Monday, December 6, 2010

Buah Busuk Reformasi

Samseng Kampung Buah Busuk Reformasi
Nafsu Dicipta Cenderung Kepada Kemungkaran


Pada 21 November 2010 ketika bercuti Hari Raya Haji, Tun Sheikh telah membawa keluarga bersantai ke Pantai Batu Layar Pengerang Johor, melepaskan nostalgia di Shely Kampung yang pernah Tun Sheikh tulis dahulu. Tun Sheikh membuat rancangan ke situ setelah membatalkan untuk ke Air Papan Mersing kerana khuatir ombak besar di musim tengkujuh yang sedang melanda ketika ini. Dua buah keluarga dengan dua buah kereta, sahabat isteri Tun Sheikh telah meneruskan rancangan mereka untuk ke Pantai Air Papan Mersing kerana mereka ingin melihat kampung halaman YB Sallehudin Ayub, kepimpinan muda PAS yang terkenal itu.

Sahabat isteri Tun Sheikh ini tinggal berjiran di Kuala Lumpur. Seorang berasal dari Pulau Pinang dan seorang lagi berasal dari Kedah.Mereka amat gembira dapat sampai ke Bandar Mersing walaupun tanpa bantuan Tun Sheikh sekeluarga. Ketika berada di Mersing mereka tidak putus-putus menghantar sms kepada Tun Sheikh yang sedang berkelah di Pantai Batu Layar. Ombak memang besar dan angin sentiasa kuat di Mersing tetapi masih selamat dan perlu berhati-hati.

Apa yang sangat mengecewakan Tun Sheikh ialah panggilan telefon dari mereka ketika mereka dalam perjalanan pulang dari Pantai Air Papan. Mereka mengatakan telah terlibat dalam kemalangan jalan raya yang boleh dikata bukan sebagai kemalangan tetapi sangat tidak menyenangkan mereka malah tidak dapat menerima peristiwa itu pada hakikatnya.

Mereka menceritakan kepada Tun Sheikh ketika mereka menggunakan jalan kampung yang kecil ukur-ukur untuk sebuah kenderaan, mereka telah dihadang oleh sebuah kereta proton wira. Setelah mereka ketepi untuk memberi laluan, kereta proton wira yang kelihatan angkuh kerana sebelum itu telah membunyikan hon dan menyalakan lampu, kelihatan juga menunggu. Mereka pun meneruskan perjalanan dengan sangat perlahan tetapi apabila mereka berselisih, kereta wira juga bergerak mengakibatkan kereta mereka bergesel dan sama-sama tercalar.

Pemandu dan isteri dari kereta wira itu terus keluar dan membuat kecuh sambil isterinya terus menelefon abang long dan abang ngah. Dalam beberapa minit sahaja dua buah van dan sebuah lori kecil sarat dengan pemuda kampung telah datang dan menghalang laluan dari arah belakang dan arah hadapan.

Dalam pertengkaran itu mereka dipaksa membayar RM300.00 kepada pemilik kereta proton wira. Pada awalnya mereka menuntut RM500.00. Hal ini sangat tidak memuaskan hati sahabat Tun Sheikh kerana calar itu sangat sedikit dan tidak senilai dengan bayaran yang dipaksakan. Keadaan kereta wira pula buruk seperti tidak terurus.

Apabila Tun Sheikh meminta maklumat lanjut, sahabat Tun Sheikh memberi tahu mereka diperli kerana plat kereta mereka berdaftar di Pulau Pinang dan Kedah.Orang kampung yang datang itu menyebut-nyebut kawasan itu adalah kawasan UMNO dan bukan PKR. Tetapi apa yang sangat menyakitkan hati ialah kebanggaan mereka terhadap Abang Long dan Abang Ngah. Ini mengingatkan Tun Sheikh terhadap penglibatan dan aktiviti Pekida. Dan kemalangan ini seolah-olah memang telah dirancang mereka. Sehingga ke hari ini telah beberapa kali terdengar orang luar atau pelancong dipaksa membayar ganti rugi kepada orang kampung kerana terlanggar ayam atau bergesel dengan kenderaan orang kampung. Bayaran ganti rugi yang dituntut pula tidak masuk akal tetapi mereka terpaksa membayarnya kerana takut gelagat samseng kampung .

Hal seperti ini jarang atau boleh dikatakan tidak pernah berlaku di Johor kerana Tun Sheikh adalah anak jati Johor. Penduduk Johor dianggap banyak yang berpelajaran dan maju. Ini sangat mengecewakan Tun Sheikh lebih-lebih lagi dilakukan oleh penduduk yang pro UMNO dan UMNO memang telah sebati dengan fahaman rakyat negeri Johor.

Hal ini juga mengingatkan satu peristiwa ketika teksi Tun Sheikh yang sedang menghala ke lapangan terbang di Jakarta telah dihadang oleh orang kampung pada tahun 1998. Ketika itu pergerakan reformasi Indonesia oleh golongan pelajar sedang memuncak. Setelah membayar RM500.00 barulah teksi Tun Sheikh dibenarkan pergi. Jika tidak mahu membayar, mereka mengancam akan merosakkan teksi itu. Mereka dipengaruhi dengan fahaman bahawa lapangan terbang itu hanya digunakan oleh orang kaya sahaja dan orang kaya adalah ciptaan kerajaan yang telah mengenepikan nasib rakyat marhein.

Kecut juga perut Tun Sheikh dan tidak memikirkan kerugian wang lagi berbanding keselamatan diri dan nyawa. Mereka sungguh aggeresif seperti hampir hilang ingatan kecuali ketua mereka. Senjata mereka yang mengepung teksi Tun Sheikh ialah bambu runcing dan kelihatan juga terselit parang dan pisau di pinggang mereka. Teksi Tun Sheikh dihentak dan dipukul-pukul dengan galah buluh yang tanjam terkenal sebagai bambu runcing.Pegawai perempuan warga Indonesia yang ditugaskan menghantar rombongan Tun Sheikh, menangis teresak-esak ketakutan sambil memeluk Tun Sheikh. Hampir panik juga dibuatnya. Kami dianggap bernasib baik oleh pemandu teksi kerana kami adalah bekas mahasiswa Universiti Indonesia ketika kami menjawab pertanyaan ketua orang yang mengepung teksi kami itu.

Itulah buah reformasi. Buah yang busuk. Peristiwa yang dialami oleh sahabat isteri Tun Sheikh tadi hampir serupa. Buah reformasi yang busuk kerana Pekida lahir setelah reformasi di Malaysia. Objektif penubuhannya sangat baik tetapi telah salah digunakan. Apabila Tun Sheikh bergegas hendak ke Mersing membantu sahabat tadi, beliau memaklumkan bahawa beliau telah berkongsi membayar tuntutan samseng kampung itu dan terus pulang ke Kuala Lumpur.

Mereka sempat mencatat dan mengambil gambar samseng kampung yang terlibat tetapi tidak bercadang untuk melaporkan kepada polis. Mereka yakin kelakuan samseng kampung atau Pekida salah laku itu, akan memakan diri nasib orang kampung itu sendiri.Paling tidak, pelancung atau pelawat tidak akan tertarik untuk datang ke Mersing kerana kebiadapan orang kampung dan mereka akan terkeluar dari arus kemajuan yang UMNO bangga-banggakan.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

Tuesday, October 5, 2010

NOSTALGIA MELAYU

FATAMORGANA REALITI DAN HARAPAN

UMNO, PAS, ABIM, KEADILAN BUKAN MELAYU


Ibu bapa Tun Sheikh tidak banyak adik-beradik tetapi sangat banyak saudara-mara. Dalam diri Tun Sheikh semacam ada sumpah sesumpah. Ini adalah kerana jika dianalisis DNA atau genetik maka akan kedapatan domain genetik bangsa yang pelbagai. Pada zahir memang tidak kelihatan kecuali Melayu.Hakikatnya ada genetik atau darah Arab,Jawa, Cina, Melayu, Bugis, India dan sakai sama ada seletar atau sakai darat. Yang pasti tidak ada ialah darah orang putih, Jepun atau Negero kerana tidak pernah mendengarnya dari orang tua atau saudara mara.

Seingatan Tun Sheikh, masa kanak-kanak sebelum sekolah sehingga darjah 2 atau berumur 8 tahun, sering ikut bapa membonceng basikalnya menziarah saudara-mara. Selepas itu hingga berusia 12 tahun menaiki beca. Menjelang remaja, dengan kereta dan setelah Tun Sheikh berusia 15 tahun, bapa Tun Sheikh di rumah diziarahi sanak saudara, murid-muridnya dan sahabat handai serta keluarga mereka sehinggalah bapa Tun Sheikh meninggal dunia ketika Tun Sheikh berusia 18 tahun.

Apa yang Tun Sheikh ingin nukilkan di sini ialah nostalgia pengalaman Tun Sheikh ketika mengikut bapa sejak kecil itu. Dan saudara-mara bapa memang agak pelik pada perasaan Tun Sheikh ketika kecil dulu tetapi apabila menjelang dewasa, Tun Sheikh mengerti dan faham asal punca dan asal usul mahupun susur galurnya. Domain pemikiran kami adalah Melayu tetapi ciri-ciri dan sifat kesempurnaan Melayu masih fleksibal dan subjektif.

Ketika mengikuti bapa mengunjungi saudara Arabnya maka jadilah bapa Arab celup Melayu. Tun Sheikh masih jelas mengingati ketika menjadi penunggu setia ketika bapa mengunjungi saudara Jawanya atau ketika bertandang ke rumah Tun Sheikh. Mereka bertutur Jawa dan bapa Tun Sheikh bertutur Melayu. Begitu juga dengan saudara-mara Tun Sheikh dari bangsa Cina Melaka, mereka bertutur baba dan banyak Melayu pelatnya manakala bapa Tun Sheikh juga sedikit-sedikit bercakap Cina yang Tun Sheikh tidak faham dan bercampur pelat Cina Melayunya.

Kalau bertandang ke rumah saudara-mara bapa yang berabuk cakap Inggerisnya, bapa Tun Sheikh macam ayam dangan itik. Mereka cakap orang putih dan bapa Tun Sheikh cakap Melayu. Tapi yang pasti bapa Tun Sheikh tidak faham bahasa Tamil atau India kecuali sedikit urdu yang mirip kearaban dan itu pun lebih seperti ayam dan itik.Bahasa ayam dan itik bermaksud, mereka bertutur urdu bercampur arab pasar dan bapa memahaminya dengan membalas cakap Melayu dan sekali sekala bercampur aedikit dengn ungkapan perkataan-perkataaan mereka.

Itu pengalaman Tun Sheikh. Jika mereka membincang tentang bab keilmuan akhirat biasanya bapa Tun Sheikh sekali sekala menyampuk dan dia adalah pendengar yang baik. Selain itu Tun Sheikh rasa bapa adalah mahir memprovokasi secara positif atau memacu sehingga saudara mara yang alim atau lebih mengetahui tidak malas untuk bercerita. Jika bab atau pasal penghidupan atau pengalaman hidup seharian, biasanya bapa sama-sama memainkan peranan berbalas hujah.

Nostalgia yang paling berkesan di sanubari Tun Sheikh ialah mengenai apa yang dikenali sebagai fahaman politik sekarang. Yang ini agak kontrovesi kadang-kadang sehingga bertekak dan kadang-kadang sampai tidak bertegur sapa. Ada pemikiran UMNO, PAS, DAP, Sosialis (dulu Parti Tanduk Lembu). Kadang-kadang ketika panas bertekak sehingga terbawa-bawa menyindir seperti kata-kata kamu ni kuat Cina jangan terlalu sosialis, kamu ni keling atau kamuni malbari janganlah berotak malbari, Jawa, Arab dan sebagainya.

Sempena musim raya ini, Tun Sheikh sering tersenyum sendiri seorang diri menggenang nostalgia itu lebih-lebih lagi apabila berkumpul dengan anak-anak saudara, sepupu dan sebagainya apabila dalam serumah kampung kami pelbagai wajah berkumpul bergembira bersama. Ada muka Cina sepet, muka India Mamak (cuma kulit tidak hitam legam) ada muka Arab, Jawa dan yang sering menjadi hero dan ramai peminat ialah yang bertampang Melayu yang lembut dan manis. Yang peliknya yang muka Melayu manis ini pulak yang majoritinya berbudi bahasa dan jarang buat perangai yang tidak menyenangkan orang tua atau orang dewasa. Sayang sekali semua mereka yang pelbagai tampang tidak mengetahui bahasa lain kecuali Melayu dan bahasa Inggeris yang diajar di sekolah. Di antara mereka, majoriti yang memiliki akhlak terbaik ialah yang bersekolah agama.

Sehubungan dengan itu Tun Sheikh yakin, Melayu terbaik bukanlah Melayu Arab, Melayu Cina, Melayu India, Melayu UMNO, Melayu PAS atau sebagainya. Tetapi yang terbaik ialah mereka yang berakhlak agama Islam. Maka tentu sekali Tun Sheikh tidak akan bias kepada pelbagai pemikiran politik yang bias kepada sesuatu. Apa yang terpenting ialah memahami agama dan mengamalkannya bukan menggunakannya untuk kepentingan seperti amalan UMNO atau disempitkan pengertiannya seperti PAS. Atau mungkin saja wadah yang PAS gunakan itu telah terbatas atau telah dihadkan oleh musuh-musuh Islam sehingga Islam yang diperjuangkan oleh PAS kelihatan terlalu kerdil.

Maka marilah kita bersama-sama bersatu di bawah panji-panji Islam, bukan panji-panji UMNO atau panji-panji PAS jika kita merasakan PAS terlalu terbatas.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

Tuesday, August 24, 2010

TUN GHAZALI SHAFIE: BAKAT PM NYA DIHISAP KAWAN DAN LAWAN

Tun Ghazali Shafie Seorang Wira Dari Perspektif Orang Muar Johor

Tun Ghazali telah meninggal dunia pada usia 88 tahun pada 25 Januari 2010 di Kuala Lumpur. Beliau telah dilahirkan di Kuala Lipis Pahang pada 22 Mac 1922. Ketika beliau meninggal dunia, tidak banyak liputan keluar terutamanya di akhbar-akhbar utama atau siaran perdana seolah-olah beliau tergolong dari tokoh biasa yang kecil dan jasanya telah dilupakan.

Bagi Tun Sheikh khususnya dan orang Muar pada amnya, sebenarnya beliau ialah seorang tokoh besar standing YM Tunku Abd Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Dr. Ismail. Ini adalah kerana mereka berempat ini sangat dikenali Tun Sheikh di zaman kanak-kanak dahulu sejak berusia 5 tahun hinggalah dewasa dan kini usia Tun Sheikh telah separuh abad. Mereka begitu popular dan sering bermain dibibir orang tua tidak kira di kampong mahupun di Bandar. Ini adalah kerana YM Tunku adalah putera raja dan di Muar sendiri ada perkampungan kerabat diraja Kedah. Tun Razak pula menantu Tan Sri Noah orang besar Muar dan Tun Dr Ismail, bapanya memang orang Muar. Manakala Tan Sri Ghazali pula menjadi kebanggaan kerana dia orang besar berasal dari rakyat biasa yang sangat terkenal kerana kebijaksanaan dan kepintarannya. Orang Muar memang ada kaitan darah keturunan dengan kerabat Pahang. Kami anggap tokoh wira Pahang adalah juga wira kami. Tun Sheikh masih ingat ketika baru masuk sekolah rendah kami telah diajar bahawa Negara Malaysia dibentuk YM Tunku, Tun Razak dan Gazali Shafie.

Ketika berlaku Konfrantasi, ramai saudara-mara Tun Sheikh datang berkumpul di rumah.Masa itu Tun Sheikh belum bersekolah. Hal yang tidak dapat dilupakan kerana orang mengatakan Indonesia menghantar tentera komunis di Labis Segamat Johor. Kerana di Muar banyak orang besar dan bijak pandai maka ramailah datang ke Muar mengadu hal. Tun Sheikh juga dengar tentera komunis di Pontian.Tun Sheikh sangat ingat kerana Tun Sheikh ditakutkan oleh kakak dan abang dengan komunis yang jahat dan dianggap sebagai syaitan sejak kecil dari usia mula mengingat sekitar usia 4 tahun hinggalah 9 tahun yang disangkakan komunis itu adalah hantu. Tun Sheikh sangat takut kerana kakak dan abang juga takut kepada komunis. Ayah dan emak dan semua orang dewasa juga benci pada komunis.

Setahun setelah rumah Tun Sheikh membeli televisyen, heboh pula komunis mengamok di Kuala Lumpur iaitu merujuk kepada peristiwa 13 Mei 1969. Hero Melayu bagi orang kampong masa itu ialah Dato’ Harun Idris yang dikata sebagai penyelamat orang Melayu. Ada juga orang tua heboh-heboh cakap Tun Ghazali bawa masuk Pak Kiai dari Indonesia dan orang-orang panglima berilmu Mat Kilau dari Pahang. Sementara orang tua-tua kawan ayah Tun Sheikh sibuk mengumpul pesilat-pesilat parang terbang, suatu ilmu tinggalan Kiai Salleh yang menjadi amalan orang tua-tua Muar dan Batu Pahat yang kemudiannya lebih terkenal sebagai ilmu ayat 4 atau zikir haujakan Johor tetapi persediaan ini telah dihalang oleh orang besar Muar atas permintaan Tun Razak sendiri.

Mengenai ilmu ayat 4 atau ilmu parang terbang ini sebenarnya adalah diambil dari seorang ulamak terkenal Muar iaitu Abu Bakar Alim dan Kiai Fathil Banten mempopularkannya ke seluruh Johor sebagai amalan Zikir Haujakan Johor. Bapa Tun Sheikh adalah murid kepada kedua ulamak tersebut. Istilah parang terbang menjadi popular diperkatakan oleh orang-orang Cina yang melihatnya atau mendengar cerita dari orang tua mereka yang ternampak beratus parang terbang menikam dan menetak komunis Cina di Batu Pahat. Mereka hanya melihat parang seolah-olah terbang dengan sendirinya. Peristiwa hitam ini lebih dikenali sebagai Perang Tentera Selimpang Merah yang diketuai oleh Panglima Salleh.

Di Johor terutamanya di Muar dan Segamat, jika ada apa-apa berita pelik atau menarik di Pahang, maka cepat tersebar sebab banyak keturunan Pahang di Muar dan Segamat. Jika hero Pahang Mat Kilau, Dato’ Bahaman, Tok Gajah dan lain-lain, mereka juga adalah dianggap sebagai hero kami iaitu orang Muar dan Segamat. Ketika Mat Kilau mengaku diri sebagai Pahlawan Pahang yang menentang Inggeris, kami atau orang Muar telah terlebih dahulu mengetahui beritanya dari sanak-saudara yang berulang-alik ke Pahang. Beberapa minggu kemudian barulah keluar di dada akhbar.

Maka Tun Ghazali juga adalah hero kami dan Tun Sheikh selalu mendengar berita tentangnya sejak kecil sehinggalah sekarang ini secara lisan dari keluarga atau orang kampong atau juga menerusi pembacaan dan dengar berita di radio atau televisyen. Masa Tun Ghazali meninggal, Tun Sheikh lebih banyak mendengar dari kaum kerabat daripada paparan berita sendiri. Rasanya memang tidak banyak atau berita kematiannya yang keluar di akhbar.

