Saturday, August 27, 2011

Dulu Beraya Dengan Berita Janda, Tahun Ini Raya Merdeka

Dulu Beraya Dengan Berita Janda, Tahun Ini Raya Merdeka

Barangan Harian terus naik.....BN Restu

Selamat Hari Raya dan Selamat Menyambut Kemerdekaan. Tahun lepas, kerajaan bernasib baik apabila berita pembunuhan kejam Susilawati berjaya dijadikan santapan sepanjang hariraya setelah diuar-uarkan oleh media utama . Rakyat lupa dan hilang sekejap rasa keperitan terhadap kenaikan harga barang dan isu saman ekor. Setelah ramai yang bayar, kerajaan menangguhkan pembayaran saman ekor yang dipaksakan. Bonus Rm500 gagal menyejukkan hati rakyat tetapi cerita kematian Susilawati diperbualkan di mana-mana kerana simpati rakyat berbilang kaum kepada nasib beliau, seorang janda yang menjadi jutawan hasil jualan bahan kosmetik. Keperitan rakyat pada awalnya terhadap kenaikan harga barang kelihatan tengelam begitu sahaja tetapi pada hakikatnya hal itu sudah dikaji dan diteliti oleh kerajaan dan meluluskannya di musim perayaan agar kenaikannya tidak menjadi kemaharan rakyat.

Pengalaman beraya dengan pelbagai perayaan bangsa dan agama lain pada hari dan tarikh yang sama pernah dilalui oleh rakyat negara ini. Ia juga telah dieksploit sehingga menjadi penyejuk hati rakyat terhadap kenaikan harga barangan harian. Nama hari raya dikongsi dan memang unik sekali. Rakyat keseluruhannya gembira tapi sayang, harga barang tetap terus naik. Kegembiraan ketika menyambut kongsi raya dengan India, Cina atau Deepavali, Tahun Baru Cina, Krismas dan lain-lain telah diperbesar-besar bagi mengelakkan rakyat terasa tekanan kenaikan harga barang.

Ketika ini kerajaan sudah mula berani memaklumkan kenaikan harga barang pada musim perayaan. Pengguna atau rakyat seolah-olah dipertanggunjawakan menjadi penyebab harga barang naik kerana berbelanja sakan menjelang raya. Teori berkaitan kenaikan harga barang iaitu penawaran dan permintaan juga menguatkan hujah sehingga rakyat yang berpengetahuan seolah-olah menerima alasan yang diberikan oleh kerajaan. Manakala pemberian bonus pula mengangkat kerajaan seolah-olah perihatin dan menjadi wira membantu meringankan beban kesempitan rakyat akibat kenaikan harga barang.

Pada tahun ini berita utama dan isu yang dipebesarkan ialah mengenai kes liwat dan agama yang memburukan imej pembangkang. Sehubungan itu kelihatan seperti tiada usaha melalui kempen mahupun propaganda dan iklan yang membangkitkan semangat hari merdeka. Rakyat masih dalam keadaan samar-samar terhadap kegembiraan menyambut kemerdekaan. Walaupun ada sedikit iklan tetapi tidak melebihi berita kes liwat dan kes murtad atau kesensitifan agama yang membawa kesan negatif kepada kerajaan negeri pemerintah pembangkang.

Jika kita memandu dari utara ke selatan atau ke seluruh negara pada tahun ini, kita akan melihat rakyat tidak banyak menaikkan bendera di rumah. Kekurangan gairah adalah kerana persediaan hari raya dan belanja untuknya adalah lebih besar dan penting untuk mencipta kegembiraan dan keceriaan berbanding hari kemerdekaan yang dianggap tanggungjawap kerajaan disamping terasa kerajaan telah mengeluarkan belanja yang sia-sia kerana menguar-uarkan kes atau pelbagai isu mahupun aktiviti yang tidak telus. Rakyat tidak sanggup berbelanja untuk kemerdekaan berbanding hari raya dan rakyat tidak senang dengan wang rakyat yang digunakan untuk faedah sekelompok kroni atau penyokong sahaja.

Bonus setahun gaji pada tahun ini dianggap berjaya meredakan rungutan rakyat terhadap kenaikan barang keperluan. Kerajaan memperkecilkan pembangkang yang dianggap tidak mengikuti berita dan perkembangan ekonomi di luar negara malah serata dunia. Kelembabkan ekonomi yang dikatakan berlaku di seluruh dunia dan mengakibatkan kenaikan harga barang berikutan pelbagai punca seperti ketidaktentuan cuaca dan kurang produktiviti pertanian dan barangan berasaskan tani telah mempengaruhi perdagangan terhadap barangan industri. Anihnya harga barang terus naik dan harga produk pertanian negara pengeluar menurun.

Jika dicongak apa yang menyebabkan kenaikan harga barang sebenarnya bukanlah disebabkan harga pergeluar tetapi dikawal atau peranan yang dimainkan oleh saudagar-saudagar atau ahli perniagaan yang menjadi orang tengah memasarkan dan menetapkan harga barangan berkaitan. Merekalah yang bertanggungjawab dan berkuasa atau mempunyai pengaruh yang besar menentukan harga mengikut kehendak dan perancangan mereka. Inilah yang dikatakan keburukan dan kelemahan sistem ekonomi kapitalis yang sedang diamalkan oleh seluruh negara di dunia ketika ini. Keadaan bertambah buruk jika kawalan sesuatu barangan diurus mengikut sistem monopoli.

Perayaan tersebut telah menjadi nostalgia. Jika kita tidak menjadikannya sebagai pengajaran maka hal ini akan terus berlaku. Dalam suasa gembira kita disuap kepahitan kenaikan harga barang keperluan yang terpaksa ditelan. Kewajarannya seperti dapat diterima tetapi jika dikaji secara mendalam pada waktu yang sama harga di tapak pengeluaran begitu murah sehingga kadang-kadang berlaku perlambakan. Di waktu yang sama yang dibatasi oleh sempadan negara harga barangan berkenaan di pasaran adalah tinggi dan dipaksa pengguna yang menggung semua harganya. Perbandingan harga kosnya bolehlah digambarkan terpaksa ditanggong oleh pengguna dengan nisbah 1/5 dinikamati pengeluar dan 4/5 dikaut oleh para peniaga iaitu orang tengah. Keuntungan atau profit margin yang begitu besar ini adakah wajar?

Inilah ragam-ragam di hari raya yang telah Tun Sheikh lalui dan menjadi nostalgia tetapi nostalgia yang amat terkesan ialah ketika ramai orang-orang masjid kita beraya dengan kebimbangan ketika kongsi raya kerana takut malapetaka diturunkan Allah di hari raya apabila ia disambut dengan pelbagai kepasikan. Peristiwa Tsunami Aceh 2004 dan gempa dan ledakan gunung berapi di Pulau Jawa 2008 adalah suatu contoh yang mengerikan. Kini sudah kedengaran bahawa trend atau isu kenaikan harga barangan di musim raya juga adalah malapetaka.

Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Fitri Dan Hari Kemerdekaan 2011. Maaf Zahir Batin.

