Hargailah Waktu dan
Kenikmatan Sihat Sebelum Sakit
Hari ini 16 September 2012 adalah hari terakhir Hari Raya Aidil Fitri 2012.
Setiap hari minggu, Sabtu, Ahad dan di hari cuti umum seperti
Hari Merdeka, Hari Malaysia dan hari cuti umum negeri, tidak putus-putus ada rumah terbuka. Bukan
sahaja rumah terbuka yang dibuat oleh sahabat handai dan saudara mara, tetapi
juga rumah terbuka yang dibuat oleh
syarikat-syarikat besar. Pejabat, jabatan , kementerian dan agensi kerajaan pula mengadakan hari terbuka pada hari kerja. Di samping hari terbuka menyambut hari raya,
undangan kenduri kahwin juga sangat banyak dan telah menjadi kebiasaan diadakan
pada bulan Syawal.
Pada tahun ini Tun Sheikh menyambut bulan Ramadan dan Syawal
dengan keadaan yang sangat sederhana.
Undangan majlis berbuka puasa dan hari terbuka hari raya banyak tidak
dapat dipenuhi atau dihadiri kerana tahun ini boleh dikatakan Tun Sheikh berpuasa dan beraya dengan pantauan
doktor kerana kesihatan Tun Sheikh agak merosot. Sepanjang Ramadan dan Syawal ,
Tun Sheikh kena merujuk doktor dua kali seminggu. Doktor menasihati Tun Sheikh agar tinggal di hospital tetapi berkeberatan
dan menolaknya kerana Tun Sheikh tidak
selesa di hospital. Rasa terkongkong dikawal dan tidak bebas hendak buat apa
yang disukai. Doktor memberi kelonggaran dengan syarat Tun Sheikh mesti makan
ubat yang dibekalkan mengikut jadual dan
datang mendapatkan rawatan dua kali seminggu.
Penyakit Tun Sheikh
bukanlah serius sangat tetapi doktor sering mengingatkan bahawa darah tinggi,
kencing manis dan kolesterol tinggi yang dihidapi Tun Sheikh adalah penyakit penyebab
kematian tertinggi di negara ini. Kematian mengejut tidak mustahil boleh
berlaku kepada diri Tun Sheikh jika tidak mengawal dan berpantang terhadap
pengambilan makanan yang boleh menyebabkan organ dalaman terganggu dan tidak
berfungsi. Pemeriksaan menyeluruh minggu lepas telah mengkategorikan Tun Sheikh
dalam kumpulan bahaya kerana darah boleh membeku dan saluran darah akan
tersumbat pada bila-bila masa akibat
dari kolesterol yang sangat tinggi. Tun Sheikh dibekalkan ubat atau pil
mencairkan darah dan diarah supaya membawanya ke mana saja. Doktor memberi
amaran agar jangan mengambil makanan berminyak dan berlemak dan makanan yang
beramonia serta makanan berasid urik.
Tun Sheikh berasa seperti
tidak begitu parah dan yakin boleh mengatasi atau mengawal penyakit yang dihidapi. Walau
bagaimana pun, apabila memikirkan
seramai lima sahabat dekat telah meninggal dunia kerana penyakit yang sama ,
terasa gementar juga. Ini adalah kerana ada di antara mereka mengidap penyakit
yang boleh dikatakan lebih ringan dari
Tun Sheikh sendiri. Tun Sheikh pula pernah mengalami pitam beberapa detik
sebanyak lima kali dalam bulan puasa. Hypo atau menggigil dan terasa seram sejuk
tidak bermaya dan pening yang kadang-kadang seperti hayal atau pening kepala
yang sangat sakit sering terjadi jika perut kosong.