Kemudian keluar lagi cerita Tun Ghazali Shafie jadi wira dan membantu Tun Razak dalam MAGERAN ketika Darurat 1969 diisytiharkan.Dialah orangnya yang cipta Rukunegara yang ditiru dari Indonesia. Pada tahun 1975 dia jadi hero pendamai dengan pengganas Jepun yang menawan bangunaan kedutaan Amerika di Kuala Lumpur. Tun Ghazali sering keluar di televisyen bukan atas isu politik tetapi isu keselamatan Negara. Orang Johor terutamanya orang Muar sangat suka dan sayang kepadannya.

Ketika Dr Mahathir jadi Perdana Menteri, Tan Sri Ghazali masih berkhidmat dan menjadi Menteri Luar Negeri. Dia sangat terkenal tetapi di sekitar tahun 1985 dan seterusnya popularitinya seolah-olah sengaja di tengelamkan. Pada hal sebelum itu dia juga menjadi hero menyelesaikan masalah ajaran sesat di Batu Pahat ketika Balai Polis di serang oleh kumpulan samurai Melayu berpakaian jubah dan bersenjatakan pedang yang diketuai oleh seorang pemuda Kemboja

Kami amat terkilan apabila pingat Tun hanya diberikan kepada Tan Sri Ghazali dipenghujung usianya. Tapi kami tahu di era Dr Mahathir, beliau memang tidak suka ada orang hebat dan lebih terkenal darinya. Kami juga tahu dan dapat menjangkakan kebolehan Tan Sri Ghazali untuk menjadi Perdana Menteri telah disekat sejak di zaman Tun Razak lagi. Kami amat berbangga kepada Tun Ghazali Shafie kerana sedikit pun tidak menaruh rasa dengki dan dendam.

AL-FATIHAH UNTUK TUN GHAZALI SHAFIE.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

Sunday, July 18, 2010

ARTIS KONTEMPORARI RAKAM BUDAYA-ISLAM MEMANDU BATASANNYA

BAKAT SENI – DI MANA TUMPAHNYA KUAH….ARTIS MERAKAM BUDAYA

Baru-baru ini Tun Sheikh berpeluang berkenalan dengan kumpulan anak muda yang menggelar bahawa mereka adalah Kumpulan Artis Kontemporari Malaysia. Mereka telah berbincang dan memberi pelbagai perspektif mengenai isu dan budaya semasa dan menterjemahkannya dalam bentuk seni lukisan yang telah mereka hasilkan. Seorang daripadanya yang sedang mencipta nama sebagai seorang artis kontemporari dan seorang kurator artis professional ialah Shooshie Sulaiman. Beliau seorang gadis manis berusia lebih kurang 26 tahun berasal dari Muar Johor. Perwatakannya begitu lincah, aktif, bertenaga dan simple. Tun Sheikh juga berkenalan dengan seorang artis berusia separuh abad. Beliau seorang artis dan seorang pensyarah terkenal yang mengelompokkan dirinya sebagai artis kontemporari. Beliau ialah Zulkifli Yusof. Mereka telah menghadiahkan Tun Sheikh buku coffee table masing-masing berkenaan hasil lukisan mereka yang telah diterbitkan.

Tun Sheikh sangat berminat mendengar hujah-hujah mereka kerana Tun Sheikh juga berminat dengan seni lukisan. Sejak kecil Tun Sheikh minat melukis dan pernah menang tempat ketiga dalam peraduan melukis ketika di sekolah rendah. Ketika itu usia Tun Sheikh 9 tahun. Hasil lukisan ditampal di papan kenyataan sekolah selama setahun dan hadiah istimewa yang diberikan kepada pemenang ialah sebuah buku kertas lukisan, set berus, kotak pembancuh warna, sekotak besar water colour (3 inci) dan sebuah buku cerita kanak-kanak mengenai lukisan. Hati sangat gembira lebih-lebih lagi hadiah pemenang tempat pertama sampai ketiga adalah sama kecuali saiz water colour. Tempat kedua 4 inci dan tempat pertama 5 inci. Water colour biasa yang digunakan di sekolah ketika itu yang paling besar ialah 2 inci. Bayangkan ada 16 tiub warna dan 3 inci setiap satu dalam kotak menjadikan kotaknya begitu besar dan membanggakan sekali.

Heboh satu kampong, Arab pandai dan menang peraduan melukis di sekolah Inggeris yang terkenal di Muar itu. Keluarga juga gembira dan berasa bangga. Tetapi setelah Tun Sheikh dewasa, terasa kejayaan itu adalah pengaruh rancangan pendidikan penjajah Inggeris yang mahu mengekalkan status minda anak-anak Melayu agar belajar to become better fisherman and farmers than their parents.Walau bagaimana pun Tun Sheikh amat bersyukur kerana di era YAB PM Tun Abd Razak, kerajaan telah berjaya memacu dasar pelajaran kebangsaan kepada target yang berfaedah dan berguna kepada pembangunan bangsa dan negara.

Arab adalah nama kanak-kanak Tun Sheikh di rumah atau kampong dari kecil sampai ke tingkatan satu. Sejak menang melukis, Tun Sheikh sering mewakili sekolah dalam pertandingan melukis hingga darjah 6 di peringkat daerah tetapi tidak pernah menang kecuali selalu berjaya di tempat saguhati saja. Tun Sheikh tidak pernah dapat menandingi kecantikan lukisan sahabat Tun Sheikh bernama Hasbullah yang sering berjaya di tempat kedua atau ketiga. Kini beliau adalah seorang koperat yang berjaya dan di rumahnya penuh dengan koleksi lukisan cat minyak di atas kanvas yang cantik dan mahal-mahal harganya.

Kata orang, Tun Sheikh mewarisi kepandaian melukis bapa Tun Sheikh. Hingga sekarang Tun Sheikh masih dapat mengingati tajuk yang Tun Sheikh lukis adalah bertema menjaga kebersihan dan Tun Sheikh telah melukis masyarakat majmuk bergotong-royong membersih laman dan membuang sampah. Melukis pada ketika itu memang menjadi satu mata pelajaran wajib di sekolah Inggeris. Cara melukis biasanya bermula secara bebas. Markah dikira dari idea kita mengolah topik atau tajuk yang diberi selain kecantikan dan kemahiran melukis dan mewarna. Maksudnya mula dari melakar hingga mewarnakannya mengikut idea kita sendiri. Tidak seperti sekarang, lakaran telah disediakan dan kanak-kanak hanya mewarnakannya saja dengan pensil warna atau cat air.

Di kampong, sejak darjah 5 hingga di tingkatan 1, Tun Sheikh sering leka bermain-main di 2 buah rumah jiran berdekatan. Satu jaraknya 300 meter iaitu rumah abang Shukor Hashim dan satu lagi jaraknya 500 meter iaitu rumah abang Hatta seorang pemuda cacat. Mereka adalah pemuda di kampong Tun Sheikh yang sangat meminati lukisan dan melukis. Abang Shukor Hashim (60 tahun) kini adalah seorang Professor Lukisan terkenal di UiTM dan abang Hatta (57 tahun) seorang pensyarah lukisan di UUM.

Ketika berada di tingkatan 1, bapa Tun Sheikh melihat Tun Sheikh bertambah serius meminati lukisan dan melukis. Beliau telah memanggil Tun Sheikh dan menghadiahkan sebuah kitab dan sebuah buku berkenaan seni lukisan. Beliau menasihatkan Tun Sheikh supaya jangan aktif sangat melukis terutama melukis benda atau makhluk bernyawa kerana menjadi larangan agama. Beliau tidak melarang Tun Sheikh meminati lukisan dan melukis tetapi melarang Tun Sheikh melukis apa yang dilarang agama.

Buku yang dihadiahkan itu adalah berkenaan seni lukisan arca Islam, melukis corak dari motif bunga dan tumbuh-tumbuhan termasuk pemandangan tetapi tidak ada gambar orang atau gambar binatang. Sebuah lagi buku atau kitab adalah berkenaan hadis dan pengajaran larangan melukis dan menggambar makhluk bernyawa serta hukumnya dalam agama Islam. Kerana terasa amat terkesan di hati larangan melukis benda bernyawa dan agak sukar melakar dan melukis arca dari pelbagai motif, minat melukis Tun Sheikh pun merosot. Pada waktu yang sama bapa sering mengingatkan bahawa ketinggian markah dalam ujian mata pelajaran lukisan tidak begitu bermakna berbanding dengan mata pelajaran lain. Dia menyarankan supaya Tun Sheikh tidak aktif memasuki Persatuan Seni Lukisan di sekolah sebaliknya menggalakkan Tun Sheikh menyertai Persatuan Bantuan Alat Pandang Dengar Elekrik dan Elektronik di sekolah.

Memasuki alam remaja dari tingkatan 2 hingga tingkatan 6, minat melukis hanya tinggal minat saja tetapi Tun Sheikh tidak ketinggalan mengikuti perkembangan lukisan mengikut istilah yang diperkenalkan seperti seni lukisan modern, seni lukisan abstrak, seni lukisan corak, seni lukisan kaligrafi, seni lukisan guris, seni lakaran dan lain-lain. Bapa Tun Sheikh, sebelum meninggal dunia kelihatan gembira apabila mendapati Tun Sheikh tidak lagi leka dengan kegiatan melukis yang telah berganti dengan minat membaca kitab-kitab agama. Beliau terus memberi galakan sehingga meninggal dunia pada tahun 1979.

Disebabkan tidak praktis melukis kecuali mengikutinya melalui pembacaan dan sekali sekala berkunjung ke tempat pameran yang pernah diadakan, maka Tun Sheikh cenderung menikmati seni lukisan dalam pandangan kritis dan menghayati ketinggian mutu seni halus dan motif serta mesej yang hendak disampaikan oleh artis secara pribadi dan untuk kepuasan diri. Tun Sheikh bukanlah seorang yang arif tentang seni lukisan tetapi mampu menulis mengenai sesebuah lukisan.

Apabila Tun Sheikh melihat, merenung atau menghayati sesebuah lukisan, Tun Sheikh sangat suka memikirkan mesej yang hendak disampaikan oleh pelukis. Tun Sheikh mengagumi kemahiran pelukis memainkan warna dan keindahan seni halus yang terdapat pada lukisan berkenaan. Apabila memahami mesej dan menikmati kecantikan seni lukisan itu, Tun Sheikh terasa betapa besarnya keagongan Tuhan Yang Maha Pencipta mempelbagai penciptaan dunia untuk manusia.

Justeru, disimpulkan disini bahawa kesenian itu tidak bercanggah dengan ajaran agama kerana Islam telah sedia menggariskan bentuk-bentuk aktiviti seni yang diperboleh dan yang dilarang. Sesuatu yang ditegah oleh Islam tentunya ada hikmah disebaliknya bagi memastikan keselamatan dan keberkatan hidup manusia itu sendiri. Pembentukan minat dan membina jati diri mesti bermula dan terdidik dari kecil supaya landasan betul dan tidak bercanggah dengan hukum agama agar dapat diamal dan diwarisi sebagai sebuah budaya yang bertamadun tinggi.

Ketika ini, Kumpulan Artis Kontemporari Malaysia sedang memperagakan lukisan mereka dari 3 Julai sehingga 30 September 2010 kepada orang ramai di dewan pameran khas Arkib Negara Malaysia bertempat di Galeria Sri Perdana di Jalan Damansara Kuala Lumpur. Galeria Sri Perdana, bekas kediaman mantan Perdana Menteri Malaysia Ke empat sengaja dipilih kerana ketokohan dan jasa Tun Dr Mahathir yang pernah memberi semangat dan galakan kepada kumpulan artis ini. Datanglah beramai-ramai kerana Tun Sheikh difahamkan bahawa mereka bertaraf dan diiktiraf dunia. Harga lukisan mereka di pasaran dunia ada yang mencecah RM100,000.00 (seratus ribu ringgit) dan majoriti daripada mereka adalah anak Melayu yang pernah mendapat penghargaan dan pujian daripada pemimpin-pemimpin dunia yang mengikuti perkembangan seni kontemporari ini sebagai orang yang sangat kereatif dan berkualiti tinggi.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

Saturday, May 22, 2010

KOMEN KEMATIAN USTAZ ASHARI ARQAM

KOMEN MELAYU UMNO, ABIM, ARQAM, REFORMASI & PAS TERHADAP KEMATIAN ABUYA USTAZ ASHARI

Hari ini 20 Mei 2010 genap seminggu Abuya Asyari meninggal. Masa menerima berita kematian dari sahabat-sahabat minggu lepas melalui telefon, sms dan e-mel telah mengilhamkan Tun Sheikh untuk menulis beberapa pandangan pemikiran sahabat handai. Mereka datang dari pelbagai kelompok pemikiran seperti bekas Jemaah Islam Malaysia, NGO Islam, bekas ahli Arqam,UMNO, ABIM, Keadilan, PAS, berkecuali, atas pagar dan juga sahabat-sahabat seteru kepada semua fahaman tersebut.

Ada yang menanya khabar dan pendirian Tun Sheikh sendiri kerana ada yang tahu bahawa Tun Sheikh pernah mengikuti pergerakan Arqam ketika sedang belajar di Indonesia dulu. Terus terang Tun Sheikh mengatakan bahawa pendekatan Arqam sangat menarik dan berjaya mengisi kekosongan dan kesepian di perantauan dengan pertemuan-pertemuan, muzakarah dan aktiviti intelektual dan sosial yang terpuji,berfaedah, ceria dan segar. Jika dibanding dengan tawaran dan aktiviti Kelab UMNO kepada pelajar-pelajar di luar negeri, dari pengalaman Tun Sheikh mereka memang mewah dan diberi peruntukan kewangan yang entah dari mana datangnya dan selalunya mereka menjadi jaguh serba serbi termasuk parti tari menari dan sebagainya yang sofistikated. Kelab yang tidak berduit memang cemburu tapi misi dan objektif kita yang penting ialah belajar.

Maka bagi Tun Sheikh pengisian aktiviti Arqam adalah yang paling menarik kepada pelajar-pelajar yang tahu diri dan tidak suka berpoya-poya atau berlagak terlalu moden melampau adat atau kebiasaan Melayu di tanahair. Ada juga rombongan dan perwakilan PAS yang datang tetapi keterampilan mereka memang stagnen dan dapat dibaca. Dua tiga kali rombongan yang berlainan datang tetapi isunya mengenai politik Islam PAS sama dan menjemukan. Rupa-rupanya yang tidak berubah-ubah itulah yang mantap dan mempunyai prinsip yang kukuh kerana mereka tidak membuat sesuka hati seperti UMNO dan lain-lain.

Berbalik kepada pandangan yang pelbagai tentang kematian Abuya Asyari tadi ada yang melafazkan syukur dan ada yang anti sanggup mengata padan muka. Kepada mereka Tun Sheikh nasihatkan supaya bersabar atau berkecuali lebih baik, sampai ke tahap Tun Sheikh mengatakan Nabi kita menyuruh berdiri memberi hormat kepada mayat yang lalu di hadapan kita walaupun mayat itu kafir. Dan Abuya itu saudara kita dan lebih baik, mungkin lebih baik dari diri kita sendiri kerana perjuangannya jelas kelihatan. Reformasi yang dibawa adalah bersih mengikut pandangan biasa, perniagaan dan perdagangan yang mereka buat adalah berteraskan amanah dan jujur sehingga orang bukan Islam juga yakin dan percaya dengan mereka.

Sahabat Tun Sheikh itu cepat naik angin dan pada waktu yang sama masuk pula sms-sms dari sahabat yang dekat dengannya. Fahamlah Tun Sheikh kerana luka hatinya sungguh dalam kerana adik perempuannya dan ramai sepupunya hilang dari rumah kerana menyertai Arqam. Kepedihan putus sirahturahim kepada orang tercinta memang perit. Adik perempuannya pula dimadukan dan berita tentang diri dan saudara mara yang lain dalam Arqam sangat terhad, susah dan tidak dapat bertemu seperti mereka berada di dunia lain.

Dari sudut yang lain, itulah buktinya dakwah Abuya Asyari telah berjaya dan amat berkesan kerana memupuk sirahturahim melalui kasih sayang yang betul-betul dipraktikkan. Orang menghitamkan isu itu walaupun telah berlalu lama tetapi masalah sosial sekarang dimana anak-anak gadis lari dari rumah dan hilang dari keluarga, ada dijumpai mayatnya sahaja, ada yang menjadi gro, pelacur dan ada dijual, ada menjadi penghantar dadah antarabangsa dan menjadi budak-budak mainan mat rempit, ada yang membuang bayi dan macam-macam aktiviti songsang tidak sangat dibesar-besarkan dan diutamakan. Jika diteliti ini semua adalah peranan syaitan manusia yang suka menghebahkan yang buruk sebagai baik dan yang baik kelihatan amat buruk dan jahat.

Ada yang bertanya amalan yang menyesatkan itu dan hal ini Tun Sheikh tidak tahu kerana tidak menerima baiah dan tidak ada pun. Tun Sheikh pun tidak mendapatinya tapi bagi Tun Sheikh selaku pengamal beberapa tarekat (Naksyabandi, Ahmadiah dll) yang mengamalkan zikir, kami berzikir merendah diri dan mengingati kebesaran Allah, bukan menyeru dan menyembah atau berzikir untuk jin atau syaitan. Auuzubillah..syaitan memang bijak buat fitnah dan menyeleweng fakta.Jika tidak tahu, bertanyalah pada yang ahli. Kerajaan banyak melantik para ustaz, ulamak dan lain-lain. Tanyalah mereka sebarang masalah agama. Jika mereka mengeluarkan fatwa yang sesat maka kita terlepas dari tanggongjawab dan hukuman berat kerana kita hanya melakukan kesilapan taklid kepada mereka yang telah dilantik. Merekalah nanti akan dilaknat Allah jika mereka menyeleweng.

Soal Abuya bagi Tun Sheikh, beliau telah menerima dugaan dan hukuman dari kesilapannya. Beliau berniat baik dan mungkin orang-orang disekelilingnya yang bernafsu besar dan serakah yang telah mengada-adakan atas namanya demi kepentingan diri dan nafsu. Entah benar atau tidak beliau mengaku sebagai imam Mahadi dan Nabi selagi kita tidak mendengaar sendiri dari mulutnya, tidak perlu kita panjang-panjangkan kerana menjadi fitah yang mesti dipertanggongjawabkan. Kini beliau telah meninggal dunia tetapi ada pula yang mengatakan beliau tidak mati kecuali hanya gaib sebentar sahaja. Hal ini kita kembalilah kepada syariat, bila ajal sampai tiada sesiapa yang boleh menangguhkannya dan semua yang hidup telah ada ketetapan mati atau ajal baginya. Kita pegang yang asas ini saja dan jangan hiraukan mereka jika kita fikir mereka itu buruk dan jahat. Masalah keistimewaan wali Allah, itu bukan hal kita dan tidak perlu kita taksub sampai ke situ. Syaitan dan jin pun banyak menjadi wali falsu. Bacalah hadis Bukhari dan Muslim, banyak panduan akan dijumpai mengenai hal ini.

Akhirnya jika kita fikir, aktiviti dakwah dan perjuangan kumpulan ini tidak sesuai dengan kita, kita bebas pilih yang lain mengikut kesukaan kita. Tetapi kita sendiri janganlah tidak membaca Al Quran dan Hadis terutama terjemahan Melayunya yang kita fahami supaya kita tidak tertipu terhadap apa-apa kefasikan meskipun yang dibawa oleh mufti atau Perdana Menteri yang kita kasihi……….

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

Friday, May 7, 2010

BUDAYA MELAYU SULTAN BEPERLEMBAGAAN

RENCAMNYA ISTANA MELAYU
PENDERHAKAAN RAKYAT AKAN BERTERUSAN

Baru-baru ini kita mendengar bagaimana kereta Sultan Perak di baling telor dan berlaku demontrasi membantah perebutan kuasa kerajaan negeri Perak. Rakyat marah kerana tidak menyangka pertimbangan pemikiran bekas Ketua Hakim Negara Malaysia tidak menyebelahi kedaulatan undang-undang setelah berjawatan Sultan. Dari peristiwa itu rakyat nampak bahawa jawatan sultan hanyalah prestij sahaja tanpa kuasa apa-apa. Kedudukan sultan setelah negara merdeka 52 tahun serupa seperti di zaman penjajahan. Dulu Inggeris menggunakan kedaulatan Sultan menipu rakyat dan kini keadaannya sama, kecuali sultan dipergunakan oleh parti Melayu yang berkuasa.

Di Perlis pula, kerabat diraja dituduh berfahaman Wahabi. Pada hal semua orang tahu bahawa kerabat di raja Perlis berketurunan syed dan sampai kepada Saidina Hassan bin Fatimah bte. Muhamad SAW. Siapa yang mengapi-api ketidakpantasan dan tuduhan Wahabi ini tidak pula disiasat dengan serius oleh Orang Melayu yang berkuasa.

Di Kedah pula, kedaulatan istana dipertikai kerana tidak mahu bertanggongjawab dengan aktiviti dan pergerakan yang dimainkan oleh pertubuhan yang mengaku dari keturunan kerabat di raja Kedah. Yang mempertikainya juga adalah oleh pengikut Orang Melayu yang berkuasa. Tetapi apabila berlaku ketidaktentuan keadaan, mereka menyembunyikan tangan setelah membaling batu ke bumbung istana. Mereka berlakon pula sebagai pembela.

Di Kelantan pula tergambar sultan yang sedang gering diheret ke sana-sini oleh mereka yang berkepentingan. Mereka mengintai-ngintai untuk mencipta isu besar supaya pengaruh sultan menyebelahi mereka. Maka banyaklah keluar berita-berita sensasi kerabat diraja Kelantan. Yang terbaru ialah kekanda sultan diusir dari menziarahi baginda dan yang paling panas ialah isu menantu sultan coba mengikis harta melalui penculikan dan penceraian. Tidak banyak sedikit memang mencemar juga nama baik istana. Dan ini amat disukai oleh orang Melayu yang gila kuasa.

Di Negeri Sembilan pula kedengaran seperti ada pihak-pihak tertentu mempertikaikan kuasa Undang dan Luak yang berkuasa sejak zaman silam menabal dan mendaulatkan raja baru. Sampai ke hari ini ada bisik-bisikan di sana sini. Mujurlah Undang dan Luak tidak melatah dan teruskan sahaja adat resam yang setia diikuti. Jika melayan kerenah di luar adat, sudah tentu akan berlaku campur tangan penjajahan Inggeris. Dan pengganti penjajah Inggeris pada hari ini adalah orang Melayu sendiri yang sedang berkuasa.

Di Johor pula isu keceluparan bloger biadab diperbesar-besarkan di hari kemangkatan. Kelihatan seolah-olah sudah tiada penghormatan langsung rakyat kepada baginda almarhum tuanku yang terkenal itu. Nasib baik rakyat Johor yang cerdik tidak melatah sebab tahu isu itu hanya gimik untuk memburuk-burukan hubungan rakyat dengan istana Johor. Permainan siapa, juga orang Johor tahu sebab kadang-kadang ada kewajarannya orang Melayu yang berkuasa menonjolkan diri supaya jangan orang fikir Melayu telah lemah.

Kemudian berlaku pula di Selangor di mana sultan menitahkan larangan politik di masjid. Penasihat baginda sedikit pun tidak memperjelaskan peranan mesjid merangkumi segala urusan hidup dan telah dilakar oleh Allah dalam agama yang diredhaNYA dengan kesempurnaan yang terjamin. Gaya dan coraknya saja perlu diperbetul jangan sampai orang tidak mahu memeriahkan mesjid disebabkan politik sempit. Sebenarnya fahaman Islam Melayu yang berkuasa yang sempit, tidak mahu mencoba membuka pintu pemikiran yang positif kerana sedang berada dalam kesenangan dan mabuk dengan nikmat-nikmat kuasa.

Di Pahang pula tidak habis-habis kita dapat mendengar berita negatif dari segi kehidupan seharian di kalangan kerabat diraja dan istana. Paling teruk ialah kes dadah hingga mengakibatkan pembunuhan. Perihal hak sultan beristeri baru dan muda serta lawa menjadi sindirin dibibir orang-orang Melayu. Patutnya kita harus berbangga bila sultan kita mengambil jalan yang tidak melanggar hukum agama. Dan patutnya rakyat patut bersukacita jika sultan beristeri banyak kerana dari segi material Sultan memang mampu. Apalah salahnya membelanjakan harta untuk keluarga daripada perempuan-perempuan hiburan.

Semua kerenah istana yang diperbesar-besarkan ini seolah-olah mengamit nostalgia Tun Sheikh ketika belajar di Indonesia dulu apabila keturunan sultan salah satu dari daerah di sana mengatakan bahawa sultan Melayu melalui gambar-gambar sejarah yang dilihatnya kelihatan bodoh-bodoh dan tidak cerdik. Kuat nafsu seks dan sibuk dengan perang saudara dan merampas isteri orang atau disebabkan perempuan atau isteri, negeri terlibat dalam peperangan lalu ditipu Inggeris.

Merah juga telinga Tun Sheikh dan darah kerabat yang mengalir dalam diri terasa amat panas. Tapi oleh kerana taat dengan pesanan orang tua ketika merantau di tempat orang, Tun Sheikh hanya tersenyum sambil menjawab bahawa semua sultan, raden, sunan dan raja-raja di Indonesia memang bijak-bijak, lebih-lebih lagi jika melihat tampang mereka dalam gambar-gambar lama. Mereka tampan dan bergaya tapi sayang sehingga ke hari ini mereka hanya tinggal nama saja, tidak seperti di negara kita yang masih ada istana dan kedaulatan yang tertulis dalam perlembagaan.

Bila mendengar jawapan itu, sahabat Tun Sheikh yang sedang di tahun akhir ilmu hukum atau undang-undang itu kelihatan seperti terkejut dan tersipu seolah baru tersedar dari kenyataan. Agaknya dia baru teringat yang ayahandanya tidak dapat menjadi sultan kerana tahta dirampas Belanda dan rakyat Indonesia sendiri. Dia meminta maaf dan bersetuju kebejatan istana sendiri yang menjatuhkan martabat mereka dan kini rakyat pula seperti tidak sedar diri atau tidak mengenang jasa dan peranan istana atau sultan dahulu setelah kuasa berada di tangan mereka.

Kedaulatan raja-raja Melayu akan terus hilang seperti di Indonesia jika kaum kerabat masih seperti dahulu ketika di zaman penjajahan Inggeris umpama pisang disuap tetapi punggung dicucuk jarum. Bagi Tun Sheikh tiada jalan lain, jika Melayu hendakkan barakah dan mengekalkan budaya bangsa hendaklah kembali mendaulatkan raja sebagai pemerintah agong bagi sebuah negara bangsa beperlembagaan. Sebelum hilang kedaulatan Melayu ditelan kebudayaan sejagat hendaklah Melayu bersedia mengorbankan kebudayaan Melayu yang tidak mengikut syariat agama. Angkat segera agama dan jadikan raja lambang dan keramah ketuanan Islam dalam negara. Pemikiran orang Melayu yang berkuasa sekarang hendaklah segera berubah dengan mengisi kefahaman dan ilmu agama dan menyesuaikan diri dan kuasa mengikut syariat agama sebelum semua orang Melayu akan berputih mata dan tulang.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

Tuesday, April 13, 2010

LEGENDA SEJARAH LISAN BAKRI MUAR

ANTARA LEGENDA MISTRI DAN FAKTA

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

Sebagaimana kata Tokoh Budaya Johor, Profesor Emeritus Datuk Abu Bakar Abd Hamid, sumber sejarah lisan memang tidak boleh dijadikan hujah atau bukti yang berfakta bagi sesuatu peristiwa bersejarah. Namun dalam kebudayaan Melayu, budaya menulis tidak menjadi budaya kepada keseluruhan rakyat umum khususnya di Zaman Kesultanan Melaka dan dalam sejarah kebudayaan Melayu sebelumnya.Kebanyakan malah majoriti rakyat adalah buta huruf. Ahli bijak pandai hanya terdapat di istana dan lingkungan istana. Bahan bukti hanya dianggap jitu atau tepat jika terbukti dari rekod atau pendokumentasian yang terdapat pada atifak-atifak purba.

Ironinya, lagak dan gaya penulisan dan karya-karya Melayu Lama mahupun purba dalam bentuk tulisan pun tidak terkecuali daripada cerita-cerita legenda. Dan cerita-cerita legenda Melayu dalam bentuk tulisan ini ada pula persamaan jalan cerita dan faktanya sebagaimana yang terdapat dalam sejarah lisan yang disampaikan dari mulut ke mulut. Dari seorang datuk diceritakan kepada anak dan dari anak kepada cucu dan dari cucu kepada cicit dan dari cicit kepada piut dan seterusnya diperdengarkan dari zaman ke zaman dengan beberapa pindaan dan tokok tambah penyeri kepada jalan cerita. Apa yang sensasinya ialah kelupaan tarikh yang tepat terhadap peristiwa yang berlaku dan hanya digambarkan dengan ungkapan pada suatu hari di zaman dahulu, pada suatu hari sebelum pulau itu bercantun dengan daratan atau menjadi daratan atau pada zaman dahulu kala dan sebagainya.

Walaupun demikian, kecenderungan penyelidikan yang baik dan bijak akhirnya dapat juga mengesan tarikh atau peristiwa berfakta yang tepat atau hampir-hampir tepat. Dan bertambah mudah, apabila pelbagai visi dan sumber ditemui dan dibuat perbandingan mengenai sesebuah peristiwa bersejarah melalui pengumpulan sejarah lisan. Sehubungan dengan itu sumber sejarah lisan boleh diterima pakai sebagai sumber alternatif, jika sumber utama belum kedapatan dengan bukti otentiknya dari bentuk tulisan atau rekod-rekod yang tercatat pada artifak. Sumber sejarah lisan kadang-kala berlaku kerana kerahsiaan dan budaya sebegitni masih diamalkan walaupun di zaman global ini. Contohnya, apabila sesuatu perkara yang dianggap sensitif maka biasanya pengerusi mesyuarat di zaman moden ini, akan mengarahkan setiausaha pencatat minit supaya jangan memasukkannya ke dalam minit mesyuarat yang rasmi. Maka kekallah perkara tersebut tanpa catatan dan menjadi kerahsiaan tetapi tetap boleh disampaikan dari mulut ke mulut.

Di bawah ini adalah satu daripada hasil sejarah lisan yang telah ditranskripkan dan menarik untuk dibuat teladan, dalam falsafah dan kebudayaan Melayu yang biasanya dikenali sebagai sastera rakyat, yang telah disampaikan dari mulut ke mulut oleh sebuah generasi kepada generasi berikutnya.Transkrip ini terdapat di Arkib Johor.

TRANSKRIP TEMUBUAL NORASHID-HJ AZAN BIN HJ REBUT

Nama : Hj Azan bin Hj Rebut
Tarikh & Tempat Lahir : September 1932, Kg Temiang Tengah, Bukit Pasir, Muar.
Tarikh & Tempat Temubual: 7 Jun 2001, Kg. Seliau, Pedas, Negeri Sembilan (Kediaman tokoh).
Masa: 10.00 pagi – 1.00 tengahari dan bersambung dari 3.00 petang – 5.30 petang.

Nama saya Azan bin Hj Rebut bin Hj Talib. Saya lahir pada ……September 1932 di Kg Temiang Tengah, Bukit Pasir Muar. Saya bersekolah setakat darjah 2 Sekolah Melayu Sg Raya, Bukit Pasir pada tahun 1939 – 1941. Terpaksa berhenti bila sekolah tutup sebab Jepun masuk Malaya. Saya pun sekolah tak pandai. Dua kali tak naik darjah. Tapi oleh sebab saya cucu Penghulu Temiang, saya dipaksa datuk pergi sekolah duduk-duduk atau main-main suka-suka. Bukan tak pandai tapi mungkin kerana manja dan keluarga pun orang berada di kampong, jadi nakal sikit. Dulu memang macam tu. Jadi malas nak belajar. Pergi sekolah kacau-kacau orang belajar. Walau bagaimanapun saya bersyukur, bolehlah saya baca jawi dan mengira 1,2,3, sekarang.

Saya ni dikira cucu lelaki sulung daripada bapa saya yang sulung juga tapi agaknya dah takdir. Sebab Jepun, bapa saya tidak mewarisi jadi penghulu. Dia telah melarikan diri kerana dituduh jadi talibarut Jepun oleh pengganas komunis. Masa Jepun, bapa saya sebagai anak penghulu bekerjasama dengan Jepun.Terpaksa, kalau tak kepala kena pancung. Lepas Jepun kalah, banyak tanah digadai bapa saya sebab bayar Cina-Cina yang ugut nak bunuh dia. Kat Bukit Pasir, memang banyak Cina, bapa-bapa mereka dulu datang, datang bekerja lombong dan buka kangkar. Mereka generasi kedua. Bapa saya tak tahan dan akhirnya larikan diri bersama mak saya ke negeri Sembilan, kat sini. Di sini, waris-waris sebelah abah pun ada. Dua tahun lepas tu, bila kakak saya nak nikah, kami pun cari abah di Pedas ni dan jumpa.

Kakak saya bernama Sabariah bte. Hj Rebut. Tu sebelah tu ialah rumah dia. Rumah bapa saya dulu bercantum dengan rumah saya ni. Tapi dah dirobohkan kerana kayu dah reput dan rumah batu saya ni pula, saya besarkan lagi bila anak-anak sudah dewasa dan bermenantu. Saya sampai sini pada tahun 1949 selepas bapa saya beli tanah dan buat rumah pada tahun 1947. Oh ya, masa kanak-kanak saya bersekolah di Sekolah Melayu Sg. Raya. Sekolah tu setahu saya diwakaf oleh moyang saya sebelah emak. Nama dia Hj Mohd Noh bin Nakhoda Lebai Hj Muhamad. Moyang saya telah meneroka kampong tu dengan buka kebun rumbia. Dia saudagar sagu rumbia di Muar dan dia juga telah membuka Bakri pada tahun 1871.

Bila dia kahwin dengan kerabat Pahang di Pagoh, dia dikurnia tanah di Sg Raya. Dia jadi naib penghulu tak bertauliah di Sg Raya 1880 hingga 1895. Dia juga ketua orang Jawa di Bakri. Sebelum nama Bakri tempat tu bernama Kg Jawa. Dia jadi naib penghulu juga tak bertauliah pada tahun 1871 hingga 1881. Dan bila pindah semula ke Bakri tahun 1895 hingga 1900. Tak bertauliah maksudnya tak diiktiraf atau tak dapat surat perlantikan daripada sultan. Dia jadi penolong penghulu atau orang kaya yang ada tauliah daripada sultan Johor. Tak dapat tauliah sebab tak direkomen oleh penghulu. Orang Jawalah katakan.

Kenapa? Dulu sultan tu katanya dari keturunan temenggong jadi sultan. Masa nak ambil Muar, dia dah suruh orang buka kebun. Orang Jawa tak diberi buka di tepi pantai dan berhampiran bandar atau pekan, tapi disuruh dalam hutan, di hulu-hulu. Sebabnya, orang Jawa ni ada negeri dan raja mereka di Jawa. Sebab tu mereka tidak diakui rakyat. Mereka dijadikan buruh dan kuli . Mereka diawasi. Bila Temenggong Abu Bakar dapat tauliah sultan dari orang putih, barulah beliau benarkan orang-orang Jawa buka kebun dan penempatan. Mereka boleh buka di tepi pantai dan boleh letak nama atau bunyi Jawa. Mereka pun diakui sebagai rakyat Johor.

Siapa kerabat Pahang tu? Dia abang sultan Pahang. Nama dia Tun Mansor. Dia bawa beberapa orang Pahang ke Muar. Waris dia banyak di Segamat dan Pagoh. Anak dia dan seorang anak perempuan ditinggalkan di Pagoh. Siapa nama dia? Ada orang panggil Engku Hassan, ada panggil Tun Hassan dan ada panggil Tok San saja. Anak perempuan dia tu lah moyang saya dibela abangnya Tun Hassan. Namanya Wan Zainab atau Tun Zainab. Masa abang dia mengamuk dan rahsiakan darah kerabat, orang tak berani panggil Tun atau Wan. Moyang saya kadang-kadang dikenali sebagai Che Hawa dan Che Zainab.

Kenapa? Katanya sebab tak mahu diketahui kerabat sultan Pahang dan Temenggong Johor. Orang-orang Sultan Ahmad cari sebab Tun Mansor dan orang-orangnya yang dikumpulkan di Muar, Pagoh dan Segamat ada ura-ura mahu memberontak melawan Sultan Ahmad yang mungkir janji untuk melantiknya sebagai peganti beliau. Sultan Ahmad menamakan anaknya sebagai ganti sultan. Tun Mansor merajuk dan marah. Sultan Ahmad marah bila terdengar abangnya kumpulkan orang untuk memberontak. Dia pun segera kumpulkan orang-orang dia dan cuba menjejaki abang dia. Tak tahu lah tapi biasanya kalau dapat tentu berlaku pertumpahan darah. Dulu bila dapat titah bunuh dibunuh saja tak kira adik, abang atau ipar duai. Orang-orang sultan Johor juga cari Tun Hassan sebab tun Hassan menyebelahi Tengku Alam masa perang Jementah. Entahlah itu cerita masalah kuasa dan tahta di istana. Saya tak berapa faham. Saya pun dah jadi orang biasa.

Oh.. mengenai bapa saya, dia keturunan Melayu. Orang asal Temiang sejak dulu tapi hanya jadi penghulu. Bapa saya dapat kahwin dengan mak saya sebab dia anak penghulu dan mak saya Che Juriah ada darah raja. Mak saya cucu-cicit Tun Hassan juga, kalau ikut sebelah emak dia Che Mandak. Macam mana pertaliaannya? Kalau tak silap macam ni… saya, Hj Azan bin Che Juriah bte.Wan Mandak bte Hj Taib bin Tun Hassan bin Tun Mansor bin Tun Ali Bendahara Pahang. Atau boleh juga Azan bin Che Juriah bte. Hj Long bin Tun Zainab bte. Tun Mansor bin Tun Ali.