Oleh Tun Sheikh

Monday, March 21, 2011

Nostalgia Asal-Usul Melayu

Nostalgia Asal-Usul Melayu

Menemubual Tok Andong dan Isteri Bekas Tok Batin Suku Temuan Bukit Beruntong dikediamannya di perkampungan Orang asli Temuan Bukit Beruntong 15.3.1998 Jam 8.00 – 10.30 malam


Ketika PM Dato' Seri Najib menekankan bahawa Melayu akan lenyap jika tidak menyokong UMNO, tiba-tiba Tun Sheikh teringat tentang temubual dengan Tok Batin Suku Temuan pada suatu ketika dahulu sebelum berlaku reformasi. Kumpulan dakwah Tun Sheikh pernah bercadang untuk menikahi orang asli yang belum Islam dan mengajak mereka menganut Islam. Niat ini terpaksa dibatal kerana berlaku reformasi 1998. Cuti sekolah minggu lepas, Tun Sheikh telah bergegas balik kampong mencari catatan lama yang disimpan. Kemudian Tun Sheikh menziarahi beberapa orang tua di Jementah dan Kluang bergelar pawang untuk mengetahui hubungan mereka dengan orang-orang lama dan sejarah sesuatu kampung. Sungguh menarik apabila mereka juga ada hubungan rapat dengan para Tok Batin Orang Asli. Tun Sheikh juga bercadang menukilkan mengenai pengalaman menarik mereka di blog ini nanti.

Berikut ialah sinopsis perbualan antara Tun Sheikh dengan Tok Batin Tok Andong. Saripati dan kemasan yang sesuai akan Tun Sheikh tulis semula bila berkesempatan.

Beliau kesal anaknya Mat Solo tidak dapat mewarisinya menjadi Tok Batin kerana Jabatan Hal Ehwal Orang Asli memberi alasan, anak lelaki sulongnya yang berusia 32 tahun itu belum berkahwin dan pengetahuan Islamnya cetek. Tok Andong mengadu jawatannya hilang kerana campur tangan kerajaan melalui Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA). Beliau dianggap sudah tua dan buta huruf. Beliau bercerita sebenarnya keturunan Orang Asli Temuan bukanlah berasal dari hutan seperti orang hutan atau beruk (sindiran beliau terhadap JHEOA). Beliau mengaku berasal dari istana Melayu Lama. Beliau sendiri kerap ke Istana Sultan Selangor jika ada apa-apa masalah ketika beliau menjadi Tok Batin. Tetapi hal itu tidak dibenarkan lagi sekarang. Semua Tok Batin yang dilantik kena melaporkan kepada Pengarah Jabatan Hal Ehwal Orang Asli.

Orang Melayu sekarang sebenarnya sama dengan asal-usul orang Temuan. Beliau masih mewarisi gong dan lembing diraja lambang pembesar istana raja Melayu pada zaman dahulu. Datuk nenek moyangnya dititah membawa seberapa ramai orang Melayu yang ingin melarikan diri ke hutan ketika diserang oleh orang asing dari laut dan darat. Datuk nenek moyangnya berasal dari kerajaan Melayu Kuala (Muar). Lembing dan gongnya sudah beberapa kali diganti apabila sudah dimakan usia dengan mengadap raja/sultan Melayu. Gong dan lembing yang diwarisi beliau, terakhir diganti dengan baru ialah ketika sultan Selangor pada zaman awal orang putih (1870-an) daripada sultan Abd Samad. Sebelum itu pernah diganti oleh sultan Perak dan ada cerita dari sejak zaman sultan Melaka dan Srivijaya.

Keturunan beliau pada asalnya ialah pembesar di laut atau pelaut. Beliau mencabar semua Tok Batin, adakah mereka mempunyai regalia/alat kebesaran seperti beliau. Beliau mengaku datuk nenek moyangnya dulu memerintah orang asli suku Temuan seluruh semenanjung. Kuasa terakhir ketika beliau menjadi Tok Batin, beliau berkuasa di Semenyih, Hulu Yam, Legong, Bukit Beruntung dan Bukit Cerakah. Beliau hilang jawatan apabila Bukit Cerakah dibangun oleh kerajaan atas desakan orang Cina. Pengganti beliau kini hanya berkuasa di Bukit Beruntung, Bukit Cerakah, Legong, Hulu Yam, Semenyih. Sekarang semuanya sudah Tok Batin berlainan yang dilantik oleh kerajaan. Mereka bukan terdiri daripada anak-anaknya atau darah dagingnya. Mereka dilantik kerana pernah bersekolah dan tahu menulis dan membaca. Ada yang masih muda dan pernah sekolah sampai tingkatan 5. Sudah berpecah-pecah sekarang. Kawasan bertambah kecik dan terhempit. Sudah susah cari rezeki dalam hutan. Semua sudah kena ceroboh.

Di zaman datuk nenek moyangnya, mereka berkuasa atau memerintah menjadi Tok Batin dari hutan Temenggor Perak, Pergunungan Cameron, Genting, Anjung Batu Caves, Hulu Yam ke Semenyih sampai ke pedalaman Hulu Muar Negeri Sembilan, Gunung Ledang dan Gunung Sri Medan Batu Pahat di selatan. Bahasa Melayu kami memang telah banyak berubah kerana pengaruh hutan hingga hampir tidak difahami, tapi kami masih mewarisi pantun dan adat budaya Melayu berpantun. Ini bukan milik Melayu moden tetapi adalah milik datuk nenek moyang kami. Kita serupa. Awak kahwin campur dengan macam-macam orang bandar, kami pula selalu kahwin campur dengan suku asli lain dalam hutan. Tetapi kamilah lebih maju dan moden.

Pada zaman dahulu, kami dititah sultan atau raja kami supaya masuk dan berkampung hidup dalam hutan. Inilah tanda kerabat kami, gong dan lembing ini diturunkan pada waris yang mengganti kami. Jika sudah rosak, pecah atau karat, kami pergi ke istana, ambil yang baru. Semua suku asli yang ada gong dan lembing berasal usul dari raja kami yang sama pada zaman dahulu . Cuma kadang kala raja baru yang tidak tahu dan tak faham tentang wasiat dan pusaka serta asal usul kami tidak berkenan menukar gong dan lembing. Bila tak mahu kami cari raja lain dan kami anggap mereka raja tidak tahu adat dan berbudaya.

Saya sendiri sangat sayang dan kasih kepada sultan Selangor yang dulu. Saya bawa gong dan lembing datang mengadap tanda mengganti orang tua jadi Tok Batin. Baginda fikir saya mahu tukar gong dan lembing itu tapi pembesar istana kata masih elok. Bila saya jelaskan saya bukan mahu minta gong dan lembing baru, sultan terus hadiahkan saya senapang patah dan beberapa kotak peluru. Sekarang (1998) saya sudah berusia 89 tahun tapi senapang yang saya terima ketika berusia 23 tahun masih baik dan boleh digunakan lagi. Cuma pelurunya susah nak dapat mahupun jika nak beli. Saya dapat peluru hanya dari teman-teman renjer dan kawan-kawan Cina atau Melayu yang datang berburu di tempat saya.

Kami kenal Islam baru aje. Kalau saya ialah masa hendak kena pecat dulu. Sampai sekarang, saya agama Islam tapi memang saya tak tahu macam mana. Mengucap saja itu pun entah betul entah tidak. Lain, macam sembahyang saya tak buat lagi. Tak tahu dan tak ada orang datang ajar. Masa mereka datang selalunya kami sedang berhuma atau berburu di hutan. Tapi memang pernah dengar orang-orang dan anak buah kami di zaman datuk nenek moyang dulu ada yang masuk Melayu. Masuk Islam dan kemudian jadi macam kami semula sebab hidup dalam hutan. Kita hidup cara dalam hutanlah. Tapi kalau kata kami ini macam kera atau beruk, itu memang melampau.

Isteri Tok Andong pula berpantun. Antara pantunnya yang sempat Tun Sheikh tulis ada beberapa rangkap. Ada sesetengah Tun Sheikh menulis isinya saja dan sesetengahnya yang biasa didengar seperti rangkap pantun pisang emas dibawa belayar, gunung daik bercabang tiga dan lain-lain, Tun Sheikh tidak mencatatnya. Antara isi yang menarik di sini ialah mengenai Kerajaan Melayu Purba bernama Kole atau Kuala dan cerita pemuda orang asli yang derhaka disumpah menjadi batu atau cerita si Tenggang dan cerita orang asli pergi sembahyang memuja batu tereh di Bukit Tereh Muar dan cerita sami Hindu bersembahyang di kuil emas yang besar di Bukit Tereh sebelum pergi ke Gunung Ledang yang dianggap suci. Kuil emas ini telah tengelam dalam tanah dan dipercayai masih ada. Cerita rakyat dan pantun ini dipaksa hafal oleh orang tua-tua mereka. Tetapi jika orang biasa mereka tidak paksa.

Isteri Tok Batin Andong juga mengaku berasal dari keluarga Tok Batin di Negeri Sembilan atau Hulu Muar. Tok Batin Andong juga bercerita tentang Hikayat Malim Deman dan Malim Dewa secara ringkas dan tidak tersusun. Dia kata cerita ini walaupun seperti cerita kayangan atau dewa-dewa yang sering dianggap hayalan, sebenarnya memang berlaku dalam kerajaan Melayu di Muar zaman dahulu. Lepas kerajaan Kole, kerajaan Muar jadi Teluk Dalam. Tapi cerita ini semua dari mulut ke mulut datuk nenek moyang mereka ketika bersembang-sembang sebagai hiburan. Yang pelik katanya apabila sampai kepada sesuatu penceritaan atau bab tertentu nenek atau datuk mereka tiba-tiba serius dan bengkeng. Orang sekarang kata macam mereka telah dimasuki roh nenek moyang.

Intipati tulisan serba ringkas ini menonjolkan asal-usul orang Asli suku Temuan, keadaan agama Islam di kalangan mereka, cerita rakyat, keserakahan orang Cina dan pemimpin Melayu , peranan JHEOA dan mengenai perasaannya seperti didiskriminasi. Bahasa dan perkataan telah banyak Tun Sheikh olah mengikut gaya yang mudah dan boleh difahami. Perkara yang dinukilkan ini adalah menarik untuk difikir dan direnungkan kerana mereka juga telah memainkan peranan dalam persekitaran kebudayaan kita. Mungkin tidak akan hilang Melayu di dunia selagi ada mereka. Dan kehebatan Melayu ketika ini adalah daulah dari mereka jua.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

Monday, March 7, 2011

BN Macam Jin, Tak Dapat...... Telinga Dipulas

BN Macam Jin, Tak Dapat....Telinga Dipulas

Nostalgia Bersama Keluarga Tan Sri Diserang Saka


Tahniah kepada BN yang telah menang berturut-turut dalam pilihanraya kecil di Tenang Segamat Johor, Merlimau Melaka dan Kerdau Pahang sekalipun padang permainannya dimaklumi tidak sama rata. Tiada keadilan dan tidak sama rata padang tempat bertanding itu memang tidak menjadi hal kepada yang ada kuasa penindas. Apa yang penting ialah kemenangan kerana ia adalah realiti. Ia dijadikan dan dicatat sebagai rekod dan kenyataan yang berupaya membawa ke halatuju matlamat dan objektif parti seterusnya.

Setiap kali pilihanraya, pihak lawan tidak berpuashati dengan amalan pelbagai rasuah oleh BN yang telah menggunakan segala kesempatan bagi memastikan calonnya menang. Orang Melayu dan India pula sudah terkenal dengan budaya pakturutnya lebih-lebih lagi darah dan daging telah biasa hidup menerima rasuah.Ada benda, hadiah, sumbangan dan sebagainya maka nilai memangkah memilih dan menyokong calun yang disuap tidak jadi masalah kerana tidak ada harganya lagi berbanding habuan rasuah yang diterima walau hanya dengan sehelai kain batik atau kain pelekat.

Tindak tanduk kempen pilihanraya BN menjelang penamaan calun dan di hari mengundi tidak ubah seperti perangai jin yang pernah Tun Sheikh hadapi ketika mengikut kumpulan seperti gost buster melawan kumpulan jin saka yang menyerang seorang Tan Sri ternama di Damansara pada tahun 1990an. Ketika memerhati perlakuan dan tindakan suku sakat BN berkempen, maka ternostalgia di sudut hati ini terlihat persamaannya.

Kita tinggalkan dulu bagaimana BN berkempen untuk menang samada menggunakan cara penipuan atau ugutan. Dengan melihat bagaimana Jin jahat dari saka Tan Sri ini, maka akan tergambar perilaku mereka. Pengajarannya adalah tarikan kepada kesesatan secara halus dan tidak kelihatan oleh mereka yang lalai dan mereka yang tidak sabar dari musibah serta kepada mereka yang telah menjadikan dunia dan harta benda sebagai surga kepada nafsunya.

Pada suatu malam selepas isya, kumpulan Tun Sheikh telah dijemput dengan sebuah kereta mewah. Dari taman Maluri Gombak ke rumah Tan Sri di Damansara terasa begitu sekejap dan dekat kepada kami kecuali Tokku Raja selaku ketua.Ketika itu Tun Sheikh termuda dan yang lainnya berusia sekitar 40an. Tokku saja sudah 60 tahun. Dia tidak banyak bercakap kecuali berzikir dalam hati dan berkumatkamit lidah dan bibirnya bergerak tanpa kami dengar suaranya.

Kami yang masih muda di belakang sibuk menggayakan tubuh mencuba mencari keselesaan dalam kereta mewah yang menjalar itu dan sempat pula bercanda tidak akan merasa lagi selepas itu dalam seumur hidup kami kerana ia hanya sebuah di Malaysia. Pemandu Tan Sri hanya senyum dan sekali sekala berkata dia benar-benar teruja menjadi pemandunya. Bukan apa katanya, cuma tenaganya terasa sangat terikat dan terkonkong sampai seperti hamba kepada kereta mewah itu. Apa nak buat,beliau tidak berpelajaran tinggi, jadi itu sahaja pekerjaan yang mampu dibuatnya dan mendapat gaji RM1300 sebulan yang pada ketika itu agak lumayan juga.

Kami difahamkan bahwa Tan Sri ialah pengerusi syarikat judi dan tahulah kami segala kemewahannya bersumber dari situ. Hanya baru-baru ini ketika sudah berusia persaraan, Tan Sri mula berjinak dengan surau berdekatan rumahnya. Beliau sering menderma dan bersedekah dengan makluman wang sumbangan beliau itu adalah wang pencen ketika menjadi pegawai kerajaan dahulu. Beliau berulang-alik ke surau untuk mencari ketenangan jiwa kerana terasa diri bersalah mendidik anak-anak hidup secara barat.