Pada bulan puasa lepas, hal ini kerap berlaku tetapi Tun Sheikh terus
berusaha meneruskan puasa kerana sayang dan tidak pernah mengambil ringan
terhadap ibadah itu sejak kecil. Pada tahun ini Tun Sheikh dapat
menyempurnakannya seperti tahun-tahun lepas atau dengan perkataan lain
Alhamdulillah dapat berpuasa penuh sebulan tetapi terpaksa mengambil beberapa
jenis pil yang dibekalkan bagi mengelak hypo dan sakit kepala yang keterlaluan.
Apabila tamat bulan Ramadan, kita menyambut bulan perayaan
dengan gembira dan meriah. Begitu juga kepada Tun Sheikh pada kebiasaannya
tetapi pada tahun ini mungkin akibat dari ubat-ubatan yang diambil pada bulan
puasa telah mengakibatkan perut begitu sensitif. Perut akan sakit dan memulas
seperti orang keracunan makanan dan
sehingga ke hari ini terpaksalah Tun Sheikh berhati-hati ketika mengambil
sebarang makanan. Terasa amat teruja dan kadang-kadang sayu apabila mengenang ketika kita sihat
sebelum ini di mana kita dapat menikmati pelbagai kenikmatan dan keseronokan
atau kesedapan terhadap makanan dan sebagainya .
Dalam keadaan sekarang ini maka terkenanglah sahabat lama
Tun Sheikh ketika sama-sama belajar dahulu. Bidang yang diambilnya pernah juga
diperlekeh kawan-kawan lain kerana berkenaan pemakanan atau nutrasi dan gizi
bahan makanan yang tidak glamor dan tidak mempunyai prospek yang baik. Rupa-rupanya
anggapan itu tidak tepat dan tidak benar kerana ketika ini beliau telah menjadi pakar
rujuk negara dengan gelaran Profesor Dr. Datuk di sebuah universiti swasta tempatan
setelah mencipta nama dan berkhidmat di universiti terkenal awam.
Negara ini juga masih ketinggalan dalam bidang tersebut dan
sehingga ke hari ini budaya pengambilan makanan oleh rakyat
terutamanya orang Melayu masih tidak mengikut aturan atau saranan ilmuan dalam
bidang itu. Akibatnya pelbagai penyakit dihidapi oleh rakyat negara ini dan
seorang daripadanya ialah Tun Sheikh sendiri.
Apabila mengenang dan
membelek-belek saranan agama dalam hal ini maka banyak terdapat tunjuk ajar
bagaimana cara-cara mengambil makanan termasuk jenis, kuantiti dan waktu yang
disarankan oleh Nabi kita SAW. Teruja sungguh Tun Sheikh kerana ketika ini
telah banyak rahsia pengajaran dan hikmah hadis telah dapat dibongkar mengikut
sains. Contohnya pengambilan makanan laut dan darat secara serentak tidak
digalakkan oleh Nabi SAW kerana mengakibatkan penyakit yang akan merosakkan
sistem organ dalaman tubuh kita. Begitu juga terhadap nasihat baginda supaya
umatnya makan hanya ketika telah berasa lapar dan berhenti sebelum berasa
kenyang . Baginda juga memberitahu keadaan dan cara pengambilan makanan terbaik
ialah memastikan hak perut iaitu
sepertiga untuk makanan, sepertiga untuk air dan sepertiga untuk udara. Jika
keadaan perimbangan ini tidak dijaga maka pelbagai penyakit yang berpunca dari
makanan dan bermula dari dalam perut akan memudaratkan anggota tubuh yang lain.
Benar sungguh bahawa Islam itu adalah agama yang sempurna
dan sebagai petunjuk hidup hamba dari Allah SWT tuhan kita dan Tuhan seluruh alam. Amatlah rugi jika
kita leka dan mengabaikan petunjuk dan bimbingan agama dan amatlah rugi jika
kita tidak manfaatkan diri untuk melakukan kebaikan dan kebajikan ketika kita
sihat sebelum sakit mengikut takdir dan
fitrah ketetapan Allah SWT. Subhanallah…………..
Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
Pontian 16.9.2012