Kat Pahang, Tun Mansor dipanggil Engku Muda Mansor. Kenapa gelaran berbeza-beza? Wallahualam, saya tak tahu tapi masa saya budak-budak dulu ada juga orang tua-tua cerita tengku dan engku kerabat diraja. Bila keluarga bendahara atau temenggong dapat jadi sultan maka keluarga dan kerabat waris terdekat diberi gelar engku. Waris sultan digelar tengku. Tun dan Wan tu gelar keturunan bendahara dulu. Saya tak pakai sebab tak mahu. Lagi pun dah jadi orang biasa. Kaya? Kelihatan saja macam kaya sebab masih banyak kebun. Tapi kalau kaya pun, kalau tak dapat kurnia atau gelar, tak boleh pakai. Saya boleh kalau nak pakai Tun, Engku atau Wan tapi malaslah. Nanti dikata riak dan menunjuk-nunjuk.

Ya, ya adalah 14 ekar peninggalan bapa saya. 4 ekar saya beri kakak saya. Tapi malaslah nak cerita tentang macam mana dapat kebun tu. Ada tak ada apa tadi yang nak abang cerita? Oh ya mengenai cerita orang tua lah dan sejarah keluarga di sini. Tu lah tadi mulanya, abang dan kakak Sabariah datang sini cari abah untuk nikahkan kakak. Lepas nikah kakak tak mahu balik Temiang sebab malu. Dia terus ajak suami duduk sini. Dia juga ajak abang dan abang ikut aja sebab abang adik. Lagi pun kami hanya berdua beradik dan tak pernah pisah. Mak dan bapa saudara pun macam meluat dengan kami sebab perangai bapa. Apa boleh kami buat?

Kat kampong Temiang pun macam kami ni terhina. Semua orang kata bapa saya penipu dan pembelot. Dia menjual dan menggadai tanah milik orang kampong. Setahu saya bapa menjual tanah milik bapanya. Semua tanah yang tergadai tercatat nama datuk saya dalam geran tanah iaitu Penghulu Temiang. Orang kampong sampai berparang menuntut hak mereka. Mulanya saya tak faham tapi akhirnya tahu juga apa punca masalahnya. Orang kampong yang menuntut mengatakan tanah tu bukan semua milik datuk saya. Tetapi milik mereka yang telah mewarisinya turun-temurun.

Siasat punya siasat, rupa-rupanya ada kebenarannya. Apa taknya, tanah yang bapa saya jual dan gadai untuk tebus nyawanya daripada dibunuh Cina ialah milik orang kampong. Puncanya ialah bila sistem atau peraturan daftar tanah dan kebun dikuatkuasakan oleh kerajaan Johor pada tahun 1912. Di tempat saya selesai daftar pada tahun 1925. Kerana dah lambat maka banyaklah tanah didaftar atas nama datuk saya selaku penghulu. Adalah dalam 62 ekar kesemuanya. Jadi bila lepas perang bapa saya jual dan gadai maka termasuklah tanah-tanah penduduk kampong yang menggunakan nama datuk saya dalam geran tanah. Bila tahu jadi begitu, bapa saya berasa cemas sebab tak ada duit nak bayar atau nak pulangkan semula. Ancaman komunis dan samsing juga tak habis-habis lalu dia larikan diri.

Saya ada juga dengar bapa saya jadi orang kaya sekejap, hasil jual dan gadai tanah. Pada masa tu ada juga dia derma kepada UMNO untuk belanja menentang Malayan Union. Masa tu mana lah UMNO ada duit. Saya memang ingat sebab masa tu saya belia remaja.Tidak terlibat secara langsung tapi ikut-ikutan sahaja. Masa itu penduduk kampong masih curiga dengan orang Cina. Kebencian kami terhadap mereka adalah lebih daripada membenci orang putih. Sebab mereka memeras ugut orang Melayu dan menuduh Melayu jadi talibarut Jepun.

Saya dengar banyak juga duit bapa saya habis. Habis kerana kena ugut komunis. Habis kerana bantu UMNO. Bila bapa mula bosan kena cari orang UMNO dan masalah dia kena peras ugut dengan Cina, dia pun merancang melarikan diri. Bila mak abah dah tiada, saya terpaksa menoreh.Masa duduk kat kampong, orang asyik tanya bapa saya tapi saya tak tahu. Ada juga terdengar dia kena culik komunis tapi orang tak percaya sebab masa tu komunis dah takut dengan orang Melayu. Ini adalah kerana ramai orang Cina di Batu Pahat kena sembelih dengan orang Melayu. Orang Melayu telah tubuhkan Tentera Selempang Merah membalas orang Cina yang membunuh orang Melayu.

Bila saya dah pindah ikut abah ke Pedas sini, saya dah berusia 17 tahun. Kerja saya menoreh. Saya juga sering pergi memburu. Bapa saya ada senapang. Sampai sekarang saya mewarisinya. Tapi sekarang tak pernah meletup. Sekarang dah tak boleh pergi memburu. Lagi pun dah banyak undang-undang dan peraturan. Sekarang binatang pun telah banyak dikawal kerajaan dan tak boleh menembak sesuka hati. Sudah 5 tahun senapang patah saya tak pernah meletup. Saya Cuma bayar lesen saja. Dah tua. Kadang-kadang dilarikan oleh anak lelaki saya. Siaplah perang mulut dan celoteh saya. Saya sangat ambil berat menjaga senapang ni.

Setiap kali hidupkan lesen, saya diberi peringatan dan amaran supaya jangan cuai. Kadang-kandang saya terfikir bagus juga tak payah ada senanpang. Tapi tu sekarang bila dah tua. Masa muda-muda dulu seronok. Hasil kebun saya tidak pernah dicuri orang. Kalau binatang tak usah cakaplah. Mereka mana tahu bahasa. Saya pernah tembak monyet kerana geram dan marah. Tapi kemudian saya insaf dan tak sampai hati lagi nak tembak monyet. Sebabnya saya tertembak ibu monyet. Bila dia jatuh, anak dia turun dapatkan ibunya. Saya sangat sedih bila tengok dia kuis-kuis ibunya yang dah kaku berlumuran darah. Bila saya datang, anak monyet itu terkaku atau terkejut beruk. Dia panik dan sedih tapi terus menggoyang-goyang tangan ibunya. Sejak itu saya tak tembak monyet lagi. Tapi yang peliknya hasil kebun saya sama saja meskipun dimakan monyet.

Apa tadi? Oh ya, cerita orang tua-tua mengenai waris atau kerabat Negeri Sembilan. Saya tak tahu banyak. Tapi adalah sikit bila pergi ziarah saudara mara sebelah bapa. Mungkin agak jauh, jadi cerita lama banyak diceritakan berulang-ulang. Cerita paling dekat dengan saya ialah kami dikunjungi oleh orang-orang istana selepas Yang Dipertuan Agong Tuanku Abd Rahman mangkat. Kata mereka ada pesan dan wasiat tapi bila dapati kami tak ada susur galur kerabat Negeri Sembilan, itulah yang pertama dan terakhir. Saya tak kisah. Orang kiri kanan saja yang lapor kami berdarah kerabat. Mereka tak tahu kami bukan kerabat Negeri Sembilan tetapi Pahang.

Sebenarnya bapa saudara saya yang ada berdarah kerabat Negeri Sembilan. Tapi sebabkan dia lelaki kurang mendapat perhatian. Lagipun terlalu banyak rahsia atau pantang larang orang negeri ni. Maklumlah perempuan yang berkuasa jika ikut adat istiadatnya. Adat apa? Adat Pepatih Minangkabaulah.. Siapa nama bapa saudara? O.., namanya Md Yasin. Dia ialah abang kepada emak saya tapi berlainan ibu. Mak mak saya, berdarah kerabat Pahang. Mak bapa saudara saya berdarah kerabat istana Negeri Sembilan. Namanya Che Zamiah bte Tuanku Khadijah bte. Tuanku Muda Cik.

Che Mandak mak mak saya, atau nenek saya telah bernikah dengan Hj Long setelah isteri beliau Che Zamiah balik mengikuti jejak bondanya. Bondanya yang bersuamikan Hj Abdullah Teuko atau Panglima Mohd Salleh telah kembali ke Istana Sri Menanti setelah melahirkan anak bernama Yatim. Antara anak-anak Tuanku Khadijah di Muar ialah Mian, Che Zamiah dan Yatim. Emak saya cerita, ibunya Che Mandak telah bernikah dengan Hj Long selepas Hj Long ditinggal isteri dan seperti orang bingung kerana bersedih.Tahun tu, kalau tak silap ialah pada tahun 1900 sebab pada tahun itu bapa saudara saya, Md Yasin dilahirkan oleh Che Zamiah. Tapi bila sampai istana hal ini menjadi rahsia.

Bondanya Tuanku Khadijah telah balik dahulu ke istana atas jemputan diraja dan menjadi Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan. Che Zamiah balik ke istana adalah atau undangan bondanya. Hal ini dirahsiakan kerana manjaga maruah kerabat diraja. Tuanku Khadijah bernikah dengan Tuanku Muhamad ibn Tuanku Antah. Che Zamiah menjadi anak angkat Diraja dan kemudian bernikah dengan Tengku Zakaria. Hal ini sangat rahsia dan dikatakan menjadi wasiat Tuanku Khadijah kepada suami dan anakanda tirinya Tuanku Abd Rahman yang menjadi Agong Malaysia Pertama.

Saya tahu sebab bapa saya juga mempunyai kerabat atau pembesar di Ampangan. Kami anggap ini perkara biasa iaitu hal keluarga saja. Cerita ni betul tak betul wallahualam. Kalau tak betul kita anggap saja cerita lipurlara. Tapi banyak keluarga di Muar rupa seperti Agong Pertama sebab mereka ada darah keturunan. Lagi satu Hj Long dijodohkan dengan Che Zamiah sebab dia ada darah kerabat diraja Pahang. Malah dia sendiri adalah daripada keturunan Raja Ceribon. Moyang Hj Long iaitu Tengku Ibrahim telah membuang gelaran Raden atau Tengku bagi mengelak diburu Belanda. Salasilah yang saya tahu ialah Hj Md Yasin bin Hj Long bin Hj Md Noh bin Nakhoda Lebai Muhamad bin Tengku Ibrahim bin Tengku Ismail daripada kerabat diraja Ceribon.

Cerita mereka sebelum datang Muar? Saya ni cucu penghulu, jadi cerita istana memang biasalah. Tapi betul atau tak betul tak pula kami tahu. Dulu Tuanku Khadijah katanya pemegang kuasa adat pepatih di kalangan keluarga sebab dia anak perempuan tertua atau satu-satunya yang telah dilantik adat. Masa dia membawa diri merajuk ke Muar, dia budak atau remaja. Tapi budak perempuan zaman dulu tak macam budak lelaki. Mereka cepat dijodohkan atau ditunangkan. Masa dia merajuk ke Muar, katanya dia dah bertunang dengan Tuanku Muhamad anak Tuanku Antah. Mereka sepupu. Dia ikut Hj Mohd Salleh, orang kesayangan dan kepercayaan bapanya, Tuanku Muda Cik. Hj Mohd Salleh berselisih faham dengan Tuanku Muhamad. Pernah kena tembak tapi dia kebal. Dia berkecil hati dan pergi ke Muar cari kaum kerabatnya. Masa itulah Tuanku Khadijah ikut sebab dia juga berkecil hati dengan Tuanku Muhamad. Di Muar mereka bernikah.
Tadi saya hendak cerita tentang bapa saya. Dia taklah handsome, tapi tak tahulah, ramai benar anak dara minat dekat dia. Sebenarnya itulah kebiasaan orang dahulu. Siapa anak penghulu atau ketua kampong memang jadi rebutan atau pilihan. Kalau anak raja memang jadi angan-angan tapi payah nak kahwin dengan anak raja kalau tak ada darah keturunan. Zaman dulu kalau tak ada darah keturunan maka akan jadi gundik raja. Walaupun gundik hidup senang. Begitu juga orang tua-tua. Mereka berusaha carikan anak mereka jodoh yang terbaik. Malah sudah menjadi adat, mereka yang berada dijodohkan dengan mereka yang berada juga. Setidaknya sama taraf. Masa abang kahwin dengan kakak, masih terikat dengan adat itu. Penghulu dengan penghulu atau dengan anak ketua kampong. Anak penghulu ada chance kahwin dengan kerabat diraja. Anak penghulu kahwin dengan anak orang kaya adalah biasa. Jarang anak penghulu kahwin dengan orang biasa kecuali ada hubungan darah atau anak orang biasa itu seorang gadis yang sangat cantik. Anak penghulu atau yang ada kerabat diraja kahwin dengan anak orang alim terkenal adalah perkara biasa.

Bapa saya cerita, dia sebenarnya ada mata air dari orang kebanyakan. Dia tak dapat berkahwin kerana dihalang bapanya.Sebaliknya dijodohkan dengan emak saya sebab emak saya ada darah kerabat diraja Pahang dan anak naib penghulu Bakri. Jadi dianggap cocok. Lagi pun, datuknya bekas naib penghulu Sg. Raya. Bapa saya kahwin sekitar tahun 1925 dan melahirkan kakak saya pada tahun 1928 dan saya pada 1932. Kami hanya dua beradik. Setelah saya dan kakak sampai di sini, kami dicari oleh sekumpulan orang Temiang. Mereka menuntut hak mereka dari bapa saya. Bapa saya janji akan ganti tapi lepas mereka balik, bapa saya menghilangkan diri lagi. Sekali sekala saja menjengok kami di sini. Dia berkahwin lagi di Taiping, Perak tapi kami tak tahu tempatnya yang sebenar. Kami hanya dengar berita tapi sebenarnya sudah putus hubungan sampailah sekarang hanya tahu dia sudah meninggal dunia.

Dia tinggalkan kami di sini dan di Perak dia guna nama lain. Emak pula larang saya mencarinya. Masa hidupnya ada juga dia datang tapi macam minta api. Dia terpaksa buat begitu sebab tak mahu diekori orang kampungnya, Temiang. Kami pun dah faham dan tak kisah sebab di sini dia pun ada tinggalkan harta untuk kami hidup tiga beranak. Hidup kami tak susah sebab ada hasil dari 14 ekar tanah yang ditinggalkan. Ni gambar dia, ambillah simpan. Tanah yang dibeli di sini adalah baki hasil jual dan gadai tanah di kampong. Dia tak jadi penghulu ganti bapanya sebab kes tanah tu. Adik dia ganti bapanya jadi penghulu. Kalau tak mungkin sayalah yang mewarisi jawatan itu. Itulah takdir.

O..ya, cerita orang tua-tua di sini yang pernah saya dengar? Saya ni pendatang tapi adalah saya dengar daripada sebelah keluarga di Ampangan. Sebelum tu saya nak cerita hal di sini. Orang pendatang dipanggil dagang dan kalau kahwin dengan orang tempatan, tak boleh mewarisi harta. Kalau isteri mati, harta berpindah kepada anak perempuan atau anak saudara perempuan dari adik beradik perempuan simati. Suami dagang akan pergi sehelai sepinggang. Kalau ada anak, duduklah dia uruskan harta milik anaknya. Kalau harta dia beli, itu lain dan boleh dia milikinya tapi kalau mati dia kena beri lebih kepada anak perempuannya. Itulah adat di sini.

Mula saya datang dan sampai sekarang, bapa dan saya pakai adat temenggong di sini. Mula memang kena pulau. Tapi oleh sebab kami ada darah kerabat, taklah teruk sangat. Lagi pun bapa saya dapat beli 14 ekar tanah, jadi macam orang beradalah juga. Mereka hormat juga orang yang mampu beli atau kumpul harta di sini. Lagi pun sebelah bapa saya di Ampangan berketurunan Luak dan Undang. Kami pun tak kisah sangat walau sering disindir oleh masyarakat di sini. Kalau harta waris, jangan buat main. Tak tentu fasal ketua adat boleh rampas atau ambil semula untuk kepentingan warisan adat. Isteri saya pula ada darah keturunan kerabat di Mambau. Ada saudara mara di sana, jadi taklah banyak ragamnya masyarakat di sini.
Masa abang kahwin dulu, abang pakai adat temenggong dan kakak pakai adat pepatih. Haru juga sebab masing-masing tunjuk lagak. Pelbagai peraturan dan syarat dikenakan. Malas pula nak abang cerita sebab terkenang macam mengarut adat pepatih ni. Kakak pula kuat adat pepatihnya yang mengutamakan perempuan. Gelak pun ada. Apa taknya, sebab orang kampong ni semua tahu bapa saya beli 14 ekar tanah. Pada masa tu duit susah lepas perang. Konon orang kaya jugalah, jadi kami dihormati.

Masa nikah, majlis 5 hari 4 malam terus menerus. Lagi lama lagi tunjuk kaya. Tiga ekor kerbau tumbang. Kambing dua ekor dan ayan banyak kena sembelih. Kalau ada orang kampong yang tidak dapat datang, dihantar ayam atau kambing dengan lauknya sekali walau majlis kenduri dah selesai. Sampai saya tak larat, lengoh pinggang dan sendi-sendi. Sana sini diusung dan bersanding, berdondang sayang dan ronggeng, bunga api macam-macam colour. Keluarga abang action juga, sanggup buat sampai 9 atau 11 hari tapi abang tak sanggup sebab terlalu letih. Lagi pun saya sejak kecil tak pernah atau tak biasa kerja keras, setakat menoreh no problem. Duduk di pelamin bukan macam sekarang, kejap saja. Dulu tak boleh gerak-gerak macam patung. Kalau saya tak pitam agaknya tentu dilanjut sampai 11 hari. Majlis terpaksa dipendikkan.

Dahsyatnya masa itu dan budaya menunjuk-nunjuk dalam adat pepatih tak elok diikut. Masa ini pun masih ada lagi walau pun tak seteruk dahulu. Maklumlah kuasa buat keputusan di tangan perempuan. Kalau pengantin lelakinya orang luar, itu yang haru. Macam-macam soalan dan berulang-ulang. Bukan apa, cuma nak ingatkan orang lain supaya jangan beri muka pada pendatang. Yang bagusnya sudah tentu menantu atau pendatang akan menjaga maruah dan berhati-hati dalam pergaulan. Kadang-kadang orang-orang perempuan mereka ambil kesempatan suruh itu suruh ini kepada orang luar yang kahwin dengan perempuan Minang.

Apa? Kenderaan? Masa saya bujang, kalau di kampong ni, kita sudah ada basikal Raleigh pun sudah memadai. Dianggap berduit. Saya ada basikal dan motosikal Norton lama dan tentunya dianggap hebat. Memang tak dinafikan banyak anak dara mengintai atau menjeling. Tapi itu biasalah. Seronok juga tapi saya kahwin dijodohkan orang tua yang nak rapatkan hubungan saudara. Kalau tanya kakak, keluarga mereka berbangga juga bermenantukan saya. Tapi hal bapa saya jual dan gadai tanah tu memang kena rahsialah. Orang yang benar-benar faham tak apa. Kena orang negeri ni, silap-silap semua orang tahu. Tapi yang bagusnya kalau kita buat baik begitu juga semua orang kampong tahu.