Tanpa diduga oleh keluarganya, hanya baru kira-kira 6 bulan beliau berjinak-jinak di masjid dan surau, beliau diserang penyakit misteri. Apabila sampai di rumah dan beliau cuba mentarbiah anak isteri apa yang didapati dan dipelajarinya di masjid, belum sempat berbicara angin sejuk menyerang dan beliau jatuh pengsan. Keluarganya sungguh berasa bingung kerana doktor pakarnya tidak dapat mengesan apakah penyakitnya itu.

Setelah beberapa kumpulan bomoh dan pawang dijemput maka kami pula diundang seperti mengikut giliran pula. Semasa kedatangan kami, masih terdapat pula pawang jemputan sedang merawatnya. Kami hanya manunggu dan ketika pawang berkenaan telah selesai dan meminta izin pulang, kami dijeling dengan lirikan mata yang begitu mencurigakan. Ada juga perasaan takut tapi cepat-cepat ditegur Tokku Raja dan mengarahkan kami memagar diri sendiri dengan kalimah-kalimah dan ayat-ayat suci serta zikirullah.

Kami amat teruja apabila kami duduk dengan Tan Sri yang sedang pengsan diperbaringan tiba-tiba beliau terangkat bangun berdiri seperti kayu berdiri dari perbaringan. Matanya masih terpejam. Beliau mencabar kumpulan kami. Beliau memperkenalkan diri dengan begitu angkuh sebagai jin saka keluarga Tan Sri berasal-usul dari kampung datuk nenek moyangnya dan menggempak kami jangan tunjuk hebat. Kami hanya terus berzikir dan Tokku Raja sorang memainkan peranannya. Tun Sheikh sempat melihat bagaimana Tan Sri disembelih Tokku Raja dan memancung kakinya sehingga Tan Sri tersungkur dan pulih seperti sedia kala.

Setelah pulih dan meninggalkan sedikit pesanan kepada keluarganya supaya beramal dan sering membaca Yasiin, kami pun meminta dihantar pulang. Isteri Tan Sri mengupah RM500 untuk kami berlima tetapi kami menolaknya kerana pertolongan atau bantuan kami adalah ikhlas. Apa yang berlaku bukanlah atas kehebatan kami kecuali Allah jua. Kami didesak oleh keluarga untuk menerimanya dan dipersetujui oleh Tokku Raja dengan meminta mereka menghulurkannya ke surau tempat Tan Sri beramal. Kami sampai di masjid Gombak tempat kami berkumpul jam 3.00 pagi dan keesokkannya kami ke pejabat bekerja seperti biasa. Peliknya, memang jarang berasa letih dan mengantuk walaupun semalaman tidak tidur malah tidak dapat tidur atau secara otomatis mata terjaga tidak boleh tidur.

Minggu hadapannya sehingga kesemua sebanyak 3 kali berturut-turut kami telah dijemput pada waktu dan hari yang sama kerana penyakitnya berulang. Lebih teruk lagi penyakit ini bernyangkit kepada anak lelaki dan kakak Tan Sri. Setiap kali pertemuan, jin saka itu cabar mencabar kami dan bersumpah tidak akan meninggalkan Tan Sri kerana ada perjanjian datuk nenek moyang dan dia tidak suka Tan Sri ke surau atau ke masjid beramal. Kami hanya menjelaskan bahawa jin saka itu sebenarnya dari kaum kerabat jin itu yang lainnya setelah yang pertama dan seterus mati dipancung Tokku Raja. Keluarga sekaliannya perlulah berubah dan membersihkan seisi rumah dari gambar-gambar dan patung hiasan serta minuman keras mahupun melakukan kefasikan.Kami memesan supaya berbanyak berzikir dan memohon perlindungan serta berserah diri kepada Allah.

Akhirnya kami hanya dapat membuat kesimpulan bahawa kami tidak diyakini lagi kerana keluarga Tan Sri telah berjaya memulihkan Tan Sri dengan bantuan seorang bomoh Siam yang dibawa khas dari Thailand dengan upah RM10 ribu. Beliau hanya datang sekali dan telah mengubati Tan Sri secara Siam-Bhudha. Jin saka tidak mengganggu lagi asalkan Tan Sri terus memakai azimat patung Budha berbentuk syiling tembaga dan seluruh keluarga memakai gelang benang hitam juga dengan lambang tembaga bunga teratai. Dan ini dipatuhi oleh keluarga Tan Sri kerana tidak tahan menanggung aib berikutan penyakit misteri Tan Sri yang dihormati itu. Maka berjayalah syaitan dengan usahanya yang halus menyesatkan keluarga itu dengan keyakinan yang begitu mantap kerana dengan sekali rawat, Tan Sri dianggap pulih.Dan yang lebih pilu tentunya mereka tidak merasa bahawa musibah itu adalah dugaan dari Allah dan ada kemungkinan akan terus memperlekeh orang-orang seperti kami yang beriktikad kepada Quran dan Hadis kerana mereka terpedaya dengan keduniaan.

Subhanallah.....astagfirullahal azim.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

Monday, December 6, 2010

Buah Busuk Reformasi

Samseng Kampung Buah Busuk Reformasi
Nafsu Dicipta Cenderung Kepada Kemungkaran


Pada 21 November 2010 ketika bercuti Hari Raya Haji, Tun Sheikh telah membawa keluarga bersantai ke Pantai Batu Layar Pengerang Johor, melepaskan nostalgia di Shely Kampung yang pernah Tun Sheikh tulis dahulu. Tun Sheikh membuat rancangan ke situ setelah membatalkan untuk ke Air Papan Mersing kerana khuatir ombak besar di musim tengkujuh yang sedang melanda ketika ini. Dua buah keluarga dengan dua buah kereta, sahabat isteri Tun Sheikh telah meneruskan rancangan mereka untuk ke Pantai Air Papan Mersing kerana mereka ingin melihat kampung halaman YB Sallehudin Ayub, kepimpinan muda PAS yang terkenal itu.

Sahabat isteri Tun Sheikh ini tinggal berjiran di Kuala Lumpur. Seorang berasal dari Pulau Pinang dan seorang lagi berasal dari Kedah.Mereka amat gembira dapat sampai ke Bandar Mersing walaupun tanpa bantuan Tun Sheikh sekeluarga. Ketika berada di Mersing mereka tidak putus-putus menghantar sms kepada Tun Sheikh yang sedang berkelah di Pantai Batu Layar. Ombak memang besar dan angin sentiasa kuat di Mersing tetapi masih selamat dan perlu berhati-hati.

Apa yang sangat mengecewakan Tun Sheikh ialah panggilan telefon dari mereka ketika mereka dalam perjalanan pulang dari Pantai Air Papan. Mereka mengatakan telah terlibat dalam kemalangan jalan raya yang boleh dikata bukan sebagai kemalangan tetapi sangat tidak menyenangkan mereka malah tidak dapat menerima peristiwa itu pada hakikatnya.

Mereka menceritakan kepada Tun Sheikh ketika mereka menggunakan jalan kampung yang kecil ukur-ukur untuk sebuah kenderaan, mereka telah dihadang oleh sebuah kereta proton wira. Setelah mereka ketepi untuk memberi laluan, kereta proton wira yang kelihatan angkuh kerana sebelum itu telah membunyikan hon dan menyalakan lampu, kelihatan juga menunggu. Mereka pun meneruskan perjalanan dengan sangat perlahan tetapi apabila mereka berselisih, kereta wira juga bergerak mengakibatkan kereta mereka bergesel dan sama-sama tercalar.

Pemandu dan isteri dari kereta wira itu terus keluar dan membuat kecuh sambil isterinya terus menelefon abang long dan abang ngah. Dalam beberapa minit sahaja dua buah van dan sebuah lori kecil sarat dengan pemuda kampung telah datang dan menghalang laluan dari arah belakang dan arah hadapan.

Dalam pertengkaran itu mereka dipaksa membayar RM300.00 kepada pemilik kereta proton wira. Pada awalnya mereka menuntut RM500.00. Hal ini sangat tidak memuaskan hati sahabat Tun Sheikh kerana calar itu sangat sedikit dan tidak senilai dengan bayaran yang dipaksakan. Keadaan kereta wira pula buruk seperti tidak terurus.

Apabila Tun Sheikh meminta maklumat lanjut, sahabat Tun Sheikh memberi tahu mereka diperli kerana plat kereta mereka berdaftar di Pulau Pinang dan Kedah.Orang kampung yang datang itu menyebut-nyebut kawasan itu adalah kawasan UMNO dan bukan PKR. Tetapi apa yang sangat menyakitkan hati ialah kebanggaan mereka terhadap Abang Long dan Abang Ngah. Ini mengingatkan Tun Sheikh terhadap penglibatan dan aktiviti Pekida. Dan kemalangan ini seolah-olah memang telah dirancang mereka. Sehingga ke hari ini telah beberapa kali terdengar orang luar atau pelancong dipaksa membayar ganti rugi kepada orang kampung kerana terlanggar ayam atau bergesel dengan kenderaan orang kampung. Bayaran ganti rugi yang dituntut pula tidak masuk akal tetapi mereka terpaksa membayarnya kerana takut gelagat samseng kampung .

Hal seperti ini jarang atau boleh dikatakan tidak pernah berlaku di Johor kerana Tun Sheikh adalah anak jati Johor. Penduduk Johor dianggap banyak yang berpelajaran dan maju. Ini sangat mengecewakan Tun Sheikh lebih-lebih lagi dilakukan oleh penduduk yang pro UMNO dan UMNO memang telah sebati dengan fahaman rakyat negeri Johor.

Hal ini juga mengingatkan satu peristiwa ketika teksi Tun Sheikh yang sedang menghala ke lapangan terbang di Jakarta telah dihadang oleh orang kampung pada tahun 1998. Ketika itu pergerakan reformasi Indonesia oleh golongan pelajar sedang memuncak. Setelah membayar RM500.00 barulah teksi Tun Sheikh dibenarkan pergi. Jika tidak mahu membayar, mereka mengancam akan merosakkan teksi itu. Mereka dipengaruhi dengan fahaman bahawa lapangan terbang itu hanya digunakan oleh orang kaya sahaja dan orang kaya adalah ciptaan kerajaan yang telah mengenepikan nasib rakyat marhein.

Kecut juga perut Tun Sheikh dan tidak memikirkan kerugian wang lagi berbanding keselamatan diri dan nyawa. Mereka sungguh aggeresif seperti hampir hilang ingatan kecuali ketua mereka. Senjata mereka yang mengepung teksi Tun Sheikh ialah bambu runcing dan kelihatan juga terselit parang dan pisau di pinggang mereka. Teksi Tun Sheikh dihentak dan dipukul-pukul dengan galah buluh yang tanjam terkenal sebagai bambu runcing.Pegawai perempuan warga Indonesia yang ditugaskan menghantar rombongan Tun Sheikh, menangis teresak-esak ketakutan sambil memeluk Tun Sheikh. Hampir panik juga dibuatnya. Kami dianggap bernasib baik oleh pemandu teksi kerana kami adalah bekas mahasiswa Universiti Indonesia ketika kami menjawab pertanyaan ketua orang yang mengepung teksi kami itu.

Itulah buah reformasi. Buah yang busuk. Peristiwa yang dialami oleh sahabat isteri Tun Sheikh tadi hampir serupa. Buah reformasi yang busuk kerana Pekida lahir setelah reformasi di Malaysia. Objektif penubuhannya sangat baik tetapi telah salah digunakan. Apabila Tun Sheikh bergegas hendak ke Mersing membantu sahabat tadi, beliau memaklumkan bahawa beliau telah berkongsi membayar tuntutan samseng kampung itu dan terus pulang ke Kuala Lumpur.

Mereka sempat mencatat dan mengambil gambar samseng kampung yang terlibat tetapi tidak bercadang untuk melaporkan kepada polis. Mereka yakin kelakuan samseng kampung atau Pekida salah laku itu, akan memakan diri nasib orang kampung itu sendiri.Paling tidak, pelancung atau pelawat tidak akan tertarik untuk datang ke Mersing kerana kebiadapan orang kampung dan mereka akan terkeluar dari arus kemajuan yang UMNO bangga-banggakan.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

Tuesday, October 5, 2010

NOSTALGIA MELAYU

FATAMORGANA REALITI DAN HARAPAN

UMNO, PAS, ABIM, KEADILAN BUKAN MELAYU


Ibu bapa Tun Sheikh tidak banyak adik-beradik tetapi sangat banyak saudara-mara. Dalam diri Tun Sheikh semacam ada sumpah sesumpah. Ini adalah kerana jika dianalisis DNA atau genetik maka akan kedapatan domain genetik bangsa yang pelbagai. Pada zahir memang tidak kelihatan kecuali Melayu.Hakikatnya ada genetik atau darah Arab,Jawa, Cina, Melayu, Bugis, India dan sakai sama ada seletar atau sakai darat. Yang pasti tidak ada ialah darah orang putih, Jepun atau Negero kerana tidak pernah mendengarnya dari orang tua atau saudara mara.

Seingatan Tun Sheikh, masa kanak-kanak sebelum sekolah sehingga darjah 2 atau berumur 8 tahun, sering ikut bapa membonceng basikalnya menziarah saudara-mara. Selepas itu hingga berusia 12 tahun menaiki beca. Menjelang remaja, dengan kereta dan setelah Tun Sheikh berusia 15 tahun, bapa Tun Sheikh di rumah diziarahi sanak saudara, murid-muridnya dan sahabat handai serta keluarga mereka sehinggalah bapa Tun Sheikh meninggal dunia ketika Tun Sheikh berusia 18 tahun.

Apa yang Tun Sheikh ingin nukilkan di sini ialah nostalgia pengalaman Tun Sheikh ketika mengikut bapa sejak kecil itu. Dan saudara-mara bapa memang agak pelik pada perasaan Tun Sheikh ketika kecil dulu tetapi apabila menjelang dewasa, Tun Sheikh mengerti dan faham asal punca dan asal usul mahupun susur galurnya. Domain pemikiran kami adalah Melayu tetapi ciri-ciri dan sifat kesempurnaan Melayu masih fleksibal dan subjektif.

Ketika mengikuti bapa mengunjungi saudara Arabnya maka jadilah bapa Arab celup Melayu. Tun Sheikh masih jelas mengingati ketika menjadi penunggu setia ketika bapa mengunjungi saudara Jawanya atau ketika bertandang ke rumah Tun Sheikh. Mereka bertutur Jawa dan bapa Tun Sheikh bertutur Melayu. Begitu juga dengan saudara-mara Tun Sheikh dari bangsa Cina Melaka, mereka bertutur baba dan banyak Melayu pelatnya manakala bapa Tun Sheikh juga sedikit-sedikit bercakap Cina yang Tun Sheikh tidak faham dan bercampur pelat Cina Melayunya.

Kalau bertandang ke rumah saudara-mara bapa yang berabuk cakap Inggerisnya, bapa Tun Sheikh macam ayam dangan itik. Mereka cakap orang putih dan bapa Tun Sheikh cakap Melayu. Tapi yang pasti bapa Tun Sheikh tidak faham bahasa Tamil atau India kecuali sedikit urdu yang mirip kearaban dan itu pun lebih seperti ayam dan itik.Bahasa ayam dan itik bermaksud, mereka bertutur urdu bercampur arab pasar dan bapa memahaminya dengan membalas cakap Melayu dan sekali sekala bercampur aedikit dengn ungkapan perkataan-perkataaan mereka.

Itu pengalaman Tun Sheikh. Jika mereka membincang tentang bab keilmuan akhirat biasanya bapa Tun Sheikh sekali sekala menyampuk dan dia adalah pendengar yang baik. Selain itu Tun Sheikh rasa bapa adalah mahir memprovokasi secara positif atau memacu sehingga saudara mara yang alim atau lebih mengetahui tidak malas untuk bercerita. Jika bab atau pasal penghidupan atau pengalaman hidup seharian, biasanya bapa sama-sama memainkan peranan berbalas hujah.

Nostalgia yang paling berkesan di sanubari Tun Sheikh ialah mengenai apa yang dikenali sebagai fahaman politik sekarang. Yang ini agak kontrovesi kadang-kadang sehingga bertekak dan kadang-kadang sampai tidak bertegur sapa. Ada pemikiran UMNO, PAS, DAP, Sosialis (dulu Parti Tanduk Lembu). Kadang-kadang ketika panas bertekak sehingga terbawa-bawa menyindir seperti kata-kata kamu ni kuat Cina jangan terlalu sosialis, kamu ni keling atau kamuni malbari janganlah berotak malbari, Jawa, Arab dan sebagainya.

Sempena musim raya ini, Tun Sheikh sering tersenyum sendiri seorang diri menggenang nostalgia itu lebih-lebih lagi apabila berkumpul dengan anak-anak saudara, sepupu dan sebagainya apabila dalam serumah kampung kami pelbagai wajah berkumpul bergembira bersama. Ada muka Cina sepet, muka India Mamak (cuma kulit tidak hitam legam) ada muka Arab, Jawa dan yang sering menjadi hero dan ramai peminat ialah yang bertampang Melayu yang lembut dan manis. Yang peliknya yang muka Melayu manis ini pulak yang majoritinya berbudi bahasa dan jarang buat perangai yang tidak menyenangkan orang tua atau orang dewasa. Sayang sekali semua mereka yang pelbagai tampang tidak mengetahui bahasa lain kecuali Melayu dan bahasa Inggeris yang diajar di sekolah. Di antara mereka, majoriti yang memiliki akhlak terbaik ialah yang bersekolah agama.

Sehubungan dengan itu Tun Sheikh yakin, Melayu terbaik bukanlah Melayu Arab, Melayu Cina, Melayu India, Melayu UMNO, Melayu PAS atau sebagainya. Tetapi yang terbaik ialah mereka yang berakhlak agama Islam. Maka tentu sekali Tun Sheikh tidak akan bias kepada pelbagai pemikiran politik yang bias kepada sesuatu. Apa yang terpenting ialah memahami agama dan mengamalkannya bukan menggunakannya untuk kepentingan seperti amalan UMNO atau disempitkan pengertiannya seperti PAS. Atau mungkin saja wadah yang PAS gunakan itu telah terbatas atau telah dihadkan oleh musuh-musuh Islam sehingga Islam yang diperjuangkan oleh PAS kelihatan terlalu kerdil.

Maka marilah kita bersama-sama bersatu di bawah panji-panji Islam, bukan panji-panji UMNO atau panji-panji PAS jika kita merasakan PAS terlalu terbatas.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

Tuesday, August 24, 2010

TUN GHAZALI SHAFIE: BAKAT PM NYA DIHISAP KAWAN DAN LAWAN

Tun Ghazali Shafie Seorang Wira Dari Perspektif Orang Muar Johor

Tun Ghazali telah meninggal dunia pada usia 88 tahun pada 25 Januari 2010 di Kuala Lumpur. Beliau telah dilahirkan di Kuala Lipis Pahang pada 22 Mac 1922. Ketika beliau meninggal dunia, tidak banyak liputan keluar terutamanya di akhbar-akhbar utama atau siaran perdana seolah-olah beliau tergolong dari tokoh biasa yang kecil dan jasanya telah dilupakan.

Bagi Tun Sheikh khususnya dan orang Muar pada amnya, sebenarnya beliau ialah seorang tokoh besar standing YM Tunku Abd Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Dr. Ismail. Ini adalah kerana mereka berempat ini sangat dikenali Tun Sheikh di zaman kanak-kanak dahulu sejak berusia 5 tahun hinggalah dewasa dan kini usia Tun Sheikh telah separuh abad. Mereka begitu popular dan sering bermain dibibir orang tua tidak kira di kampong mahupun di Bandar. Ini adalah kerana YM Tunku adalah putera raja dan di Muar sendiri ada perkampungan kerabat diraja Kedah. Tun Razak pula menantu Tan Sri Noah orang besar Muar dan Tun Dr Ismail, bapanya memang orang Muar. Manakala Tan Sri Ghazali pula menjadi kebanggaan kerana dia orang besar berasal dari rakyat biasa yang sangat terkenal kerana kebijaksanaan dan kepintarannya. Orang Muar memang ada kaitan darah keturunan dengan kerabat Pahang. Kami anggap tokoh wira Pahang adalah juga wira kami. Tun Sheikh masih ingat ketika baru masuk sekolah rendah kami telah diajar bahawa Negara Malaysia dibentuk YM Tunku, Tun Razak dan Gazali Shafie.

Ketika berlaku Konfrantasi, ramai saudara-mara Tun Sheikh datang berkumpul di rumah.Masa itu Tun Sheikh belum bersekolah. Hal yang tidak dapat dilupakan kerana orang mengatakan Indonesia menghantar tentera komunis di Labis Segamat Johor. Kerana di Muar banyak orang besar dan bijak pandai maka ramailah datang ke Muar mengadu hal. Tun Sheikh juga dengar tentera komunis di Pontian.Tun Sheikh sangat ingat kerana Tun Sheikh ditakutkan oleh kakak dan abang dengan komunis yang jahat dan dianggap sebagai syaitan sejak kecil dari usia mula mengingat sekitar usia 4 tahun hinggalah 9 tahun yang disangkakan komunis itu adalah hantu. Tun Sheikh sangat takut kerana kakak dan abang juga takut kepada komunis. Ayah dan emak dan semua orang dewasa juga benci pada komunis.

Setahun setelah rumah Tun Sheikh membeli televisyen, heboh pula komunis mengamok di Kuala Lumpur iaitu merujuk kepada peristiwa 13 Mei 1969. Hero Melayu bagi orang kampong masa itu ialah Dato’ Harun Idris yang dikata sebagai penyelamat orang Melayu. Ada juga orang tua heboh-heboh cakap Tun Ghazali bawa masuk Pak Kiai dari Indonesia dan orang-orang panglima berilmu Mat Kilau dari Pahang. Sementara orang tua-tua kawan ayah Tun Sheikh sibuk mengumpul pesilat-pesilat parang terbang, suatu ilmu tinggalan Kiai Salleh yang menjadi amalan orang tua-tua Muar dan Batu Pahat yang kemudiannya lebih terkenal sebagai ilmu ayat 4 atau zikir haujakan Johor tetapi persediaan ini telah dihalang oleh orang besar Muar atas permintaan Tun Razak sendiri.

Mengenai ilmu ayat 4 atau ilmu parang terbang ini sebenarnya adalah diambil dari seorang ulamak terkenal Muar iaitu Abu Bakar Alim dan Kiai Fathil Banten mempopularkannya ke seluruh Johor sebagai amalan Zikir Haujakan Johor. Bapa Tun Sheikh adalah murid kepada kedua ulamak tersebut. Istilah parang terbang menjadi popular diperkatakan oleh orang-orang Cina yang melihatnya atau mendengar cerita dari orang tua mereka yang ternampak beratus parang terbang menikam dan menetak komunis Cina di Batu Pahat. Mereka hanya melihat parang seolah-olah terbang dengan sendirinya. Peristiwa hitam ini lebih dikenali sebagai Perang Tentera Selimpang Merah yang diketuai oleh Panglima Salleh.

Di Johor terutamanya di Muar dan Segamat, jika ada apa-apa berita pelik atau menarik di Pahang, maka cepat tersebar sebab banyak keturunan Pahang di Muar dan Segamat. Jika hero Pahang Mat Kilau, Dato’ Bahaman, Tok Gajah dan lain-lain, mereka juga adalah dianggap sebagai hero kami iaitu orang Muar dan Segamat. Ketika Mat Kilau mengaku diri sebagai Pahlawan Pahang yang menentang Inggeris, kami atau orang Muar telah terlebih dahulu mengetahui beritanya dari sanak-saudara yang berulang-alik ke Pahang. Beberapa minggu kemudian barulah keluar di dada akhbar.

Maka Tun Ghazali juga adalah hero kami dan Tun Sheikh selalu mendengar berita tentangnya sejak kecil sehinggalah sekarang ini secara lisan dari keluarga atau orang kampong atau juga menerusi pembacaan dan dengar berita di radio atau televisyen. Masa Tun Ghazali meninggal, Tun Sheikh lebih banyak mendengar dari kaum kerabat daripada paparan berita sendiri. Rasanya memang tidak banyak atau berita kematiannya yang keluar di akhbar.

Kemudian keluar lagi cerita Tun Ghazali Shafie jadi wira dan membantu Tun Razak dalam MAGERAN ketika Darurat 1969 diisytiharkan.Dialah orangnya yang cipta Rukunegara yang ditiru dari Indonesia. Pada tahun 1975 dia jadi hero pendamai dengan pengganas Jepun yang menawan bangunaan kedutaan Amerika di Kuala Lumpur. Tun Ghazali sering keluar di televisyen bukan atas isu politik tetapi isu keselamatan Negara. Orang Johor terutamanya orang Muar sangat suka dan sayang kepadannya.

Ketika Dr Mahathir jadi Perdana Menteri, Tan Sri Ghazali masih berkhidmat dan menjadi Menteri Luar Negeri. Dia sangat terkenal tetapi di sekitar tahun 1985 dan seterusnya popularitinya seolah-olah sengaja di tengelamkan. Pada hal sebelum itu dia juga menjadi hero menyelesaikan masalah ajaran sesat di Batu Pahat ketika Balai Polis di serang oleh kumpulan samurai Melayu berpakaian jubah dan bersenjatakan pedang yang diketuai oleh seorang pemuda Kemboja

Kami amat terkilan apabila pingat Tun hanya diberikan kepada Tan Sri Ghazali dipenghujung usianya. Tapi kami tahu di era Dr Mahathir, beliau memang tidak suka ada orang hebat dan lebih terkenal darinya. Kami juga tahu dan dapat menjangkakan kebolehan Tan Sri Ghazali untuk menjadi Perdana Menteri telah disekat sejak di zaman Tun Razak lagi. Kami amat berbangga kepada Tun Ghazali Shafie kerana sedikit pun tidak menaruh rasa dengki dan dendam.

AL-FATIHAH UNTUK TUN GHAZALI SHAFIE.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

Sunday, July 18, 2010

ARTIS KONTEMPORARI RAKAM BUDAYA-ISLAM MEMANDU BATASANNYA

BAKAT SENI – DI MANA TUMPAHNYA KUAH….ARTIS MERAKAM BUDAYA

Baru-baru ini Tun Sheikh berpeluang berkenalan dengan kumpulan anak muda yang menggelar bahawa mereka adalah Kumpulan Artis Kontemporari Malaysia. Mereka telah berbincang dan memberi pelbagai perspektif mengenai isu dan budaya semasa dan menterjemahkannya dalam bentuk seni lukisan yang telah mereka hasilkan. Seorang daripadanya yang sedang mencipta nama sebagai seorang artis kontemporari dan seorang kurator artis professional ialah Shooshie Sulaiman. Beliau seorang gadis manis berusia lebih kurang 26 tahun berasal dari Muar Johor. Perwatakannya begitu lincah, aktif, bertenaga dan simple. Tun Sheikh juga berkenalan dengan seorang artis berusia separuh abad. Beliau seorang artis dan seorang pensyarah terkenal yang mengelompokkan dirinya sebagai artis kontemporari. Beliau ialah Zulkifli Yusof. Mereka telah menghadiahkan Tun Sheikh buku coffee table masing-masing berkenaan hasil lukisan mereka yang telah diterbitkan.

Tun Sheikh sangat berminat mendengar hujah-hujah mereka kerana Tun Sheikh juga berminat dengan seni lukisan. Sejak kecil Tun Sheikh minat melukis dan pernah menang tempat ketiga dalam peraduan melukis ketika di sekolah rendah. Ketika itu usia Tun Sheikh 9 tahun. Hasil lukisan ditampal di papan kenyataan sekolah selama setahun dan hadiah istimewa yang diberikan kepada pemenang ialah sebuah buku kertas lukisan, set berus, kotak pembancuh warna, sekotak besar water colour (3 inci) dan sebuah buku cerita kanak-kanak mengenai lukisan. Hati sangat gembira lebih-lebih lagi hadiah pemenang tempat pertama sampai ketiga adalah sama kecuali saiz water colour. Tempat kedua 4 inci dan tempat pertama 5 inci. Water colour biasa yang digunakan di sekolah ketika itu yang paling besar ialah 2 inci. Bayangkan ada 16 tiub warna dan 3 inci setiap satu dalam kotak menjadikan kotaknya begitu besar dan membanggakan sekali.

Heboh satu kampong, Arab pandai dan menang peraduan melukis di sekolah Inggeris yang terkenal di Muar itu. Keluarga juga gembira dan berasa bangga. Tetapi setelah Tun Sheikh dewasa, terasa kejayaan itu adalah pengaruh rancangan pendidikan penjajah Inggeris yang mahu mengekalkan status minda anak-anak Melayu agar belajar to become better fisherman and farmers than their parents.Walau bagaimana pun Tun Sheikh amat bersyukur kerana di era YAB PM Tun Abd Razak, kerajaan telah berjaya memacu dasar pelajaran kebangsaan kepada target yang berfaedah dan berguna kepada pembangunan bangsa dan negara.

Arab adalah nama kanak-kanak Tun Sheikh di rumah atau kampong dari kecil sampai ke tingkatan satu. Sejak menang melukis, Tun Sheikh sering mewakili sekolah dalam pertandingan melukis hingga darjah 6 di peringkat daerah tetapi tidak pernah menang kecuali selalu berjaya di tempat saguhati saja. Tun Sheikh tidak pernah dapat menandingi kecantikan lukisan sahabat Tun Sheikh bernama Hasbullah yang sering berjaya di tempat kedua atau ketiga. Kini beliau adalah seorang koperat yang berjaya dan di rumahnya penuh dengan koleksi lukisan cat minyak di atas kanvas yang cantik dan mahal-mahal harganya.

Kata orang, Tun Sheikh mewarisi kepandaian melukis bapa Tun Sheikh. Hingga sekarang Tun Sheikh masih dapat mengingati tajuk yang Tun Sheikh lukis adalah bertema menjaga kebersihan dan Tun Sheikh telah melukis masyarakat majmuk bergotong-royong membersih laman dan membuang sampah. Melukis pada ketika itu memang menjadi satu mata pelajaran wajib di sekolah Inggeris. Cara melukis biasanya bermula secara bebas. Markah dikira dari idea kita mengolah topik atau tajuk yang diberi selain kecantikan dan kemahiran melukis dan mewarna. Maksudnya mula dari melakar hingga mewarnakannya mengikut idea kita sendiri. Tidak seperti sekarang, lakaran telah disediakan dan kanak-kanak hanya mewarnakannya saja dengan pensil warna atau cat air.

Di kampong, sejak darjah 5 hingga di tingkatan 1, Tun Sheikh sering leka bermain-main di 2 buah rumah jiran berdekatan. Satu jaraknya 300 meter iaitu rumah abang Shukor Hashim dan satu lagi jaraknya 500 meter iaitu rumah abang Hatta seorang pemuda cacat. Mereka adalah pemuda di kampong Tun Sheikh yang sangat meminati lukisan dan melukis. Abang Shukor Hashim (60 tahun) kini adalah seorang Professor Lukisan terkenal di UiTM dan abang Hatta (57 tahun) seorang pensyarah lukisan di UUM.

Ketika berada di tingkatan 1, bapa Tun Sheikh melihat Tun Sheikh bertambah serius meminati lukisan dan melukis. Beliau telah memanggil Tun Sheikh dan menghadiahkan sebuah kitab dan sebuah buku berkenaan seni lukisan. Beliau menasihatkan Tun Sheikh supaya jangan aktif sangat melukis terutama melukis benda atau makhluk bernyawa kerana menjadi larangan agama. Beliau tidak melarang Tun Sheikh meminati lukisan dan melukis tetapi melarang Tun Sheikh melukis apa yang dilarang agama.

Buku yang dihadiahkan itu adalah berkenaan seni lukisan arca Islam, melukis corak dari motif bunga dan tumbuh-tumbuhan termasuk pemandangan tetapi tidak ada gambar orang atau gambar binatang. Sebuah lagi buku atau kitab adalah berkenaan hadis dan pengajaran larangan melukis dan menggambar makhluk bernyawa serta hukumnya dalam agama Islam. Kerana terasa amat terkesan di hati larangan melukis benda bernyawa dan agak sukar melakar dan melukis arca dari pelbagai motif, minat melukis Tun Sheikh pun merosot. Pada waktu yang sama bapa sering mengingatkan bahawa ketinggian markah dalam ujian mata pelajaran lukisan tidak begitu bermakna berbanding dengan mata pelajaran lain. Dia menyarankan supaya Tun Sheikh tidak aktif memasuki Persatuan Seni Lukisan di sekolah sebaliknya menggalakkan Tun Sheikh menyertai Persatuan Bantuan Alat Pandang Dengar Elekrik dan Elektronik di sekolah.

Memasuki alam remaja dari tingkatan 2 hingga tingkatan 6, minat melukis hanya tinggal minat saja tetapi Tun Sheikh tidak ketinggalan mengikuti perkembangan lukisan mengikut istilah yang diperkenalkan seperti seni lukisan modern, seni lukisan abstrak, seni lukisan corak, seni lukisan kaligrafi, seni lukisan guris, seni lakaran dan lain-lain. Bapa Tun Sheikh, sebelum meninggal dunia kelihatan gembira apabila mendapati Tun Sheikh tidak lagi leka dengan kegiatan melukis yang telah berganti dengan minat membaca kitab-kitab agama. Beliau terus memberi galakan sehingga meninggal dunia pada tahun 1979.

Disebabkan tidak praktis melukis kecuali mengikutinya melalui pembacaan dan sekali sekala berkunjung ke tempat pameran yang pernah diadakan, maka Tun Sheikh cenderung menikmati seni lukisan dalam pandangan kritis dan menghayati ketinggian mutu seni halus dan motif serta mesej yang hendak disampaikan oleh artis secara pribadi dan untuk kepuasan diri. Tun Sheikh bukanlah seorang yang arif tentang seni lukisan tetapi mampu menulis mengenai sesebuah lukisan.

Apabila Tun Sheikh melihat, merenung atau menghayati sesebuah lukisan, Tun Sheikh sangat suka memikirkan mesej yang hendak disampaikan oleh pelukis. Tun Sheikh mengagumi kemahiran pelukis memainkan warna dan keindahan seni halus yang terdapat pada lukisan berkenaan. Apabila memahami mesej dan menikmati kecantikan seni lukisan itu, Tun Sheikh terasa betapa besarnya keagongan Tuhan Yang Maha Pencipta mempelbagai penciptaan dunia untuk manusia.

Justeru, disimpulkan disini bahawa kesenian itu tidak bercanggah dengan ajaran agama kerana Islam telah sedia menggariskan bentuk-bentuk aktiviti seni yang diperboleh dan yang dilarang. Sesuatu yang ditegah oleh Islam tentunya ada hikmah disebaliknya bagi memastikan keselamatan dan keberkatan hidup manusia itu sendiri. Pembentukan minat dan membina jati diri mesti bermula dan terdidik dari kecil supaya landasan betul dan tidak bercanggah dengan hukum agama agar dapat diamal dan diwarisi sebagai sebuah budaya yang bertamadun tinggi.

Ketika ini, Kumpulan Artis Kontemporari Malaysia sedang memperagakan lukisan mereka dari 3 Julai sehingga 30 September 2010 kepada orang ramai di dewan pameran khas Arkib Negara Malaysia bertempat di Galeria Sri Perdana di Jalan Damansara Kuala Lumpur. Galeria Sri Perdana, bekas kediaman mantan Perdana Menteri Malaysia Ke empat sengaja dipilih kerana ketokohan dan jasa Tun Dr Mahathir yang pernah memberi semangat dan galakan kepada kumpulan artis ini. Datanglah beramai-ramai kerana Tun Sheikh difahamkan bahawa mereka bertaraf dan diiktiraf dunia. Harga lukisan mereka di pasaran dunia ada yang mencecah RM100,000.00 (seratus ribu ringgit) dan majoriti daripada mereka adalah anak Melayu yang pernah mendapat penghargaan dan pujian daripada pemimpin-pemimpin dunia yang mengikuti perkembangan seni kontemporari ini sebagai orang yang sangat kereatif dan berkualiti tinggi.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
 
Copyright 2009 Nostalgia
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere