, abang-abang dan kakak aktif dalam UMNO. Bapa saudara dan saudara-saudara pupu yang dekat banyak yang masuk DAP, Parti Buruh, Sosialis, PAS dll. Datuk saudara adalah orang penting dalam Parti Sosialis/Buruh (berlambang Tanduk Lembu). Pokoknya sejak kecil Tun Sheikh telah terdedah dengan pelbagai fahaman politik. Yang paling berpengaruh ialah UMNO sehingga boleh dikatakan majority orang Johor sejak kecil membesar di bawah pengaruh UMNO. Begitu juga Tun Sheikh tetapi kerana Tun Sheikh rapat dengan bapa maka kecenderungan beragama agak lebih sedikit dari segi minat dan pembacaan.

 Apabila Tun Sheikh keluar Johor, dan mengetahui latar belakang PM Dr Mahathir, Tun Sheikh terasa UMNO akan dipergunakan semahunya. Tun Sheikh terus berjinak dengan ABIM kerana berasakan PAS begitu ketinggalan dari segi sains dan teknologi. Mereka leka dan asyik popular dengan fatwa dan hukum hakam saja. Mereka tidak professional. Mereka juga sering diperlekeh oleh UMNO sehingga kelihatan begitu kerdil dan ketinggalan zaman. Masa itu ABIM pula begitu aktif dan komitet kepada perkembangan dunia Islam terutama dari kalangan belia. Ketika itu dunia dianggap sedang kebangkitan  para belia Islam. PAS terus ditekan oleh UMNO dan kerajaan BN. PAS digambarkan terpesong dan tidak tulen.  PAS sering dipersenda oleh pemimpin UMNO. Ketika dalam keadaan tertekan dan penghinaan berlebihan terhadap dasar Islam yang diperjuangkan PAS inilah Ustad Hadi Awang telah mengupas ciri-ciri kesesatan Islam, munafik dan orang-orang kufur. Pengikut yang taksub dan fanatic terus menjauhkan diri dan mengasingkan diri dengan orang-orang UMNO terutama  yang terdekat dalam keluarga mereka sendiri. Mereka berbalah dan berhujah sehingga kafir mengkafir sesama sendiri.

UMNO telah menerima pelbagai aduan daripada ahli-ahlinya dan mengambil kesempatan menuduh PAS mengkafirkan orang Melayu sesama Islam yang tidak  berfahaman politik PAS. Itulah strategi Dr Mahathir bagi mengatasi malah bercita-cita membunuh politik berdasarkan agama Islam yang diperjuangkan PAS. Di masa yang sama UMNO melihat ABIM sangat berpengaruh di kalangan belia dan para cendekiawan Islam dan skular yang meminati agama. PM dan pengikut-pengikutnya sering menghina PAS dan memuji ABIM dan akhirnya berjaya memujuk Sdr Anuar Ibrahim ketua ABIM menyertai UMNO.

Anuar Ibrahim telah menyertai kabinet Dr Mahathir setelah menjadi Senator dan dilantik menjawat Timbalan Menteri. Banyak kejutan berlaku dalam ABIM. Sebahagiannya meninggalkan ABIM dan menyertai PAS dengan alasan faktor umur. Sebahagiannya menyertai Arqam yang semakin berpengaruh dan maju dalam ekonomi tersendiri yang mereka perkenalkan. Tun Sheikh ketika itu terus mengikut kumpulan usrah Sdr Ramli Mohktar di Petaling Jaya, orang kanan Sdr Anuar Ibrahim dalam ABIM. Tun Sheikh tidak lagi aktif apabila melanjutkan pelajaran ke Indonesia pada 1983. Di Sana Tun Sheikh telah mengikut Jemaah Al ArQam yang sering datang berziarah dan aktif menubuhkan Cawangan Luar Negeri sehingga rangkaian cawangannya terdapat di seluruh dunia.
Ketika Tun Sheikh sedang melanjutkan pelajaran sehingga balik pada tahun 1986, UMNO kelihatan begitu berpengaruh dan kuat dan dasarnya seolah-olah lengkap sama ada skular dan agama. Sdr Anuar berjaya membawa masuk budaya Islam dalam UMNO yang sebelum ini lebih dilihat kemelayuannya sahaja. Tun Sheikh sangat gembira dan sungguh teruja ketika pulang bercuti pada tahun 1984 & 1985 mendapati murid-murid Islam di sekolah semua bertudung dan budaya masyarakat Melayu Islam menutup aurat dan bertudung begitu meluas di tempat-tempat umum dan awam.

Setiap kali pilihanraya Dr Mahathir telah menggunakan isu ini sebagai senjata ampuh UMNOBN. Setiap kali menjelang piliharaya, UMNOBN telah menggunakan isu agama yang simpal, mengaku sebagai pejuang agama tetapi amat mengelirukan kepada orang awam seolah-olah PAS melampaui batas dan sesat dalam agama. Setiap kali kemenangan UMNOBN,  trek rekod yang menolak dan melonjakkan kejayaan dan kemenangan mereka ialah  isu agama. Mereka berpura-pura seolah-olah mereka adalah ISLAM YANG BERJAYA DAN SEMPURNA DAN PAS ADALAH SI PENIPU DALAM AGAMA DAN POLITIK. Hari ini UMNOBN berterusan menggunakan strategi lapuk mereka menuduh dan membesarkan fitnah kepada Ustad Abd Hadi melalui Amanat Abd Hadi 1981 bahawa PAS mengkafirkan semua Islam Malaysia yang tidak menyokong PAS. Mereka yakin isu agama Islam akan berjaya menutup kejahatan dan kesesatan mereka sendiri. Biarlah mereka merancang dan membuat fitnah.

 Sesungguhnya Tuhan juga Maha Merancang dan perancangan Tuhan adalah sebaik-baiknya. Selaku hamba dan umat Muhammad SAW, marilah sama-sama kita berpegang kuat kepada tali Allah iaitu Al-Quran dan Hadis sebagai pegangan kukuh dan panduan  mengharungi hidup dalam takdir dan kuasa kepunyaan Allah ini. Amin ya Allah.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
Kg Baru KL 4.1.2013
 
Copyright 2009 Nostalgia
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere