NOSTALGIA PADA ZAMAN MAHASISWA, SAHABAT
CEMERLANG & MALAIKAT MAUT
Dari Dulu Hingga Sekarang, Pelajar Sastera
Dianggap Kelas Kedua & Tun Sheikh Diekori Malaikat Maut.
Pada
awal Oktober lepas selama seminggu Tun Sheikh dengan seorang kawan bercuti ke
Jakarta untuk berehat atas nasihat doKtor dan bertemu kawan-kawan lama. Kami
dibawa dari utara, ke selatan dan dari
timur ke barat Jakarta. Pokoknya sebut sahaja ke mana kami mahu pergi,
sahabat-sahabat kami dengan sukarela menghantar secara percuma. Makan dan minum
juga ditraktir (dibelanja). Itulah ertinya persahabatan. Kebanyakan mereka
telah berjaya dan berjawatan tinggi. Mereka berfikiran terbuka kerana semuanya
berpengalaman tinggal di luar negeri khususnya
di Belanda, Perancis dan Amerika Syarikat. Yang menjadi dosen ( pensyarah) semuanya
telah memilik ijazah doktor falsafah
(Phd).
Kami
sangat gembira dapat berjumpa anak perubatan (alumni Universitas Indonesia)
yang sering menginap di asrama kami ketika zaman menjadi mahasiswa dulu. Namanya Dr. Abdul Rahman yang
dengan bangga menceritakan kejayaannya memecahkan rekod memiliki Phd tercepat
di Indonesia. Beliau kini adalah seorang pakar rujuk bagi Indonesia. Beliau
telah memecahkan rekodnya sendiri ketika mengambil Phd ke dua. Beliau siap
dalam masa 22 bulan dalam penyelidikan Phd pertama (satu rekod baru Indonesia) dan
hanya mengambil masa 18 bulan menyiapkan Phd nya yang kedua. Namanya bukan
sahaja tercatat di dalam Buku Rekod
Guiness Indonesia tetapi juga dalam jurnal perubatan antarabangsa yang berpusat
di Amerika Syarikat. Beliau masih ada perhubungan dengan dunia perubatan di
Amerika Syarikat kerana beliau lulusan terbaik ketika membuat sarjana di sana.
Kami
masih rapat dengan beliau dan jika beliau datang ke Malaysia, tidak pernah kami
ketinggalan untuk berjumpa walaupun bidang kami berlainan. Bagi kami beliaulah
yang telah mengangkat maruah kami dalam kumpulan mahasiswa-mahasiswa Malaysia
di Indonesia kerana ketika itu hanya kami yang belajar dan dihantar oleh JPA ke
jurusan sastera. Mahasiswa lain semuanya
sama ada sains, perubatan atau kejuruteraan. Kami sering diperlekeh dan alaun
yang kami terima dari JPA juga tidak sebanyak seperti mereka kerana kami pelajar sastera. Kami mula
dipandang setaraf oleh mereka apabila Tun Sheikh berjaya seri dalam
pertandingan catur dengan Dr Rahman manakala sahabat Tun Sheikh yang bergelar
Din Tidung meskipun kalah berlawan catur dengan Dr. Rahman tetapi memakan masa
yang panjang iaitu selama 4 hari (16 jam).
Dr. Rahman memang seorang yang bijak atau genius
dan ulat buku. Pelajar-pelajar Malaysia lain kalah dalam pertandingan catur
dengan beliau dalam beberapa minit sahaja. Sesiapa yang sering cakap besar dan
cakap banyak biasanya terdiam apabila dicabar oleh Dr. Rahman dalam permainan
catur kerana tidak pernah menang dalam permainan persahabatan mahupun dalam
pertandingan kelab antara mahasiswa. Kami berdua dari jurusan sastera
Universitas Indonesia sering dicabar bertanding permainan catur tetapi kami
sentiasa menolak. Din Tidung cepat naik angin bila diperlekeh dan kerap
bertengkar tetapi cepat berbaik semula kerana kami adalah seperti sebuah
keluarga. Pada hakikatnya memang jarang menang apabila bermain catur dengan budak-budak
sains tetapi ada juga menang sehingga
boleh dikatakan perimbangannya ialah 1:3.
Budaya bermain catur di Indonesia pula bukan sahaja digemari oleh anak muda
tetapi juga orang dewasa malah ada yang telah berumur. Semenjak Tun Sheikh seri
bermain catur dengan Dr. Rahman, kami berdua tidak lagi digiat atau diperlekeh dengan
perkataan ‘beloan’ (bodoh/bangang) oleh
sahabat-sahabat lain. Mereka malu sendiri malah Dr. Rahman juga telah mengambil
keputusan tidak mahu lagi bertanding atau bermain catur dengan Tun Sheikh dan
Din Tidung. Beliau tidak sangka seri dengan Tun Sheikh dan susah menang dengan
Din Tidung. Sehingga sudah berumur ketika berjumpa, beliau sering bertanya
macam mana kami susah dikalahkan seolah-olah beliau tidak dapat menerima
kenyataan. Itulah yang membuatkan dirinya merasa mesra dan hormat kepada kami
sehingga sekarang. Semasa dalam
permainan persahabatan, Tun Sheikh sering seri dengan beliau. Sebenarnya Tun
Sheikh memang berasa yakin tidak dapat mengalahkan beliau dan terpaksa memaksa
permainan berkeputusan seri dengan membunuh diri permaisuri (queen) sendiri bila berpeluang membunuh permaisuri
beliau. Kekuatan dan kebijaksanaan beliau ialah pada permaisuri dan kasel.
Apabila berjaya membunuh salah satu kasel maka Tun Sheikh cepat-cepat
memerangkap permaisuri sendiri dengan permaisuri beliau.
Ketika
di Jakarta tempuh hari, Dr. Rahman berulang kali meminta maaf kerana tidak
dapat melayan kami sehari suntuk kecuali dari magrib sehinggap jam 12.00 malam.
Ini adalah kerana beliau sibuk dari pagi menyiapkan kertas kerjanya yang akan
dibentang dalam symposium perubatan pada keesokannya. Kami cuba-cuba bertanya
bagaimana beliau berasa begitu yakin dan dapat menyediakan kertas kerja dalam
beberapa jam sahaja. Beliau menjelaskan bahawa semua teori dan ujikaji ada
dalam mindanya dan adalah lebih mudah kerana beliau menguasai penuh bidangnya
sendiri yang akan ditanyakan oleh para peserta.
Tun
Sheikh telah mengambil kesempatan menunjukkan rekod makmal perubatan yang baru
Tun Sheikh buat secara terperinci di hospital kerajaan dan juga di poliklinik
swasta kepada Dr. Rahman. Data terperinci daripada ujikaji makmal terhadap
darah dan air kencing serta lain-lain seperti jantung, mata dan anggota dalaman
lain telah mengeluarkan data yang lebih kurang sama. Setelah diteliti, beliau
meminta maaf kerana perlu berterus terang atas dasar persahabatan tetapi beliau
maklumkan secara tidak serius kerana tidak mahu Tun Sheikh bersusah hati,
murung atau menerimanya secara negatif. Bagi beliau yang merupakan seorang
pakar, kesedihan sebenarnya akan menyebabkan penyakit yang boleh sembuh atau
dikawal bertambah parah.
Sehingga
ke hari ini kata-katanya masih tergiur-giur di telinga Tun Sheikh dan menjadi
modal perbualan Din Tidung dengan kawan-kawannya yang mengenali Tun Sheikh.
Setelah meneliti sijil atau rekod data ujian pemeriksaan Tun Sheikh, beliau
berkata: “Kalau ikut kepakaran dan
pengalaman aku, dengan data sebegini…kau bukan diintai-intai oleh malaikat maut
tapi kau sedang diekori terus. Jika kau tersilap maka tidak mustahil kau ke
kubur pada bila-bila masa.” Tun Sheikh berkata; benarkah? Kau biar betul?”
Jawab Dr. Rahman; “ Aku serius dalam canda tapi kau jangan gila pula sebab
masih banyak harapan dengan syarat kau mesti ubah budaya makan dan menjaga
kesihatan mengikut nasihat doktor. Mesti berpeluh setiap hari dan jangan makan
seperti orang kebiasaan. Mesti ikut diet yang doktor beri, insyaallah umur kau
akan panjang”.
Tun
Sheikh nukilkan di sini untuk tuan-tuan sama merenungkannya. Ini adalah khusus kepada yang berpenyakit
serangkai iaitu darah tinggi, kencing manis, sakit jantung, kolesterol tinggi,
gaut. Mereka adalah orang yang sihat tetapi jika terperangkap dengan salah satu
punca kritikal maka mereka akan tenat dan maut pada bila-bila masa. Penyakit
tersebut terkenal sebagai pembunuh senyap sertamerta atau silent and sudden killer.
Bayangkan Tun Sheikh tidak atau belum mengidap sakit jantung manakala gaut
telah mendapat amaran jangan makan makanan laut walau pun belum menjadi ahli
pesakit gaut telah pun diberi amaran diekori malaikat maut jika lalai pantang
larang……….
Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
Sg
Petani Kedah 17.11.2012