Masa saya bujang, masa tu zaman darurat, lepas perang Jepun, kenderaan yang banyak sikit ialah lori. Motokar dan motosikal boleh kira dengan jari atau kita tahu siapa yang pakai. Kampunglah katakan. Jalan besar di luar tu masih belum berturap dan kecil. Pakai batu krikil dan batu merah, tak ada tar. Kalau lori berselisih, satu kena berhenti atau pelahan-pelahan. Pekan terdekat ialah Pedas dan yang besar sikit iaitu Rembau. Lopak dan lubang bila musim hujan tak payah ceritalah, memang teruk. Bila musim kering, debu tanah merah. Itu sebab orang kampong, kalau ke pekan tak pakai baju baru, pakai baju basahan harian. Kalau nak ke bandar atau pekan besar sikit, mereka bawa baju elok dan bersalin di surau, mesjid atau kedai kopi di simpang jalan atau di pekan. Orang sini dulu, kalau cakap Seremban dan Port Dickson, itu adalah bandar besar bagi kami.

Waktu siang, rasa suasananya aman damai dan tenang. Kampunglah katakan. Udara elok dan sedap tak ada apa-apa bau tak sedap. Orang kata tak ada pencemaran lagi. Sekarang ni pun masih bagus tapi tak sebagus dulu. Waktu malam sunyi sepi. Amat terasa suasana malamnya. Bunyi cengkerik dan burung hantu, burung jampuk dan burung tukang dan bunyi burung langsuir dan lain-lain adalah hal biasa. Budak tak berani keluar malam, malah orang tua pun begitu. Bukan apa, tapi khuatir terpijak atau tersua binatang bisa dan binatang buas. Harimau masih banyak di sini masa itu. Tempat ini berdekatan dengan hutan dara. Tu sebelah itu adalah hutan dara yang telah direzabkan kerajaan. Dulu lagi dekat sebab belum jadi kebun diteroka. Sekarang, kalaulah kerajaan tak larang dan buat rezab, rasanya dah lama botak. Pulak tu bukan orang kita yang teroka tapi orang Cina. Kita tebang dengan kapak dan parang. Mereka tebang dengan jentera. Tah dari mana mereka datang, tak tahu lah.

Dulu orang kampong tak keluar malam sebab ada komunis di hutan berdekatan. Ramai juga yang hilang. Ada yang sampai hari ini tak balik. Tak tahu pula apa nasib mereka. Ada juga terdengar mereka jadi komunis Melayu. Ada yang mati tertembak oleh askar kerajaan. Ada juga yang balik sehelai sepinggang dan ada yang balik bawa duit dan jadi kaya. Yang jadi komunis Melayu tu adalah kena paksa lepas mereka ditangkap. Tapi mereka tak jadi komunis di sini. Mereka dihantar ke hutan Pahang atau Segamat dan Yong Peng Batu Pahat. Tak lah tahu, mereka tukar agama atau tak. Tapi kalau namanya Melayu, jadi komunis tak sembahyang biasalah. Tapi kalau tak percaya tuhan, itu adalah mustahil.

Ada juga yang hilang tapi mereka senyap-senyap pergi merantau. Biasanya kalau ikut adat pepatih anak muda memang digalak merantau dan balik bawa harta. Mereka akan dihormati. Pemuda yang balik dengan bawa harta berasa bangga dan kadang-kadang megejutkan. Jadi bualan orang kampong dan dipuji-puji hingga jadi kebanggaan keluarga. Lepas darurat dulu, yang mana tak reti berniaga kebanyakannya masuk jadi askar. Orang perempuan dan orang tua-tua lelaki tinggal di kampong mengurus kebun dan sawah bendang.

Kuasa undang dan luak? Kalau ikut pengalaman saya selaku orang luar kemudian terbiasa dengan adat di sini, bagi saya lah mereka ni macam raja. Kalah Yang Dipertuan Besar sebab Yang Dipertuan Besar tak ada negeri. Tapi luak dan undang di sini ada negeri dan cucu-cicit atau dari pembesar hinggalah rakyat jelata. Walau pun mungkin rakyat atau pengikut tak ramai, tapi secara adatnya memang telah ada garis panduan adat dan peraturan. Dalam syair atau pantun dihafal oleh orang tua-tua. Rakyat dan pengikut begitu setia pada mereka. Mereka tunduk bawah undang atau luak mereka. Sekarang sudah kurang tak macam dulu. Dulu undang dan luak juga ada hamba dan gundik tapi sekarang tidak lagi. Kita dah merdeka dan hidup agak selesa dengan keadaan sekarang.

Kalau nak kata saudara mara dekat istana boleh dikatakan banyak juga. Tapi kami tak ambil tahu sebab cara hidup sekarang sudah berubah. Masing-masing dengan hal masing-masing. Kita pun sudah tidak bergantung kepada undang, luak atau raja. Kalau saya, saudara mara memang masih banyak di Kampung Temiang Muar, Kampung Raja di Pagoh dan di Bakri Muar tapi sudah jarang pergi. Generasi muda sekarang pun sudah tidak kenal jadi malaslah nak sibuk-sibuk mengaku. Asal tahu sudah.

Tentang banyaknya orang Bakri berasal dari Pagoh tak pula saya tahu. Tapi saya ada juga dengar mereka tu diajak oleh moyang saya pindah ke Bakri. Bakri sekarang dah dikira dalam bandar juga. Sibuknya bukan main. Dulu moyang saya ajak orang-orang Pagoh berpindah ke Bakri dan di suruh duduk dan diberi tanah dia. Orang-orang Pagoh katanya bukan orang lain tapi kaum kerabat isterinya juga, Tun Zainab. Tapi tak pula saya tahu sama ada Tun Zainab ikut moyang saya pindah ke Bakri. Yang saya tahu, moyang saya berkahwin lain di Bakri dengan orang Jawa yang ada darah keturunan dia juga. Tahun tu taklah saya pasti sebab saya pun dengar cerita orang tua-tua juga. Mungkin peristiwa orang Pagoh pindah ke Bakri secara beramai-ramai ni sekitar tahun 1890-an hingga 1920-an. Sebab pada tahun 1895 moyang saya pindah ke Bakri dan meninggal pada 1919 atau awal 1920-an.

Tentang nama Bakri yang saya tahu ialah sempena nama Sultan Abu Bakar setelah baginda bergelar Sultan. Tahun saya tidak tahu. Tetapi setelah Maharaja dapat gelar Sultan, Orang Kaya Muar mengesyorkan kepada Dato’Luar Johor supaya menamakan Kg Jawa sebagai Bakri tanda persembahan taat setia orang Jawa di situ. Dato’Luar Johor bersetuju kerana jalan Bakri telah elok setelah beliau mengukur dan meluruskannya dari Bandar Muar sampai ke kaki bukit di batu 7 yang kini juga dikenali sebagai Bukit Bakri.

Sejarah Bakri bermula apabila datuk Orang Kaya Muar yang menjadi Orang Kaya masa itu meminta moyang saya dan adiknya Hj Sulaiman membuka penempatan di situ. Nama Orang Kaya ketika itu ialah Hj Joned. Tahun saya rasa selepas tiga tahun moyang saya sampai dari Ceribon pada tahun 1868. Tempat itu penuh dengan paya dan pokok-pokok benta dan sendayan. Kawasan muara sungai kecil itu mendapat namanya daripada nama pokok benta dan sendayan sejak zaman dulu lagi yang sangat banyak dan terlalu subur di situ. Sungai tu terkenal dengan nama Sungai Bentayan. Orang Melayu mula-mula tinggal di situ dengan Muara Tiram. Masa ini tinggal nama Parit Tiram saja. Dulu penempatan inilah yang dikenali sebagai Muar dan orang-orangnya sebagai orang Muar. Katanya sejak zaman dulu sebelum Melaka dibuka. Mungkin sezaman dengan Kg Temiang, Kg Biawak Busuk atau Kota Buruk.

Orang dulu-dulu kalau sebut Muar, orang akan tahu iaitu kawasan sepanjang Sungai Muar bawa ke hulu atau Segamat. Di muara Bentayan itulah pekan Muar zaman dulu. Sekarang ni pekan Muar dah termasuk dalam Bandar Maharani yang dibuka oleh Maharaja Johor. Nama Bandar itu sendiri ikut nama raja perempuan iaitu Maharani. Pekan Muar dah jadi sebahagian Bandar tapi tak maju. Sekarang jadi setesen bas dan pasar besar Muar. Kota Portugis agaknya kalau digali di tepi sungai Muar itu, mungkin ada lagi. Katanya tembok batu kota tu roboh dan terbenam dalam tanah lumpur. Tapi apalah faedahnya. Batu tembok saja dan dah roboh pula.

Ke arah dalam sikit lepas muara Bentayan itu kawasan paya dan membawalah ke arah tanjung Muar. Bila kawasan ke arah tanjung dari sungai Bentayan dibersihkan oleh anak buah Orang Kaya Joned, kawasan ini menjadi lopak-lopak sebab penanaman padi sawah tidak menjadi di sini. Tanah tidak subur dan tanaman lain juga tidak hidup. Ini adalah kerana tanah berair payar. Bila air pasang, air laut akan masuk dan meresap. Air tawar dari hulu sungai Bentayan pula meresap ke kawasan itu dan menjadikannya payar. Kawasan ini akhirnya ditinggal atau dibiarkan dan hanya pokok-pokok renik yang tidak berguna hidup di situ. Kawasan itu kemudiaan dipanggil sebagai Dumpar kerana lopak-lopak atau kolam air bekas sawah dan terjadinya sebagai tempat timbunan sampah yang di bawa oleh sungai Muar ke muara dan terdampar di kawasan itu.

Masa saya kecil, saya masih ingat, kawasan ini terkenal dengan nama Dumpar dan tanjung. Masa itu orang telah banyak mendirikan rumah kediaman. Masjid Jamek Muar tersergam indah. Bandar Maharani sangat cantik dan di Tanjung didirikan rumah-rumah kerajaan yang tersusun dan teratur. Datuk saya juga ada cerita dan dia juga dapat cerita dari datuk dan datuknya sebab keturunan dia mewarisi pangkat penghulu turun temurun. Muar sebelum ada Bandar Maharani tertumpu di sebelah kiri jambatan Muar menghala ke Bukit Pasir. Di tapak pasar di sebelah kanan sungai Bentayan itu ada kota Portugis yang cantik dan kukuh berbentuk tiga segi tapi roboh kena hakisan sungai. Lepas itu ramai orang ambil batu-batu dinding atau tembok yang sebelah darat untuk buat rumah dan kedai. Apabila bandar Maharani dibangun, habis batu bata tembok jadi rata kerana kontrektor Cina yang membekal batu bata mengambilnya dari situ. Sebelum Bandar Maharani di buka, kota itu sudah tak berbentuk kota lagi.Ketika Bandar Maharani dibuka, kota tu dah tak ada. Lagi pun kota itu taklah besar sangat.

Ada juga cerita, ke atas sikit ada tempat yang bernama Bukit Tereh. Banyak cerita dongeng di situ. Cerita Si Tanggang yang terkenal dan lain-lain. Tapi apa yang saya nak bagi tahu ialah katanya ada terdapat kuil yang agak besar di kaki Bukit Tereh itu. Orang-orang Hindu singgah dulu membuat acara agama, puasa dan sebagainya di kuil itu terlebih dulu sebelum naik ke kuil Gunung Ledang. Masa itu di Gunung Ledang ada lombong emas. Patung-patung kuil itu diperbuat daripada emas yang diambil dari Gunung Ledang. Tapi entah macam mana telah berlaku banjir besar dan telah tenggelamkan Bukit Tereh. Bila banjir yang berbulan susut, didapati kuil itu gaib. Kata bomoh-bomoh orang asli, kuil itu masih ada di situ terbenam 100 kaki dalam tanah. Tapi cerita ini dah jadi cerita rakyat atau lagenda. Sekarang sudah tak ada dengar cerita ini lagi. Lepas kuil emas itu tenggelam barulah tempat itu menjadi tempat sembahyang atau pemujaan orang asli pula.

Berbalik pada cerita Bakri tadi, bila Orang Kaya Joned gagal memajukan Dumpar, beliau telah meminta moyang saya dengan orang-orang Jawa yang dibawanya bersihkan kawasan paya di Sungai Bentayan pula. Moyang saya dan adiknya tahu itu kerja yang sangat besar dan berat. Tiga tahun dia memikirkannya. Dia berulang-alik ke Parit Jawa kerana berbincang dengan bapa saudara angkatnya, iaitu penghulu Jawa di Parit Jawa Muar. Dia juga tahu Orang Kaya Muar sudah gagal tidak dapat mengeringkan paya di Dumpar. Moyang saya tanya bapa angkatnya di Parit Jawa sebab masalahnya lebih kurang serupa. Tapi di Parit Jawa Muar yang berpaya ketika itu tidak ada sungai dan alur. Penghulu Jabar berjaya mengeringkan tanah paya. Manakala di kawasan Sungai Bentayan, banyak anak sungai atau alur seperti sungai Bentayan dan Sungai Tiram ke hulu sikit ada Sungai Abong dan Sungai Buaya.

Wak Jabbar suruh dia buat benting atau taruh batas saja tak payah gali. Tepi-tepi beting itu ditaruh kayu melintang, sampah sarap atau dahan. Sebelah dalam di biarkan berpaya begitu. Tapi hendaklah ditebang segala pokok di dalam kecuali yang berguna seperti rumbia dan nipah. Pokok-pokok benta dan sendayan ditebas supaya kawasan paya terkena terik matahari. Menyusur ke darat Hj Mohd Noh, moyang saya mendapati Sungai Bentayan berpecah dua. Ke kanan membawa ke belakang Kampung Arab. Sekarang hanya dikenali sebagai Jalan Arab saja. Ke kiri ke arah bukit. Dia gunakan sampan mudik dan mula buat beting dari Simpang Jalan Hashim di Batu 1 ¼ hingga ke Simpang Jalan Hj Abdullah Teuko di Batu 2. Naik ke atas, anak sungai sebesar parit tiga depa atau 10 kaki lebar dan hanya alur dua depa atau 6 kaki lebar di Bakri Batu 5. Ke atas ke kaki bukit semakin kecil. Moyang saya pilih anak sungai ini untuk di teroka sebab ada bukit di hulu. Bermakna ada sumber air dan tanah adalah lebih subur.

Dia ukur dan bahagi-bahagikan kepada anak buahnya. Dia arahkan orang-orangnya buat pondok atau rumah sepanjang anak sungai itu bermula dari Bakri Batu 3. Itulah sebabnya orang Jawa di Bakri itu banyak di Batu 3 hingga ke Batu 5 dan sekarang telah bercantum sampai ke Parit Sulung dan Yong Peng. Dia bubuh pasir dan kulit tiram yang banyak terdapat di muara Bentayan dan muara tiram dalam guni. Kemudian di angkut pakai sampan. Wak Jabar juga hantar orang-orang dia bantu. Orang-orang dia juga sedang gali parit di Parit Jawa masa tu. Orang Wak Jabar dibayar upah gaji hari. Mereka datang bergilir-gilir. Mereka buat peraturan atau macam sistem cari upah untuk sara hidup. Kalau tak buat macam gitu tentu mereka tak ada mata pencarian sebab kawasan Parit Jawa belum berhasil. Anak buah moyang saya pula tak begitu ramai. Cuma 50-80 orang saja dan mereka ditanggong oleh moyang saya.

Dahulu bayar upah bukan macam sekarang. Mereka dibayar untuk beli beras dan asam garam saja. Itu pun untuk anak bini di rumah. Di tempat kerja mereka makan nasi kawah beralas daun pisang saja. Mereka memang simple. Itu sebab orang Melayu sangat suka upah orang Jawa jadi kuli atau buruh buka kebun. Bangsa lain juga seperti orang putih dan taukeh Cina suka kuli Jawa. Saya dengar pada tahun 1870-an, gaji tiga ringgit boleh makan sebulan untuk sebuah keluarga yang agak besar. Dulu duit syiling ada nilai ¼, ½ dan 1 sen.

Masa saya budak-budak kalau pergi Bakri tak cukup 2 atau 3 hari. Kena seminggu sebab banyak saudara-mara dari Batu 1 sampai Batu 6. Masa itu zaman sebelum Jepun sampai negara kita merdeka. Lepas itu sudah mula renggang sebab anak-anak muda sudah gila ke Kuala Lumpur, Penang atau Singapura cari kerja kilang. Masa merdeka umur saya 25 tahun dah ada anak dua orang. Kadang-kadang saya lebih suka balik Bakri dan jarang sangat balik Temiang. Saya tak balik Temiang sebab kes bapa sayalah. Saya berasa malu. Sekarang rasanya, mereka yang mewarisi rumah lama atau tua, hanya tahu di Bakri itu ada hubungan saudara. Macam mana kaitan darah mereka tidak tahu. Sebab datuk nenek moyang mereka sudah meninggal dunia.

Masa saya kecik-kecik berumur 6 tahun sehinggalah saya berpindah ke sini, saya sering ikut emak dan Atuk Mandak pergi Bakri. Atuk Long dah tak jadi penghulu Jawa masa Jepun. Dia meninggal lepas zaman Jepun tahun 1946 atau 1947 kena sakit taun. Atuk Long jarang duduk di rumah Sungai Raya. Dia duduk di rumah besar di Bandar Maharani.Masa Jepun, bapa saudara saya Pak Long Yasin duduk dengan kami di Sungai Raya. Dia jalankan kilang sagu peninggalan moyang bersama kawan-kawan dia. Habis perang, dia balik ke Muar dan bekerja di Hospital Muar. Atuk Long dan Pak Long bagi kami, mereka sangat garang. Kecut perut bila jumpa mereka. Pak Long saya macam berubah sikap dan baik pada saudara mara selepas Merdeka masa mereka dah pindah ke Bakri.

Atuk Mandak saya cerita, lepas kahwin sekitar tahun 1902 dengan Atuk Long, dia duduk kat bandar tapi tidak suka. Rumah besar tu macam pejabat, kedai, gudang dan tempat bekerja orang-orang Jawa. Mereka jual sagu cap kunci dan hasil-hasil cucuk tanam dan hutan seperti ubi keladi, pinang, rotan, atap nipah dan atap rumbia dan lain-lain . Moyang saya Md Noh sering juga datang.Atuk Mandak ajak suami duduk di Bakri Batu 2 sebab ada adiknya Khadtijah di situ. Tapi Atuk Long tak mahu sebab ada bapanya di Bakri. Di Bakri Batu 2, juga ada bapa saudaranya yang dia tak berapa suka iaitu Moyang Sulaiman. Atuk Mandak ajak pula tinggal berdekatan bapanya Wan Taib di Pagoh tapi Atuk Long susah sebab kerja naib Penghulu dan berniaga.

Akhirnya dia bawa duduk kat rumah bapanya di Sungai Raya. Lagi pun banyak waris dan keluarga Atuk Mandak di situ. Atuk Long berulang-alik seminggu dua kali balik Sungai Raya. Sebab sepi dan takut Atuk Mandak suruh ambil anak tirinya Pak Long Yasin yang sedang dipelihara oleh Moyang Nuh di Bakri. Masa itu Pak Long Yasin berumur 3 tahun. Payah juga Moyang Noh, tak nak diberinya tapi akhirnya terpaksa juga sebab kesian. Lagipun Atuk Mandak tu pangkat cucu saudara dari sebelah isterinya Tun Zainab. Kata Atuk Mandak, beberapa tahun lepas tu dia beranakkan mak saya, Juriah. Mak saya, Juriah membesar bersama-sama abangnya sehingga berumur 9 tahun apabila Pak Long Yasin ditangkap oleh Askar Tuanku ketika berusia 13 tahun. Mak saya cerita, kejap dia duduk atau jalan-jalan kat Pagoh, kejap kat bandar, kejap kat Bakri dan di Sungai Raya. Lepas Pak Long Yasin kena tangkap, Atuk Mandak kerap duduk kat Pagoh di rumah orang tuanya kerana berubatkan mak saya.

Kenapa tak suka? O.. sebab keluarga Moyang Sulaiman sangat rapat dengan keluarga Orang Kaya Muar malah ada ikatan melalui perkahwinan. Orang Kaya Muar dan orang-orangnya suka suruh-suruh dan tunjuk kuasa. Atuk Long dah lama jadi penghulu tapi tidak dibawa mengadap sultan Johor. Jadi Naib Penghulu tidak ada tauliah. Satu lagi sebab, Orang Kaya Muar tidak menyebelahi Atuk Nuh menuntut balik tanah yang diambil kerajaan di Bakri. Atuk Nuh wakaf satu lot tanah untuk dibina Sekolah Melayu Bakri. Dia suruh kerajaan pilih satu antara dua lot yang dicadangkan tetapi kedua-duanya diambil atas saranan Orang Kaya Muar. Satu jadi tapak Sekolah Melayu Bakri Batu 2. Satu lagi terbiar dan kemudian dijadikan tanah kurnia. Lepas itu ada bakinya dijadikan tapak Balai Raya Bakri Batu 2, sampailah hari ini. Saya dengar ada kuaters guru pula..

Atuk Long juga selalu diugut atau disindir oleh Orang Kaya Muar sebab bapa dan keluarganya menyebelahi Tengku Alam masa Perang Jementah. Sebenarnya itu tidak secara langsung sebab dah jadi keluarga. Tun Hassan , Penghulu Pagoh yang menyebelahi Tengku Alam ialah abang ipar dan bapa angkat kepada bapanya Hj Md Noh. Satu lagi, Orang Kaya Muar juga memujok ibu mertua dan isterinya supaya balik ke istana Sri Menanti, Negeri Sembilan. Masa Tuanku Khadijah balik semula ke istana sekitar 1890-an bapa saudaranya yang masih dalam hari, jadi yatim dan diberi nama Yatim. Bila isterinya Che Jamiah atau Zamiah, kakak kepada Yatim balik ke istana pada tahun 1900, beliau tertekan dan anaknya Md Yasin yang baru menyarap kehilangan ibu kandung. Dah itu bila pada tahun 1913, Pak Long Yasin pula ditangkap Askar Tuanku. Ada berita mengatakan ini memang dirancang oleh Sultan Ibrahim sebab Pak Long Yasin ada darah kerabat Jawa, kerabat Negeri Sembilan dan juga kerabat diraja Pahang. Keluaarga kami dituduh tidak setia kepada Sultan dan bimbang berdendam.

Kalau nak dikumpul sebab-sebab mengapa Tuk Long tak suka dengan keluarga Orang Kaya Muar tu memang banyak. Tetapi dia tetap sabar dan berkawan baik dengan anak Orang Kaya Yusuf iaitu Hj Kadir. Hj Kadir tak jadi Orang Kaya Muar kecuali jadi ketua Kampung Bakri sekejap. Itupun kerana pengaruh moyang dan datuk saya. Atuk Long ada kata datuk nenek moyangnya adalah lebih terhormat daripada keturunan Orang Kaya Padang dan banyak jadi wali Allah di Jawa tapi mereka tidak boleh riak dan takbur. Mereka tahu bahawa mereka adalah dagang dan kena ikut pepatah Melayu; masuk kandang kambing kenalah mengembik.. dan bila masuk kandang kerbau kenalah menguak…

O..ya ada lagi satu peristiwa atau hal penting saya nak cerita mengenai moyang saya yang buka Bakri. Apa..? Tak adalah, saya tak jumpa sebab masih saya lahir dia dah meninggal. Saya dengar moyang Noh meninggal sekitar 1920-an. Kalau awak pergi Bakri Batu 3 ½ , saya rasa masih ada lagi dua orang tua, seorang bernama Nenek Semah dan seorang lagi bernama Aminah atau Menah. Mereka berusia hampir 100 tahun. Mata mereka ok lagi tapi dah rabun orang tua lah..dan belum nyanyuk tapi dah pekak sikit. Mereka banyak cerita pada saya. Kalau saya ke Bakri mesti bermalam di rumah mereka. Mereka tu jadi anak angkat kepada moyang saya, Md Noh. Hjh Menah tu sepupu dengan Hjh Semah. Dia duduk dengan emak saudara dia sejak berusia 5 tahun sampailah dia dikahwinkan oleh moyang saya Md Noh. Setahun lepas dia kahwin moyang saya meninggal dunia.

Dia kata dia kahwin , masa berumur 19 tahun. Jadi kita boleh agak bila moyang saya mati. Saya jumpa dia 2 tahun lepas tahun 1999. Dia berumur 97. Jadi 99 tolak 97 iaitu dia lahir lebih kurang 1902. Masa moyang mati dia baru berkahwin setahun dan dia kahwin ketika berumur 19 tahun. Jadi katakan 20 tahun dan bila tengok dia lahir pada 1902 bererti moyang saya meninggal dunia pada tahun 1922. Saya ada juga dengar dia meninggal pada tahun 1919, 1920 dan ada kata 1920-an. Jadi kalau congak saya, moyang saya Hj Md Noh itu meninggal pada usia 72 tahun. Saya rasa ini tepat sebab semua atuk saudara dan bapa-bapa saudara pupu kata Atuk Noh mati dah berusia 70 tahun tapi belum 80. Lahir dia memang kita orang tahu. Sebab masa mula dia sampai, masa bapa dia hantar dan belikan rumah besar tu, umur dia 18 tahun.

Dia datang pada tahun 1868 sebab nenek Semah juga cakap lepas 10 tahun duduk Muar, berlaku Perang Jementah. Dan masa perang itu moyang saya berkahwin dengan anak kerabat diraja Pahang. Anak kepada Penghulu Pagoh. Penghulu Pagoh masa itu ialah Tok San. Perang Jementah berlaku 1879 jadi betulah congak saya. Cuma Nenek Mandak saya kata bukan dengan anak angkat Penghulu Pagoh tetapi sebenarnya adik perempuan yang dipelihara oleh Tok San. Tun Zainab atau Hawa. Tun Zainab pangkat nenek saudara kepada Nenek Mandak saya. Macam mana..? Macam saya cakap tadi… Nenek Mandak atau Wan Mandak bte. Wan Taib bin Wan Hassan bin Wan Mansor bin Tun Ali Bendahara Pahang. Wan Zainab pula ialah adik Wan Hassan iaitu anak kepada Wan Mansor.

Siapa nenek Semah tadi? O..ya dia waris sebelah Jawa Moyang Noh. Mak saudara dia, atau kakak mak dia,ee..ee. lupa pulak namanya…ialah isteri kedua moyang saya Hj Md Noh. Mereka duduk di Bakri Batu 2. Tu tapak rumah arwah Hj Rahmat anak Hj Sulaiman. Dulu katanya ada sebuah rumah sangat besar di situ. Moyang saya duduk dengan adiknya Hj Sulaiman. Oleh sebab Hj Md Noh sering ke bandar, isterinya ambil nenek Semah dan nenek Menah, anak adik-adiknya duduk dengan dia. Mula-mula berulang dan bergilir-gilir antara nenek Menah dengan sepupunya nenek Semah. Akhirnya nenek Menah kekal sampai dikahwinkan. Moyang saya pindah ke Bakri dari Sungai Raya pada tahun 1895 dan sambung jadi naib penghulu kepada orang-orang Jawa sampai tahun 1900.

Dia serahkan jawatan naib penghulu Bakri kepada anaknya Hj Long iaitu datuk saya. Moyang Md Noh dapat lima orang anak di Bakri. Atuk Long saya pula tak banyak anak. Kahwin dengan Che’ Zamiah dapat sorang saja iaitu Pak Long Yasin. Kahwin dengan nenek saya, Wan Mandak juga dapat sorang iaitu emak saya, Juriah. Bila emak dan abah kahwin, juga tak banyak anak. Dapat kakak saya dan saya. Abah saya kahwin lagi di Taiping Perak tapi kami terputus hubungan dan sampai sekarang tidak tahu siapa adik-adik saya dari lain emak. Saya suka cerita keluarga sebelah emak sebab tidak banyak cerita hitam yang memalukan. Saya harap awak bersetuju.

Apa dia..? Kenderaan di Bakri. Kalau ikut pengalaman saya masa kecil, sebelum perang, banyak basikal kampong. Basikal yang besar tu. Kereta lembu sangat popular. Di Bakri Batu 2 ¼ ada setesen kereta lembu. Setesen tu di persimpangan Jalan Bakri dengan Jalan Kereta Lembu. Sekarang dah jadi Jalan Hj Kosai. Lepas Perang Jepun ada kereta sewa. Taklah banyak sangat. Lepas itu pada tahun 1950-an sudah ada teksi atau beca. Orang Muar panggil beca, teksi. Mereka panggil teksi, kereta sewa. Tak tahu pula saya apa sejarahnya. Sibuk-sibuk merdeka baru ada bas sampailah hari ni.

Masa sebelum Jepun lagi Jalan Bakri sudah diturap. Tarikh yang tepat saya tak tahu. Orang tua-tua kata, lepas Dato’ Luar Johor ukur dan luruskan, mereka pakai batu merah dan batu krikil ambil kat Bukit Bakri. Tapi datuk saya kata, lepas dua tahun Pak Long Yasin kena tangkap baru kerajaan buat jalan tar dari bandar sampai Batu 7 dan Batu 8 dan dah bersambung ke Parit Sulong. Tapi dari Batu 9 masih jalan batu merah dan ada bercampur dengan batu kerikil. Pak Long Yasin kena tangkap Askar Tuanku tahun 1913. Jadi jalan tu berturap atau pakai tar tahun 1915. Memang lah saya belum lahir. Yang saya ingat masa saya umur 8 tahun, dah ada kereta sewa dan lori tapi belum banyak. Yang paling banyak kereta lembu, kemudian motorsikal dan basikal.

Lepas Perang Jepun, kereta lembu terutamanya di Bakri mula pakai tayar atau roda lori dan trak. Banyak trak tentera dan lori tentera tersadai. Mereka ambil buat roda kereta lembu. Mula-mula kelihatan lucu tapi lama-lama jadi biasa. Pada tahun 1950-an, saya dah tak nampak kereta lembu di Muar pakai roda kayu seperti di Melaka dan Negeri Sembilan. Sampai 1970-an kereta lembu masih ada di Jalan Bakri tapi sudah kurang. Kalau di Muar, kereta lembu paling banyak ialah di Bakri. Mungkin disebabkan jalannya yang rata dan lurus tak ada bukit-bukit. Basikal pun paling banyak. Orang guna kereta lembu sejak Bakri mula dibuka. Setesen kereta lembu di bandar dulu terletak kat Jalan Bentayan.

Dulu, kereta lembu ada lesen dan kena cukai juga. Di Johor, kereta lembu, basikal dan beca ada lesen atau kena cukai jalan. Basikal setahun satu ringgit kemudian lepas merdeka jadi dua ringgit. Beca setahun 3 ringgit dan lepas merdeka naik 5 ringgit. Kereta lembu mula tiga ringgit tapi lepas merdeka turun jadi dua ringgit setahun. Orang luar terperanjat juga bila dengar kereta lembu, beca dan basikal di Muar kena ada lesen atau kena bayar cukai. Sekarang tak tahu saya tapi basikal dah tak kena cukai. Manakala kereta lembu sudah tak ada. Beca masih ada dan masih kena cukai tapi saya tak tahu berapa sekarang.

Bila Jalan Bakri diukur dan diluruskan? Saya dah tak ingat tahun berapa masa saya dengar cerita orang tua-tua saudara-mara saya. Tapi masa Sekolah Melayu Bakri Batu 2 dibuka, 5 atau 6 tahun sebelum itu. Sebab bila Sekolah Melayu Bakri Batu 2 mula dibuka pada tahun 1900 atau 1901 barulah seluruh kampong ini di kenali sebagai Bakri. Jalan Bakri diukur dan diluruskan sebelum Sekolah Melayu Bakri dibuka. Masa itu juga moyang saya merajuk sebab Orang Kaya Muar tidak berbincang dengannya ketika menamakan kampong atau jalan sebagai Bakri. Dia lepaskan jawatan dan berikannya kepada Atuk Long saya pada tahun 1900. Atuk Long saya katanya pada masa itu tengah kecewa juga gara-gara Orang Kaya Muar menyokong isterinya terima jemputan istana Sri Menanti balik ikut jejak ibunya. Bila Atuk Long saya dikahwinkan dengan nenek saya, Wan Mandak pada tahun 1902, barulah dia ambil tahu tentang perniagaan dan orang-orang Jawa Bakri.

Sejarah Orang Bakri pakai sampan? Itu saya tak tahu tapi sebelum 1950, sampan masih saya nampak boleh mudek sampai ke Bakri Batu 2, di persimpangan Jalan Hj Abdullah Teuko. Masa itu dah tak macam sungai tapi parit besar. Bukan sampan angkut barang tapi milik orang kampong kerja tangkap ikan. Adalah tiga atau empat biji. Kemudian pada tahun 1960 setakat sampai persimpangan Jalan Sakih dan pada tahun 1970 di persimpangan Jalan Hashim. Masa saya pergi Muar pada tahun 1980 setakat jambatan di persimpangan Jalan Bentayan. Macam itu jugak, tidak banyak tiga atau empat biji saja tertambat di situ.

Tak tahu jugak saya apa sebabnya. Tapi tentulah sebab dah moden. Jalan raya dah bagus. Cuma bagus juga kalau awak tulis, antara sebabnya yang saya rasa ialah keadaan air pasang. Dulu pada tahun 1950, air Sungai Muar jika pasang, sampai di Simpang Jalan Abdullah Teuko. Kemudian macam gitu juga sampai setakat simpang Jalan Sakih pada tahun 1960 dan sekarang masih sampai tetapi cetek tidak macam dulu. Rasa rasa anak sungai atau sekarang hanya dikenali sebagai parit sahaja di Jalan Bakri itu sudah terkambus dan cetek. Lebih-lebih lagi dah banyak sangat rumah dan mereka buat jembatan yang alah kadar saja. Jadi parit yang besar itu mengecil dan jadi cetek. Lebih-lebih lagi selalu penuh dengan rumput panjang.

Orang tua-tua dulu kata, bapa-bapa dan datuk-datuk mereka menebas dan membersihkan parit itu setiap bulan secara gotong royong dari mula Bakri dibuka sampailah pada tahun jalan itu pakai tar. Mereka tidak lagi bersih dan gali parit atau keluarkan sampah sebab tanah kebun mereka sudah kena cukai. Kerajaan atau Pejabat Tanah Muar berjanji membersihkan semua parit. Tapi apa yang berlaku, parit-parit dibersihkan sekali sekala sahaja. Parit hanya boleh elakkan banjir tapi air yang mengalir sudah kurang dan tidak bersih untuk cuci pakaian dan sebagainya. Orang kampong mula beralih kepada air perigi. Parit tidak lagi digunakan untuk mencuci dan sebagainya. Airnya pun tidak sejernih sebelum 1900.

Apabila di bandar air pasang dan pada waktu yang sama musim hujan, maka akan berlaku banjir. Di Bakri sering banjir besar bila musim hujan pada bulan sebelas dan duabelas. Kalau air pasang penuh atau pasang keling, keadaan lagi teruk. Kalaulah cerita banjir di Bakri ini, saya puas dengarnya sejak tahun 1920-an sampailah tahun 1970-an. Apabila berlaku hujan lebat kawasan akan terendam berminggu. Kawasan yang paling teruk ialah di Kaman sampai ke Batu 5. Sebelum tahun 1920 tidak pula saya dengar cerita banjir. Orang Bakri atau Muar panggil bah. Sebab bah kerana paritlah tersumbat dan cetek. Semak samun lagi. Sebenarnya semuanya berpunca dari peraturan tanah yang baru. Peraturan itu kalau tak silap pada tahun 1912 atau 1913, katanya dari sistem orang putih. Bila kena cukai yang dianggap melampau, maka orang tidak lagi bergotong-royong membersihkan parit di kawasan masing-masing.

Ada dengar Askar Tuanku tangkap rakyat? Bukan saja dengar tapi keluarga datuk nenek saya dari kedua belah mengalaminya. Zaman saya sudah tak lagi. Zaman saya ialah zaman lepas perang. Saya dengar, atuk-atuk dulu memang takut dengan Askar Tuanku. Benda ni berlaku lepas Perang Jementah. Dato’-dato’ Johor suruh semua penghulu taat pada Maharaja Johor. Datuk saya di Temiang dulu mengadap ke Pagoh dan Segamat dan kemudiannya ke Teluk Belanga dan Johor Bahru. Keluarga sebelah nenek Mandak saya juga banyak kena tangkap, dibawa ke Singapura. Yang terdekat ialah Pak Long Yasin saya yang baru berusia 13 tahun, juga kena tangkap.

Dasar tangkap atau ambil kanak-kanak yang berkaitan atau ada keturunan Temenggong Muar, keturunan Sultan Ali mahu pun ketrurunan kerabat diraja Pahang di Pagoh bukannya baru. Hal ini sejak zaman Sultan Abu Bakar sebelum jadi sultan. Sesiapa pembesar mahu pun penghulu yang tidak menyokong beliau jadi sultan, beliau akan tangkap tapi tidaklah dipenjara. Saya dengar dipaksa masuk askar atau duduk kat Singapura atau Johor Bahru. Mereka dikawal atau diawasi tidak boleh keluar negeri atau balik kampong.

Penghulu dan ketua-ketua kampong yang dicurigai kesetiaannya diarah datang ke Bandar Maharani, masuk Askar Sukarela Tuanku. Yang mana dicurigai tetapi boleh dikontrol oleh orang kaya atau penghulu, dijadikan naib penghulu tidak diberi tauliah. Itulah sebabnya Atuk Long dan moyang Md Noh tidak bertauliah. Banyak sebabnya kalau nak cerita tapi yang bertulis pula tak ada. Punyalah cerdik orang-orang besar Padang atau Orang Kaya Bandar Maharani. Mereka sangat setia dengan Maharaja Johor. Satu keturunanlah katakan. Bugislah…apa lagi. Orang yang berjaya dipergunakannya juga diawasi dengan teliti. Orang Bugis ini memang ada sejarah hebat dalam pemerintahan mahupun perdagangan.

Apa kaitannya dengan saya? Saya keturunan Melayu Temiang. Asal-usul Melayu. Cerita hal Melayu Bugis ni banyak. Disebabkan darah saya dah bercampur dengan Jawa, ada geram juga pada mereka.Orang Bugis ni kalau kita kaji dan fikirkan jauh-jauh, mereka macam Cina yang mencerai-beraikan Melayu melalui perniagaan. Contohnya pengikut atau anak buah moyang saya disuruh tebas hutan dan paya. Bila dah maju dinamakan Bakri macam dia pula yang buka. Kemudian turun pula ke Atuk Long. Mungkin untuk melemahkan pengaruhnya, dihasutnya isteri atuk Long supaya balik ke istana Sri Menanti. Terkontang kanting atuk Long nak pulihkan perasaannya. Lepas itu dicolik anak lelaki atuk Long. Padahal semua tahu itulah anak lelakinya sorang dan berdarah kerabat pula.

Bila sampai zaman Pak Long Yasin mereka jadikan dia dan pengikut dan saudara-maranya sebagai pasukan gelap kerajaan. Tapi akhirnya dikenali sebagai kumpulan gelap Melayu. Nasib baik Pak Long saya bijak. Dia bubarkannya pada tahun 1948 bila terima arahan-arahan yang mengarut. Kalau tak, entah-entah dituduh pengkianat dan ditangkap. Pada hal asal-usul keturunannya adalah dari pada anak raja yang menjadi saudagar raja yang berwibawa. Takkanlah Sultan Ibrahim tak tahu ini semua. Kalau tidak buat apa dibiarkan berkawan dengan Dato’ Onn dan Pak Itam Tahir atau Wan Tahir kerabat Pahang masa dalam askar? Dan kalau dengar cerita Pak Long Yasin sendiri, semua orang besar Muar dan pegawai besar yang berasal dari Johor Bahru, semuanya dia kenal. Tapi masa dia di Muar, mereka suruh rahsia.

Pak Long Yasin ada cerita pada saya, pegawai tinggi Muar yang rapat dan baik dengan dia sebab ada pertalian saudara ialah Dato’ Wan Idris Wan Ibrahim. Dia keturunan Temenggong Muar. Dia pun sedar dia dah kena pengaruh Sultan Ibrahim dan tak boleh buat apa-apa. Dia suruh Pak Long Yasin saya setia saja pada Sultan Ibrahim. Sebabnya, masa itu hendak harapkan sultan Melayu mana lagi yang hebat seperti sultan Ibrahim. Pak Long Yasin, Dato’ Wan Idris dan Dato’ Onn pernah berbincang tentang perangai Sultan Ibrahim.

Dato’ Onn geramkan Sultan Ibrahim seperti tidak mengenang jasa bapa beliau, Dato’ Jaafar. Sebabnya, bila lepas meninggal dunia tahun 1919, Sultan Ibrahim merampas semua harta Dato’ Jaafar. Pak Long Yasin pula cerita dia dan Tok Itam Tahir yang sering dipergunakan oleh Sultan Ibrahim tapi sedikitpun tak mengiktiraf keturunan mereka ada berdarah kerabat diraja Pahang. Ikut sejarah, berdarah atau keturunan Bendahara yang tentunya lebih tinggi dari Temenggong. Tapi Dato’ Wan Idris hanya mengaku keturunannya iaitu Temenggong Muar sudah tiada kuasa. Zaman telah berubah dan mereka mesti menyokong dan mendokong Sultan Johor. Walaupun dari darah Temenggong tetapi kehebatannya adalah menonjol di serata dunia jika disbanding dengan sultan Melayu lain. Dato’ Wan Idris mengajak mereka semua berahsia saja. Satu hari nanti anak cucu tahu juga. Tapi Dato’ Wan Idris yang lebih tua diantara mereka mahu biar sejarah keturunan mereka setia dan taat daripada menderhaka.

Lagi satu, Pak Long Yasin cerita, Dato’ Wan Idris mangingatkan mereka sebenarnya mereka semua iaitu Pak Long Yasin dari keturunan Tun Mansor bin Bendahara Tun Ali Pahang, beliau sendiri dari keturunan Temenggong Muar berasal usul dari Bendahara Tun Habib Abd Majid, Dato’ Onn juga dari keturunan Bendahara dan Sultan Ibrahim walaupun dari keturunan Temenggong Johor adalah juga berasal usul dari sama keturunan Bendahara Tun Habib Abd Majid. Jadi mereka adalah dari keturunan yang sama jadi perlu bersatu-padu jangan bermusuhan. Musuh halus yang tidak nampak ialah penguasaan Inggeris yang sangat berpengaruh dan merupakan penjajahan alaf baru. Ini amat terkesan kepada Dato’ Onn.

Dato’ Onn dikata pernah bersumpah di depan Dato’ Wan Idris iaitu abang angkatnya untuk menumpukan perhatian terhadap nasib bangsa Melayu. Masa Dato’ Onn di Muar pada tahun 1920-an, beliau juga diberi amaran supaya berkelakuan baik. Pak Long Yasin juga diberi amaran supaya tidak melibatkan Dato’ Onn dalam kumpulan atau kegiatannya di Muar. Pak Long Yasin tahu dia orang kecil dan mengambil keputusan mengikut haluan masing-masing. Nasihat dan pandangan Dato’ Wan Idris dianggap hikmat. Itulah sebabnya Pak Long Yasin begitu setia pada kerajaan masa dia jadi ketua kumpulan gelap di Muar, yang sangat dirahsiakan itu sampailah dia meninggal pada tahun 1979.

Berbalik pada cerita Pekan Muar lama. Di muara Sungai Bentayan dulu ada pantai pasir dan banyak tiram. Dahulu sangat mudah hendak cari tiram di situ. Sebab itu lah sungai di situ bernama Sungai Tiram dan sekarang telah mengecil dan di panggil Parit Tiram saja. Orang Jawa bekerja tak macam Melayu. Mereka bekerja bersungguh-sungguh. Tak banyak cakap dan senyap-senyap sampai Orang Kaya Muar pun tak tahu. Katanya mereka telah meluruskan alur atau anak sungai di kawasan mereka terlebih dahulu di batu 3 bawa ke batu 5. Hutan ditebang dan dibersihkan. Lepas itu baru lah mereka letak guni-guni pasir buat beting.

Mereka buat beting di kawasan berpaya yang teruk iaitu di persimpangan Jalan Hashim sampai ke persimpangan Jalan Hj Abdullah Teuko di Batu 2. Masa itu Jalan Hashim atau Hj Abdullah Teuko belum ada. Bila siap beting barulah mereka buat jalan kereta lembu di atasnya. Maksudnya mereka sudah buka kebun dulu barulah mereka buat beting sungai Bentayan dan buat jalan darat. Jalan darat itu jalan untuk kereta lembu. Lepas itu bercantum dengan jalan darat di batu 3 sampai ke batu 5. Jalan inilah kemudiaannya diluruskan oleh Dato’ Luar Johor kemudian dia beri nama Jalan Bakri walau pun orang-orang Jawa di situ tak setuju. Tapi apa boleh buat sebab mereka pendatang.

Moyang saya Hj Mohd Noh telah mengeluarkan belanjanya sendiri. Dia memang orang kaya sebab keturunan raja Ceribon. Bapanya pula mewarisi perdagangan kapal atau mewakili kerabat diraja berdagang di negeri-negeri dan pulau Melayu. Dulu orang panggil sebagai saudagar raja dan mempunyai banyak kapal sendiri. Datuk kepada moyang saya pula iaitu Tengku Ibrahim adalah saudagar dan pandai emas. Dulu tak panggil kapal tapi jong atau perahu. Perahu atau jong tu ialah kapal besarlah yang boleh muat sampai 200 orang. Tapi biasanya jong atau perahu angkut tak lebih 80 orang dan lainnya ialah muatan atau barang dagang. Dia beli dan jual emas dan barang-barang lain seperti sagu, garam, ikan asin dan rotan di negeri-negeri Melayu tempat dia berdagang seperti di Siak, Singapura, Melaka, Kalimantan dan Riau. Di pulau-pulau Jawa sebelah sana seperti Tuban, Grisik, Sulawesi, Madura dan Muluku dan sebagainya. Saya tak ingat lagi nama-nama pulau di Jawa itu.

Datuk saya cerita, pada awal tahun 1870-an bapanya terkejut mendengar ada kampong Jawa di Pekan Muar. Orang Melayu jarang suka pergi ke kampong Jawa. Mereka hanya mendengar saja. Tapi moyang sebelah bapa saya pergi melihat sebab dia takut kawasan hulu Temiang yang dikuasainya bercantum di Bakri di teroka oleh Jawa. Dia terkejut kampong Jawa cantik. Tapi tak lah di dalam bandar kecuali kawasan paya yang telah dibersihkan oleh mereka.Kawasan yang sudah didiami dan menjadi kampong ialah di Batu 2 ke Batu 5. Pokok sudah berhasil dan ada sawah padi dan kebun buah-buahan.

Orang Jawa di situ gunakan sampan keluar masuk sampai Batu 2. Itu sebab orang di muara tidak berapa perasan. Lagi pun mereka anggap orang-orang Jawa hanya kuli atau buruh. Orang Jawa dalam masyarakat orang-orang Melayu hanya kelas ketiga selepas Bugis. Lagi pun, orang-orang Jawa di Muar semua dianggap orang-orang atau anak buah juga kepada Orang Kaya Muar. Ini adalah kerana, adik moyang saya iaitu Hj Sulaiman kahwin dengan keluarga Orang Kaya Muar. Orang Kaya Joned juga mengaku orang Jawa di Muar adalah anak buah dia juga sebab dia dititah membuka sebanyak boleh kawasan hutan oleh Maharaja Abu Bakar, Temenggong Johor. Orang Melayu ni manja, tak sanggup duduk di paya atau menebas hutan.

Kawasan paya sebelum dibersihkan moyang saya, adalah tempat tinggal orang asli. Kat Muar, mereka dikenali sebagai orang Sakai atau orang laut atau sakai laut. Mereka tak ada agama. Mereka puja pokok besar, busut atau batu tengah laut. Mereka macam kita tapi comot dan kasar. Rambut tak berapa keriting tapi kusut masai. Mata pencarian mereka ialah hidupan laut dan paya bakar seperti siput, kerang, tiram, kepah, ketam dan sebagainya. Orang sakai laut disuruh pindah oleh Orang Kaya Muar. Moyang saya bawa mereka ke paya bakau Kesang. Penghulu Kesang juga bapa angkat kepada moyang saya. Dia suruh orang sakai laut tinggal di situ. Ramai yang berpindah ke situ dan ada juga berpindah ke sebelah pantai Batu Pahat.

Orang Sakai Laut ni mengaku rakyat sultan Melayu Johor juga. Walau pun mereka tidak bergaul tetapi mereka ada ketua. Ketua mereka sering berjumpa dengan Orang Kaya atau penghulu Melayu. Mereka taat walaupun disuruh pindah asalkan diberi beras dan pakaian. Ada juga cerita, mereka dibawa bila mengejar perompak di laut. Tahu-tahulah, orang Melayu memang cerdik. Kalau berperang atau bertembung dengan perompak laut atau lanun, orang sakai lautlah yang diperintah kedepan dulu. Mereka sangat cekap berperahu. Perahu mereka tidak ada yang besar. Perahu mereka hanya muat tiga orang. Bila mereka ke laut dalam atau tengah, mereka pasang galah buluh sebagai pengimbang atau pelampung supaya tidak tenggelam.

Macam mana saya tahu? Pak Long Yasin cerita pada saya. Saya juga pernah nampak dengan mata kepala saya sendiri masa saya naik bot dari Muar ke Melaka tahun 1950. Pak Long Yasin cerita, dia pernah berguru dengan penghulu atau Tok Batin Sakai Laut di Batu Pahat. Di Minyak Beku, Batu Pahat. Mereka tak beragama. Tapi ilmu itu, dia dah buang, masa dia ceritakan pada saya. Ilmu apa? Pak Long Yasin kata, ilmu panggil ribut atau redakan ribut di laut. Dia pernah coba dan menjadi. Kat darat pun boleh dengan syarat di tepi pantai. Hanya pakai sirih dan asap kemenyan dan beberapa patah serapah. Kena puasa tujuh hari tujuh malam di atas batu di pulau tengah laut. Tak boleh makan kecuali minum embun atau air hujan. Geli hati juga masa dengar cerita. Pak Long Yasin ni bijak juga. Bila Tok Batin kata puasa tidak boleh makan, dia bawa banyak daun sirih dan daun sirih itulah jadi makanan dia di tengah laut.

Apa dia? Orang asli darat? Ada..ada dan masa saya budak-budak dulu ada juga nampak mereka di tebing sungai Muar di sebelah hulu arah ke Pagoh. Tapi sangat kurang dan jarang. Kalau di Bakri tu pernah saya dengar datuk saya cerita mereka tinggal di hutan di kaki Bukit Bakri dan mereka ada trek jalan sendiri sampai ke Bukit Mor, Parit Jawa.Mereka boleh berjalan kaki dengan mudah dan boleh sampai ke Hulu Pagoh dan Gunung Ledang dan ke hutan Pahang. Jalan Bakri Batu 7 ke Parit Sulong itu adalah jalan yang diasaskan oleh orang asli. Sekarang ini payah nak jumpa mereka tapi saya dengar kalau sakai laut masih banyak dalam paya bakar di sepanjang pantai.

Orang asli ni tak kacau orang. Mereka pemalu. Kalau kita buka kebun dekat dengan mereka, sebulan dua lepas mereka tuai hasil mereka, mereka akan tinggalkan. Jadi sebenarnya taklah teruk sangat orang Jawa menebang pokok untuk membuka kebun. Macam di Bakri tu, sebelum moyang saya teroka dah ada bekas-bekas orang asli darat buat kebun. Jadi tak banyak pokok hutan dara. Pokok taklah sebesar dua atau tiga pemeluk. Maksudnya, kita boleh jangka tempat tu telah ditinggalkan oleh orang asli 30 ke 50 tahun. Hubungan orang kita dengan mereka tidaklah macam sekarang. Sekarang ini lebih baik dari dulu. Kita banyak ambil tahu tentang mereka. Masa dulu, orang-orang Melayu buat tak tahu saja dengan mereka. Kita anggap mereka tak berbudaya dan bertamaddun. Mereka pun masih telanjang kecuali menutup pinggang dengan kulit kayu dan yang lelaki pula hanya pakai cawat.

Itu cerita orang Melayu tengok orang asli. Mereka sidikit pun tidak fikir dan sanggup mengaku orang asli adalah keturunan datuk-nenk moyang orang Melayu. Benda ni baru sekarang saja. Itu pun orang putih yang kata. Kita pula bersetuju dan mengaku. Saya tidak mengakulah. Biar orang kata sombong tapi rasanya saya tahu keturunan saya. Apa taknya, orang putihnya seboleh-boleh suruh kita mengaku, orang asli itu asal-usul kita. Kemudian, manusia berasal dari beruk. Saya sangat-sangat tidak bersetju. Mereka kata, mula-mula beruk kemudian jadi orang asli. Entahlah…gila betul orang Yahudi ni… Kalau kat Muar ni sampai sebelum Jepun masih ada lagi orang asli pergi ke Bukit Treh buat pemujaan. Tapi masa itu orang asli laut yang ke sana. Saya dengar, pada zaman dahulu, sebelum orang sakai laut pergi memuja di Bukit Tereh, tempat itu menjadi tempat pemujaan yang besar oleh orang asli darat. Tak tahu pula bagaimana jadi begitu. Mungkin orang sakai laut dan orang asli darat satu bangsa atau berasal yang sama. Kalau kita lihat, orang sakai laut ini lebih maju sikit daripada orang asli darat. Entahlah…

Apa dia? Macam mana orang Melayu melihat orang Jawa? Kalau ikut pengalaman saya sendiri, orang Jawa ni hidup dengan masyarakat mereka sendiri. Mereka ada kebudayaan dan adat resam sendiri. Dan saya lihat begitu hebat dan tinggi juga. Mereka berbagai kelompok. Ada yang datang sebagai saudagar. Ada yang datang sini sebagai tentera atau panglima perang. Ada yang sebagai peneroka membuka tanah, desa dan pekan. Dan ada yang datang sebagai kuli dan buruh. Mereka datang dengan kelompok-kelompok mereka yang tertentu. Mereka tidak banyak bercampur dengan orang Melayu kecuali ketua-ketua mereka saja.

Orang Jawa sering diperlekeh. Ada satu bidalan yang tidak lagi didengari sekarang. Masa saya kecik-kecik, saya juga terikut-ikut menjeritkannya bila bertembung dengan orang Jawa. Bidalan itu berbunyi ; Siji loro telu papat. Jawa kerja Melayu dapat. Orang Jawa atau budak-budak Jawa yang berani akan membalas; Melayu lari, males. Mangan ojo orak Melayu. Kadang-kadang hanya gurauan dan kadang-kadang hingga bertumbuk. Kadang-kadang dan kebanyakannya budak-budak Melayu saja nakal terjerit-jerit tanpa tahu maksud sebenar. Tapi bila saya tanyakan pada datuk, dia jelaskan bahawa apa yang dikata Jawa itu benar. Apa bidalan Melayu juga benar.

Saya masih tak faham. Datuk saya beritahu bidalan itu lebih kurang maksudnya ialah; satu, dua, tiga, empat. Orang Jawa buat kerja, orang Melayu yang dapat. Orang Jawa bekerja keras berkebun atau buat macam-macam kerja dan termasuk juga buka kebun dan buat kampong tapi akhirnya orang Melayu yang beruntung kerana orang Melayu dulu semacam tuan tanah atau taukeh yang beri modal. Orang Jawa balas yang sebenarnya bererti; Melayu lari bererti perkataan melayu dalam bahasa Jawa bererti lari, yang bermaksud pengecut dan males bererti orang Melayu adalah orang yang pemalas. Malas dalam banyak hal, tapi soal makan tidak pernah menolak atau orang Melayu kuat makan dan pemalas. Dan kalau dikaji ada betulnya. Bila kuat makan memang badan berat atau berat tulang. Jadi orang Jawa balas bidalan Melayu dengan ; Melayu lari, males, pangan ojo orak Melayu.

Apabila saya faham maksud sebenar bidalan yang dimainkan oleh anak-anak Melayu dan Jawa ini, saya bertambah seronok. Saya memang nakal dulu. Tapi bila dah tua dan mengenang nasib saya yang malas belajar dan bila dewasa terpaksa tanggong perbuatan bapa, saya rasa terharu dan sedih sebab bidalan Jawa itu betul-betul kena batang hidung saya. Dulu masa budak-budak dan kadang-kadang terbawa-bawa sampai umur 50-an, saya sering pakai bidalan itu kepada kakak saya apabila kami bertengkar atau bergaduh dan bila dah dewasa bila berselisih faham. Sebabnya saya ni anak kesayangan datuk, orang Melayu. Manakala kakak anak kesayangan dan dimanja oleh mak saya yang ada darah Jawa dari datuk saya Hj Long. Kalau lah orang cerdik pandai mengkaji bidalan itu tentu ada nilai falsafah atau kebudayaan yang tinggi. Siji loro telu papat. Jawa kerja Melayu dapat! Melayu lari, males. Mangan ojo orak melayu!

Bila saya geram dengan kakak saya, saya jerit siji loro telu papat, Jawa kerja Melayu dapat!! Bukan apa, maklumlah saya ni anak lelaki, kerja rumah, kakak yang buat banyak. Bila saya tak mahu tolong, seringlah dia marah berceloteh. Banyak kerja rumah dia yang buat dan saya tak susah-susah, kadang-kadang saya yang dapat pujian. Bila tengah geram, dia balas; Melayu lari, males, mangan ojo orak melayu! Maksudnya saya seorang lalaki yang pengecut dan tidak bertanggongjawab. Saya pemalas tapi kalau bab makan, saya nombor satu. Saya memang sejak dulu , sejak kecil gemuk tapi taklah kedebab. Badan gempal hinggalah sekarang, tak pernah kurus sebab makanan saya mewah.

Masa saya kecil di mana? O..sebenarnya masa kecik-kecik sekejap kat Sungai Raya dan sekejap kat Temiang.Masa Jepun saya kat Sungai Raya. Lepas Jepun masa Malayan Union 1946 saya duduk dengan datuk saya di Temiang. Sejak kecil saya dengan kakak dan mak saya ulang-alik di rumah mertua dan di rumah maknya atau datuk saya di Sg Raya dengan Kampung Temiang Tengah. Tempat dekat saja, jalan kaki 1 – 2 jam sampai. Masa tu jalan dah ada, kereta lembu pun banyak. Rumah orang kampong di kiri kanan jalan walaupun tak rapat-rapat tapi banyak. Dulu, siapa yang menggunakan jalan raya, semua orang kenal siapa. Jadi tidak takut. Hidup di kampong memang seronok. Orang semua baik dan mesra. Datuk datuk saya pula keduanya penghulu.

Apa yang saya nak cerita ialah ibu bapa saya sering ulang-alik sebab bapa saya bakal penghulu. Dia kena duduk dengan bapanya di Temiang.Manakala mak saya pula tinggal hanya dengan ibunya, nenek saya Tuk Mandak. Mak saya pula tak banyak adik-beradik. Dia berdua sahaja dengan abangnya, Md. Yasin. Mak saya pula sejak kecil selalu sakit-sakit kurang sihat atau lemah semangat sebab selalu rindukan abang dia. Dia macam rasa bersalah sebab ajak abang dia main layang-layang di Dumpar Tanjung Muar. Masa itu mereka pergi menziarah keluarga di Tanjung Muar dan duduk di rumah moyang saya Hj Md Noh di Bandar Muar. Rumah tu separuh batu separuh papan. Rumah besar itu pada asalnya milik saudagar Arab.Saudagar Arab ini taukeh sagu atau dagang tepung sagu cap kunci. Dia berkongsi dengan moyang saya Nakhoda Lebai Muhamad dari Ceribon atau Jawa.

Pintu gerbang pagar dan atas alang pintu besar rumah ada lambang anak kunci.Tersergam di sebelah setesen minyak di round about Jalan Bakri sekarang ni. Dulu setesen minyak dan round about belum ada. Balai bomba Jalan Bakri yang sekarang ni dah tak ada pun tika itu belum ada.Bawa menghala ke darat itulah kampong Arab. Sebab ramai saudagar Arab tinggal di situ. Sekarang yang masih tinggal ialah Jalan Arab. Dulu jalan itu ialah jalan utama ke Pekan Muar. Rumah itu pula telah tiada kerana telah dijual dan dirobohkan pada awal tahun 1950-an. Saya dengar, dulu rumah ini jadi pejabat dan gudang sagu. Bila moyang saya beli pada tahun 1868, dia dan adik-adiknya yang baru sampai duduk di situ. Moyang saya Md Noh meneruskan perniagaan bapanya sampailah bila dia serahkan kepada anaknya Hj Long pada tahun 1900.

Masa Pak Long Yasin kena tangkap, mak saya berumur 9 tahun dan abangnya 13 tahun. Abang dia, iaitu bapa saudara saya Md Yasin kena tangkap Askar Tuanku. Kena paksa jadi askar. Atuk Long mengamuk tapi Orang Kaya Muar sikit pun tak tolong dia. Mereka kata bapa saudara saya bukan kena tangkap tapi nak dibuat anak angkat oleh sultan Ibrahim. Datuk dan keluarga semua tak percaya. Lepas kena tangkap, bapa saudara tak pernah balik. Ada sekali dia balik pada Januari 1918 dan datuk saya terus paksa dia kahwin supaya dia tinggal di Muar. Tapi bapa saudara saya dapat larikan diri balik Johor. Saya banyak tahu cerita ni sebab saya agaknya dilihat bakal jadi penghulu oleh datuk saya. Mereka adalah penghulu Melayu tradisional. Maka banyaklah cerita dulu-dulu diceritakan kepada saya. Tapi apa boleh buat. Bapa saya telah membuat kesilapan dan saya juga terbuang menerima tempiasnya.


Apa dia Kaman? Saya ada sebut Kaman, tadi? O.. Kaman itu adalah kawasan paya yang paling teruk di Bakri. Berapa kali beting dibuat, bila hujan sikit beting roboh. Kaman itu ialah satu kawasan rendah di antara Jalan Sakih dengan perkuburan Bakri Batu 2. Sekarang nama tempat itu ialah Kg Kenangan Tun Dr. Ismail. Sebelum itu dikenali sebagai Tapak Pesta. Dan sebelum Tapak Pesta dikenali sebagai Kaman. Ini berasal dari pelat orang Bakri merujuk tanah yang tidak berguna sebab sentiasa berpaya. Tanah tidak subur dan rendah tidak boleh dikeringkan kecuali ditambak. Orang dulu mana terfikir nak tambak sebuah kawasan yang besar. Jadi dibiarkan saja. Tanah tak berguna disebut Kaman atau daripada perkataan Inggeris Common jadi koman dan Kaman. Bererti biasa atau tidak bermutu.

Kawasan ini agak luas dan terbiar. Akhirnya jadi tanah kerajaan. Lepas Perang Jepun kerajaan gali, membesar dan dalamkan Parit Tiram di belakang kawasan ini. Parit Tiram digali dari muara di Sungai Muar hingga bercantum di Sungai Abong dan Sungai Buaya. Barulah tanah dapat dikeringkan. Kemudian kerajaan buat ladang getah atau tapak semaian pokok getah. Kerajaan juga mendirikan kuarters buruh dan kuli. Kerana banyak buruh India dari kelas bawahan tinggal di situ, kekallah tempat itu dipanggil Kaman. Tempatnya Kaman dan orang-orangnya pun orang Kaman. Kaman Bakri. Setiap kali musim hujan, rumah mereka ditenggelami air sebab tanah tidak cukup tinggi masa ditambak untuk dirikan rumah buruh-buruh kerajaan. Koman betul…atau Kaman, tidak berguna.

Pada tahun 1974 kawasan ini jadi tapak Pesta Pembangunan Negara. Dirasmikan oleh Perdana Menteri Tun Abd Razak. Sebahagian kuarters buruh dirobohkan. Beribu lori tanah digunakan untuk menambak kawasan ini. Beberapa rumah rakyat yang selesa dibina dan disusun semula. Pada tahun 1976 tapak ini digunakan pula untuk Pesta Peladang Kebangsaan. Kampung ini dilengkapi dengan segala kemudahan asas. Terdapat mesjid, sekolah, dewan orang ramai dan deretan kedai. Setelah itu dikekalkan nama nya sebagai Kampung Tun Dr. Ismail. Sebagai mengenang jasa dia yang ilham dan memajukan Muar khususnya di kawasan Kaman, Bakri. Ketika inilah semua kampong di Muar terutamanya yang di dalam kawasan bandar dan yang berdekatan dengan Kaman telah dinaikkan taraf. Lorong Hj Abdullah Teuku, Jalan Sakih, Jalan Hj Jaib, Jalan Sungai Abong dan Jalan Bakri diperbesar. Begitu juga Jalan Kereta Lembu ditukar nama kepada Jalan Hj Kosai. Kalau nak banding kemajuan Bakri dengan Seliau ni, jauh sekali. Sini lambat. Tanah adat tak boleh diusik.Walaupun nak buat jalan.

O..ya sebelum saya lupa, saya nak bagi tahu satu rahsia atau satu cerita. Masa Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan Yang Pertama, mangkat pada 1920-an.. ni cerita saya dengar dari sebelah Mambau dan Ampangan, orang bisik-bisik. Siapa dia? Tuanku Khadijahlah, siapa lagi. Masa baginda mangkat dan ketika nak kebumi. Ramai Dato’ Undang marah sebab tidak disegerakan. Tuanku Muda Chik tak terkata apa kecuali tersenyum dan diam saja. Orang pelik, apa lagi nak ditunggu. Tuanku Muhamad dan anakandanya Tuanku Abdul Rahman tidak benarkan jenazah dimasukkan ke liang lahat. Macam menunggu sesuatu sampailah kena herdik dan sudah tengah hari. Akhir terpaksa dikebumikan.

Orang ramai pelik tapi hanya jadi peristiwa saja. Sebenarnya, Tuanku Muda Chik,ayahanda dan Tuanku Muhamad suami Tuanku Khadijah dan anakanda Tuanku Abdul Rahman menerima wasiat bonda tirinya supaya jangan kebumi selagi Orang Kaya Muar belum sampai. Sampai rakyat tertanya-tanya apa pentingnya Orang Kaya Muar tu. Bila Orang Kaya Muar sampai pada waktu asar hampir ke magrib, jenazah telah dikebumikan. Itupun setelah Dato’ Undang membantah dan marah-marah. Sebenarnya wasiat itu bukan suruh tunggu Orang Kaya Muar tetapi anakcucu Tuanku Khadijah yang ada di Muar. Orang istana tahu tapi mereka rahsiakan iaitu Tuanku Khadijah ada anak lelaki dari bekas suami di Muar iaitu Mian dan Yatim dan cucunya anak Che Zamiah, Md Yasin. Anak perempuan baginda Che Zamiah masa itu pengsan kerana terlalu bersedih terhadap apa yang telah berlaku. Dia tidak dibenarkan istana memecahkan rahsia bahawa dia adalah anak kandung Tuanku Khadijah berbapakan orang kebanyakan.

Hal ini akhirnya jadi wasiat sampai akhir hayat dan anakanda Tuanku Abdul Rahman juga wasiatkan kepada puteranya. Wasiat rahsia ini hanya akan dibuka pada hari hol kemangkatan Tuanku Khadijah yang ke 100 tahun. Kerabat terdekat percaya ketika itu pihak istana akan memaklumkan zuriat-zuriat Tuanku Khadijah dan dimana pusaka leluhur iaitu jempol rambut yang dikata sakti disimpan oleh Tuanku Khadijah. Setakat ini pihak istana menganggap Tuanku Khadijah tidak berzuriat kerana putera baginda bersama Tuanku Muhamad telah mangkat terlebih dahulu pada tahun 1914.

Selepas Agong Pertama Tuanku Abd Rahman mangkat, ada orang istana datang menyiasat kami. Itu saya dah sebut pagi tadi. Perkara ini serius sebab Tuanku Khadijah tidak ada zuriat perempuan untuk mengganti baginda menerajui adat pepatih. Sebenarnya Che’ Zamiah dipanggil untuk menggantikan baginda tetapi ditolak oleh pihak istana kerana dikhuatiri menjatuhkan maruah diraja. Selepas kematian bonda, Che Zamiah ada memberitahu suaminya, Tengku Zakaria anak raja Mabang. Sebenarnya mereka semua juga tahu tetapi patuh kepada kepala adat supaya merahsiakannya sampai kesatu masa.

Setelah menerima kunjungan pihak istana, saya segera balik ke Bakri mencari Pak Long Yasin. Saya amat terkejut apabila dia sedikit pun tidak gairah. Dia kata, air dicincang tidak akan putus. Orang yang cincanglah yang menanggong dosa. Air terpercik membasahi orang lain. Kalau sejuk orang tidak suka. Kalau panas, orang takut. Saya tak faham tapi saya ingat sampai sekarang. Pak Long Yasin berkata lagi malah macam pesan pada saya. Mereka mencari kita menerima tapi aku tak akan terhegeh-hegeh. Hak tetap hak tetapi aku bukan gila dunia. Kau kan tahu aku siapa? Memang Mak aku darah istana Negeri Sembilan. Bapak dan nenek aku darah istana Pahang. Tok Noh pula darah istana Ceribon. Datang kita sambut. Yang carit kita cantumkan, rezki jangan ditolak tapi musuh jangan sekali-kali dicari. Menyombong bukan darah arabku. Makan sedekah haram bagi keturunanku.

Melopong saya mendengar seumpama bidalan. Merah padam kulit dia. Bukan marah tetapi amat bersemangat. Saya memang takut pada dia dan Atuk Long. Memang ada daulat kata orang. Seminggu saya duduk dengan Pak Long Yasin. Dia tak benarkan saya suruh kaum kerabat kami di sini pergi mengadap istana Negeri Sembilan. Dia kata cukup dan bersyukurlah apa yang dikurnia Allah. Kalau pihak istana negeri Sembilan berhajat, biarlah mereka yang datang. Lagi pun sejarah keluarga tidak mengatakan Tok Salleh yang bawa lari Nenda Tuanku Tijah. Tetapi nenda Tuanku Tijah yang sukarela dan meminta perlindungan dan minta diperistrikan. Lagi satu, dia rapat dengan kerabat di Pagoh dan kuatir kalau-kalau cerita ini sampai ke istana Pahang. Sejarah permusuhan antara istana Melayu Johor dengan istana Minang atau Siak memang ada. Perang dan salah faham tidak akan terjadi tetapi Pak Long Yasin tidak suka jika dirinya adalah pelakon cerita orang Pahang membenci Negeri Sembilan atau sebaliknya. Jadi seolah-olah dia rela berkorban dengan berdiam saja.

Ok lah..saya rasa sampai sini dulu. Jika ada masa kita boleh bersembang lagi. Sekarang ni semua yang saya alami dan ceritakan tadi hanya jadi kenang-kenangan. Kalau fikir atau renungkan dengan mendalam, rasanya betul falsafah Pak Long Yasin. Pangkat harta dan keturunan adalah hiasan. Jika kita tidak sedar, benda itu akan memesongkan . Bahgia hidup ada pada semua. Dan kesemua itu adalah milik Tuhan. Kebahagiaan hakiki adalah ketenangan. Ketenangan pula datangnya dari Tuhan.

Pak Long Yasin meninggal pada tahun 1979. Saya tidak sempat jumpa. Bila saya sampai, jenazah telah dikebumikan. Masa tu tahun 1979. Saya teringat macam mana susahnya kalau anak-cucu Tuanku Khadijah termasuk Pak Long Yasin kalau hendak datang pada hari pengkebumian baginda pada 1920-an. Pulak tu keadaan perjalanan dari Muar ke Sri Menanti taklah macam masa Pak Long meninggal. Bila saya congak tahun hol 100 tahun, hendak dengar wasiat rahsia itu nanti, terasa pula tidak akan sampai umur saya. Yang tinggal hanya cucu-cicit yang tidak mengerti. Zaman pula telah berubah. Tak dapatlah saya bayangkan. Itulah salah satu sebab saya suka ceritakan ini supaya dapat pengajaran oleh keturunan darah saya dan juga darah Pak Long Yasin.

Saya doakan kepada semua roh datuk-nenek moyang termasuk di sebelah negeri Sembilan mudah-mudahan dicucuri rahmat dan keampunan dari Allah Subhanallahutaala.
Al Fatiha…………






NOTA RINGKASAN

Tokoh/Responden: I) Hj Azan bin Hj Rebut bin Hj Talib Penghulu Temiang Muar.

II) Hj Azan bin Che Juriah bte. Tun Mandak bte. Tun Taib bin Tun Hassan bin Tun Mansor bin Tun Ali (Bendahara Pahang)

III) Hj Azan bin Che Juriah bte Hj Long bin Tun Zainab bte. Tun Mansor bin Tun Ali (Bendahara Pahang).

IV) Hj Azan bin Che Juriah bte. Hj Long bin Hj Md Noh bin Nakhoda Lebai Muhamad bin Tengku Ibrahim bin Tengku Ismail (Kesultanan Ceribon).

V) Mohd Yasin (JMF) bin Che Jamiah/Zamiah bte Tuanku Khadijah bte. Tuanku Muda Chik.

VI) Mohd Yasin (JMF) bin Hj Long bin Tun Zainab bte. Tun Mansor bin Tun Ali (Bendahara Pahang).
VII) Hj Azan dan Hjh Sabariah adalah anak kepada Juriah iaitu adik perempuan kepada Md Yasin (JMF) berlainan ibu.

Catatan susur galur Responden
(Mohd Yasin JMF – Askar Tuanku & Ketua Kumpulan Rimau Muar/Kumpulan Gelap Kerajaan Tak Rasmi. Hj Mohamed Noh – Peneroka Bakri & Sg. Raya Muar, pembekal senjata dan tentera Jawa serta belanja Tun Mansor menentang Sultan Ahmad. Hj Muhamad – Nakhoda, Daei Agama & Saudagar Raja. Tengku Ibrahim – Nakhoda, Pandai Emas dan Saudagar Raja, Tengku Ismail- Nakhoda dan Saudagar Raja keturunan Raja Ceribon jalur Sharif Hidhayatullah).

(Tuanku Khadijah Tuanku Muda Chik–kembali ke Negeri Sembilan menjadi Tuanku Ampuan Besar setelah Negeri Sembilan dicantumkan oleh British).

(Hj Mohd Salleh @ Hj Abdullah Teoku – Bekas Panglima Seri Menanti dan Peneroka Kawasan Jln Hj Abdullah – Sg Abong Muar suami pertama Tuanku Khadijah beranakkan Mian, Che Zamiah dan Yatim).

(Tun Mansor – Kekanda Sultan Ahmad Pahang yang telah mengumpul tentera di Muar dan memberontak menentang Sultan Ahmad setelah baginda mungkir tidak menjadikan kekanda baginda Tun Mansor bakal penganti Sultan Pahang sebagaimana dijanji ketika menang Perang Saudara Pahang dengan Kanda Sulong baginda Bendahara Pahang Tun Mutahir bin Tun Ali).

(Tun Ali – Bendahara Pahang, Bendahara Siwa Raja Kerajaan Johor-Pahang-Riau-Lingga daripada keturunan Bendahara Tun Habab)

(Susur galur Hj Azan, Hjh Sabariah dan Bapa saudaranya, Md Yasin (JMF) ke Pahang dan Ceribon sampai kepada darah Arab al Idrus dari Haderamaut dan sampai ke Saidina Hussein ibnu Saidina Fatimah Muhahamad SAW).




Skop: I) Perihal sejarah rengkas Kampung Jawa atau Kampung Bakri Muar dan keadaannya dari 1868 - 1980-an.

ii) Keadaan Kampung Seliau, Pedas Negeri Sembilan selepas zaman Jepun dan amalan adat pepatih.

iii) Beberapa dasar kebijaksanaan Maharaja/Sultan Johor di Muar dan status masyarakat Jawa di kalangan orang Melayu.

iv) Amalan menjodohkan anak sebelum merdeka

iv) Cerita keluarga unik istana Sri Menanti Neg. Sembilan.

v) Kisah/Pengalaman/Cerita Orang tua-tua (Mohd. Yasin JMF) – JMF 1913-1922, Kumpulan Gelap Muar, Dato’ Onn, Dato’ Wan Idris ketika di Muar 1920-an.




















TRANSKRIP TEMUBUAL

HJ. AZAN BIN HJ REBUT

(Sejarah Kampung Jawa/Bakri Muar 1868-1980)




Oleh




Hj Norashid bin Mohamed Yasin






7 Jun 2001
 
Copyright 2009 Nostalgia
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere